Nak Keluarga Lebih Baik, Biasakan Mengaji Anak Beranak. Lagi Mudah Hayati Dengan Cara Ni!

Share

Nak Keluarga Lebih Baik, Biasakan Mengaji Anak Beranak. Lagi Mudah Hayati Dengan Cara Ni!

Dalam sehari kita pasti akan membaca Al-Quran, paling tidak kita akan membaca surah-surah pendik ketika menunaikan solat 5 waktu.

Pun begitu tidak hanya sekadar dibaca dengan melazimi surah yang sama sepanjang usia ketika menunaikan solat. Ingin juga kiranya dari masa ke semasa dapat memperbaiki diri dari segi bacaan dengan hukum tajwid yang betul dan sekali gus mampu menghafaz al Quran yang mengandungi 114 surah, Insya Allah.

Impian ini akan menjadi lebih bermakna bila ia turut dipraktikkan bukan hanya untuk diri sendiri malah beruntungnya dapat dihayati dan dilakukan bersama seisi keluarga. Ini memandangkan terdapat 1001 kelebihan membaca al Quran yang rugi kiranya dilepaskan begitu sahaja.

Kelebihan Membaca Ayat al Quran

1.al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak

2.Penyembuh penyakit hati

3.Dapat pahala kelebihan dan kebaikan

5.Membuat seseorang menjadi lebih baik

6.Sebagai panduan hidup

7.Diangkat martabat golongan yang membaca al-Quran oleh Allah SWT

8.Mendapat pahala bagi orang yang susah menyebut dan membaca al-Quran

Persoalannya di sini, bagaimana kita mahu membudayakan dan istiqomah membaca al-Quran bersama keluarga?

Pastinya setiap antara kita ada caranya yang tersendiri, pun begitu ada baiknya seisi keluarga turut serta mengikuti Program My #QuranTime 2.0, yang mana program My #QuranTime sebelum ini telah mencipta fenomenanya yang tersendiri.

Menurut Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, My #QuranTime 2.0 dijangka bersiaran sebanyak 1,800 episod bermula pada 1 Disember depan.

Selain itu difahamkan pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF)  juga sedang mempersiapkan studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam untuk program edisi kedua itu.

“Program ini nanti akan membuka peluang kepada peserta untuk belajar secara langsung di lokasi penggambaran tersebut. Ini akan menjadikan program tersebut berinteraktif dalam sesi tadabbur dan belajar tajwid.

“Penubuhan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) lapan tahun lalu bertujuan untuk membantu umat Islam lebih mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

“Pendekatan menggabungkan konsep bacaan dan tadabbur al-Quran menerusi program My #QuranTime itu memudahkan orang ramai mempelajari kitab suci tersebut.

“Gerakan ini bermula kerana apa yang saya mahukan untuk diri sendiri, kerana dahulunya saya tidak pandai sangat membaca al-Quran.

“Sebelum ini saya ingat itu masalah saya sahaja, rupanya masih ramai lagi di luar sana yang tidak boleh membaca al-Quran dengan betul.

“Ramai orang macam saya yang perlu diselamatkan, sebab itu timbulnya satu gerakan untuk menyelamatkan ummah.

“Pada awalnya, kita nak buat orang cinta dan meminati untuk membaca al-Quran dan Alhamdulillah, mungkin melalui pendekatan yang disampaikan oleh qari dan pentadabbur menyebabkan orang ramai ingin tahu dengan lebih mendalam tentang kalam suci ALLAH SWT,” katanya panjang lebar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai program My #QuranTime 2.0 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Mengulas mengenai My #QuranTime 2.0, Hussamuddin berkata, program itu akan menyediakan bentuk pengisian yang lebih terperinci dan mendalam berbanding sebelumnya.

“Dalam My #QuranTime 1.0, kita tadabbur satu halaman setiap hari, kita harap dalam musim kedua ini, kita nak ke arah lebih mendalam lagi.

“Kita akan perkenalkan elemen baharu iaitu hafalan dan amalan (untuk menghafal al-Quran) dengan cara yang terbaik melalui solat.

“Sekiranya mereka boleh hafal, sekurang-kurangnya tiga atau empat ayat tersebut boleh digunakan dalam solat sepanjang hari,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya sedang dalam proses untuk membina satu studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang lengkap dengan peralatan khusus untuk program My #QuranTime 2.0 kali ini.

“Kapasiti studio tersebut dijangka dapat menampung 40 hingga 50 peserta bagi setiap episod.

“Sepanjang kita buat My #QuranTime, kita terima banyak dana infaq, jadi sudah tiba masa kita gunakan wang tersebut untuk manfaat peserta,” jelas beliau di akhir sesi sidang media tersebut.

Sumber : Sinar Harian