Dalam membina sebuah rumahtangga ke arah kebahagiaan, suami dan isteri sangat berperanan penting dalam mewujudkan keharmonian dan kasih sayang yang berterusan. Dengan itu setiap orang haruslah berazam untuk menjadi pasangan yang terbaik dan membahagiakan.
Berikut terdapat beberapa tips dalam menjadi pasangan yang terbaik dalam perkahwinan;
Setiap perkara yang dilakukan haruskan bertunjangkan kepada Islam. Dalam perkahwinan setiap pasangan mesti mencintai pasangan kerana Allah dan menjadikan akhirat sebagai matlamat, bukan kerana rupa dan harta semata-mata.
Kita juga boleh mengajak pasangan mendirikan solat secara berjemaah dan sama-sama berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis. Selain itu, dianjurkan juga untuk sentiasa berdoa dan memohon agar hubungan perkahwinan kita berbahagia selalu.
Restu kedua-dua ibu bapa dan mentua sangat penting. Begitu juga dengan doa mereka. Jadi, setiap kali berjumpa dengan mereka, mohonlah mereka agar mendoakan kebahagiaan rumahtangga agar berpanjangan dan dirahmati Allah SWT.
Tanpa restu dan doa, pasti kehidupan sebuah perkahwinan itu lebih sukar dan susah.
Terimalah pasangan seadaanya dan bersyukurlah bahawa pasangan kita itu sebagai jodoh kita. Jangan sesekali memaksa pasangan untuk berubah dan mengikuti cara kita sendiri. Bahkan jangan sesekali mengharapkan pasangan terlalu terlalu sempurna dan menyamakan pasangan kita dengan orang lain.
Seharusnya, kita sendiri cuba memahami sikap pasangan dengan menerima setiap kekurangannya. Carilah keistimewaan dan kebaikannya, bukan hanya melihat pada keburukannya sahaja. Bukankah setiap manusia dilahirkan dengan sifat yang berbeza?
Jika pasangan mempunyai tabiat yang buruk sekalipun seperti merokok Jangan sesekali mengharapkan pasangan berubah serta merta.
Hargailah pasangan dengan selalu mengucapkan ‘terima kasih’ kepadanya walau perkara yang dilakukannya adalah hal yang kecil sahaja.
Hulurkanlah pertolongan walaupun pasangan kita mampu melakukannya sendirian. Berilah nasihat, pendapat atau kata-kata semangat kepadanya sebagai tanda bahawa kita selalu berada di sampingnya dan dia begitu berharga kepada kita.
Selain itu, berilah sedikit hadiah sebagai penghargaan pada hari lahir atau ulangtahun perkahwinan walaupun hadiah tersebut murah dan kecil. Ataupun masaklah makanan kesukaannya ketika dia meraih kejayaan demi mengembirakannya. Bahkan senyum dan memegang tangannya setiap kali bertemu juga merupakan penghargaan buat pasangan kita.
Menjalani kehidupan bersama-sama dalam suka dan duka menjadikan kehidupan berumahtangga itu lebih bermakna. Keraplah melakukan aktiviti seharian bersama, seperti memasak, mengemas rumah bahkan menonton TV bersama-sama.
Jika berkemampuan, pergilah bercuti bagi mengeratkan kemesraan dan menambahkan lagi kefahaman antara satu sama lain.
Jangan biarkan pasangan melakukan hobi dan aktiviti kegemarannya bersendirian, dan jangan biarkan pasangan menghabiskan masa gembiranya bersama kawan-kawannya atau anak-anak. Sekurang-kurangnya, sertailah pasangan menonton perlawanan bola sepak walau kita sendiri tidak meminatinya.