Nak Kriktik Boleh Tapi Kena Cara Yang Betul. Ikut Tip Ini Jika Mahu Tegur Isteri Cara ‘Sopan’. Nombor 2 Paling Penting!

Share

Sama ada disedari ataupun tidak, harus diakui bahawa sebahagian besar lelaki tidak punya kemahiran dalam memikat isteri.  Malah ada yang mengaku tidak pernah langsung memikat isterinya sepanjang berbelas atau berpuluh tahun berkahwin. Akibatnya tanpa disedari ada rasa kurang senang yang sentiasa menggigit tangkai hati si isteri.

Kesan daripada itu hubungan mesra dibayangi rasa tidak puas hati yang dapat mengeruhkan suasana.  Mungkin banyak lelaki menganggap ini perkara remeh yang cuba dibesar-besarkan oleh isteri.  Namun percayalah, suami yang pandai memikat atau mengambil hati isteri tidak rugi satu apa pun.  Sebaliknya ia akan menyebabkan isteri lebih sayang dan rumah tangga pasti lebih segar dan `mengghairahkan’.

Lalu bagaimana?  Ayuh, jom belajar seni memikat isteri.  Jangan tertawa sebab memikat ini memang memerlukan kemahiran dan suatu `seni’ yang tidak semua orang mahir.  Silap hari bulan, teknik yang anda gunakan hanya akan memakan diri sendiri.

Gambar sekadar hiasan

Lelaki yang dicintai

Apakah anda masih saat-saat manis ketika baru-baru bersamanya dahulu.  Kenangan indah itu pasti tetap segar terpahat dalam ingatan.  Cuma, masa yang panjang membuatkan kita alpa dan kurang memberikan perhatian kepada pasangan.

Sebagai suami anda pasti tahu mengapa isteri mencintai anda.   Jadi mulai sekarang ambil langkah untuk mempertingkatkan lagi kekuatan yang menjadi kunci utama kasih sayang kepada anda.  Isteri mungkin mencintai anda kerana anda kacak, berbudi bahasa, ada personaliti dan sebagainya.  Lalu tingkatkan ciri-ciri yang disukainya itu.

Apa yang perlu anda ingat ialah sentiasa cuba membuat perubahan yang positif  setiap masa dan ketika.  Kenal pasti kelemahan anda dan cuba memperbaikinya.  Paling penting jangan ulangi kesilapan lalu dan banyakkan bertindak, bukan bercakap!

Penting juga diingat yang apa anda lakukan mungkin tindak mendapat tindak balas positif di awalnya.  Tetapi jangan berputus asa atau menyerah kalah.  Suatu masa nanti dia pasti akan tersentuh dengan kesungguhan anda.  Lagipun sesetengah wanita memang suka menguji sejauh mana lelaki akan berusaha untuk memikat dirinya.

Gambar sekadar hiasan

Ungkapan cinta

“Saya cinta kamu.”  Kata-kata keramat ini sememangnya didamba setiap wanita.  Malah mereka sentiasa menanti-nanti orang kesayangan meluahkannya.  Sayang sekali tidak banyak lelaki yang gemar berbuat demikian.  Dan, jika anda tidak mahu `kehilangan’ wanita yang anda kasihi dan cintai, jangan tunggu lama.  Segera buangkan rasa malu dan bisikkanlah kata-kata keramat itu kepadanya.  Jangan lupa untuk memujuknya dengan kata-kata manis dan lembut setelah anda membuat hatinya terluka atau menimbulkan rasa cemburu di hatinya.

Gambar sekadar hiasan

Usik juga hatinya dengan kenangan lama anda berdua.  Wanita sememangnya suka bernostalgia tentang saat-saat indah yang pernah dilalui.  Pasti banyak momen-momen indah yang telah anda lalui berdua.  `Ajaklah’ isteri mengingatinya dengan membawa dia ke tempat yang pernah dikunjungi, atau membelikan dia makanan yang pernah menjadi kegemarannya sewaktu zaman bercinta dahulu.

Selain itu jangan lupa untuk `mengasah’ kemahiran berkomunikasi anda apabila berbicara dengannya.  Komunikasi di sini bukan hanya cara anda berbicara dengannya, tetapi juga tentang cara anda berbincang, dan memujuknya.  Buktikan kepada isteri yang tanggapannya silap.  Jika betul anda ada masalah apabila berkomunikasi dengannya, perbaiki diri.

Hadiah

Semua orang suka akan hadiah.  Isteri anda tidak terkecuali.  Dia pasti akan `sejuk’ hati jika anda mengalungkan  rantai berlian ke lehernya.  Tetapi soalannya, mampukah anda berbuat begitu selalu?  Jangan bimbang jika anda tidak mampu.  Ini  kerana bukan nilai hadiah yang jadi ukuran, tetapi ingatan.  Kecil atau murah, dia pasti teruja menerimanya.

Namun untuk hari-hari istimewa, misalnya ulang tahun isteri atau ulang tahun perkahwinan, belikanlah hadiah yang agak istimewa.  Tetapi ingatlah juga bahawa tidak semua hubungan boleh dibeli dengan hadiah.

Yang paling penting ialah keikhlasan.  Jangan cuba menipu atau berpura-pura.  Bersikap jujurlah apabila berkata-kata dengannya.  Dan yakinkanlah dia bahawa anda benar-benar mahu `menakluki’ kembali hatinya.

Cara Sopan Kritik Isteri

Tidak salah menegur isteri.  Namun lakukan dengan cara berhemah dan tidak menggores hati.  Berikut beberapa tip untuk mengkritik isteri dengan cara yang `sopan’:

  • Jangan berkasar.  Kritikan yang kasar membuatkan dia menolak teguran tersebut biarpun niat anda baik.
  • Jangan kritik isteri di hadapan orang. Ini boleh menjatuhkan maruah dan membuat dia malu.
  • Gunakan perkataan yang baik. Jangan sampai dia tergores dan dimalukan dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.
  • Jangan biarkan api kemarahan mengawal tindakan. Lakukan dalam keadaan tenang agar dapat diterima dan menyedarkannya.

  • Ada kalanya ada baiknya kritikan dilakukan dalam bentuk nasihat. Isteri tidak akan berasa anda menegurnya, sebaliknya berasa dinasihati dan dapat menerima dengan hati terbuka.
  • Mulakan dengan penghargaan atau pujian sebelum menegurnya. Ini dapat meninggalkan kesan positif.
  • Jangan kritik personalitinya, tetapi tingkah lakunya. Kritikan yang menjurus kepada personalitinya boleh membuat dia berasa hati dan terhina.