
Sesebuah kediaman pasti akan ada Feature wall, satu ruang dinding yang ingin diserlahkan penampilannya. Ada sesetengah pemilik rumah menggunakan warna cat tetapi ada juga yang menampal hiasan atau bahan seni yang sesuai, menarik lagi kreatif.
Jika ibu-ibu ingin mencantikkan feature wall ala-ala Wainscoting idaman dengan bajet hanya RM50, cuba ikut perkongsian dari Shafeq Bada ini.
Hari raya lepas bajet banyak burst. So aku terpaksa la deco umah ala kadar. Bagi yang baru nak duduk rumah baru, tak banyak deco atau perabot boleh cuba buat ni kat ruang tamu.
Asalnya dinding memang kosong tak letak apa-apa. Frame pun nak beli bajet dalam beratus juga. Last-last aku beli set roller kit (brush, roller & masking tape) dalam RM20 kat kedai Mr.DIY & cat nippon rm29.90 (1 liter) dan inilah hasilnya. Dinding ala-ala corak wainscoting idaman. Tak payah beli frame gambar banyak-banyak sudah nampak penuh rumah.
Bahan-bahan
1. Gunakan masking tape utk buat bentuk square/frame.
2. Mulakan dari frame kiri dan kanan dulu, last baru frame yang tengah supaya nampak seimbang.
3. Pastikan jarak tiap bucu square dalam 1 kaki.
4. Bila frame dah siap lukis pakai tape, boleh la cat macam biasa.
5. Bila sudah siap cat, biarkan sampai cat kering.
6. Bukak balik masking tape yang korang buat tu then settle. Cuma kena touch sikit pada bucu-bucu frame tu jelah pakai cat. Then siap!
Buat ni tak sampai pun setengah hari. Jadi, ibu-ibu tak perlu lagi nak pening kepala beli wallpaper. Dapat jimat kos dan cara buat pun mudah sahaja kan. Jom cuba nanti!
sumber: Shafeq Bada
Rezeki Buat Keluarga Makin Sempit. Ustaz Ebit Lew Jelaskan Sebabnya! Tolong Ambil Peduli

Ketua keluarga iaitu seorang suami tanggungjawabnya bukan kepada isteri dan anak-anak tetapi ibu bapanya. Jika suami merasakan rezeki makin menyempit iaitu sentiasa tak cukup tentu ada yang tak kena dalam kehidupan.
Perkongsian ustaz Ebit Lew sungguh menyentuh hati untuk kita renung-renungkan diri. Moga kisah ini dijadikan ikhtibar untuk muhasabah diri.

Semasa cuci kereta tadi jumpa seorang abang muka serabut dan masam. Saya salam dengannya dan kata apa khabar? Selalu cuci kereta di sini ke? Yer selalu cuci di sini sebab bersih.
Begitulah iman cara nak bersihkan dan gilapkannya dengan puji Allah. Cakap kalimah. Dialah Allah. Dialah tuhan yang buat segalanya. Allah maha kaya. Allah Sayang kita banyak nikmat dia beri. Hanya Allah yang berkuasa. Semua makhluk langsung tiada kuasa.
Terus dia mencelah. Saya sedih sebab ada masalah hutang yang terlalu banyak. Saya ada buat beberapa personal loan. Dua-dua dah kena bayar. Dah lebih tarikh. Macam -macam saya kena nanti. Mak ayah dan isteri saya dah marah dan kami asyik bergaduh.
Tak tahu nak buat macam mana. Ada nasihat ke ustaz?
Jika abang jumpa saya awal mungkin saya akan nasihatkan jangan buat personal loan dengan sesiapa pun termasuk bank. Saya ada 3 soalan jer untuk abang. Jika abang jawab 3 ini insyaAllah segalanya akan jadi mudah dan Allah mudahkan segala urusan hutang tu.
Pertama abang solat awal waktu tak? Allah jika sebab tu. Saya memang jarang sangat solat. Kadang-kadang jer solat. Tapi sebenarnya dah lama juga tak solat. Jika abang jaga solat Allah akan jaga abang.
Kedua bagaimana layanan abang pada orang tua dan isteri ? Mak ayah ada. Tapi jarang ziarah.. Isteri pun selalu kena marah dan kena tengking. Kami selalu bergaduh.
Sebenarnya jika abang jaga ibubapa dan isteri dengan baik. Allah akan berkatkan rezeki kita. Sentiasa niat bekerja untuk bahagiakan hati mereka. Sikit pun tak nak susahkan mereka. Jaga isteri dengan baik. Rezeki bertambah. Pengalaman semua kawan saya, jika mereka setia dan baik dengan isteri rezeki bertambah. Jika mereka sakiti hati ibubapa atau isteri. Rezeki yang dah ditangan pun hilang. Dah nak masuk mulut pun keluar semula.
Ketiga suka beri duit pada mak ayah dan isteri. Beri mereka duit belanja. Walau sedikit. Saya pernah ada hutang 20ribu. Tak tahu nak bayar macam mana. Saya ada sedikit duit 2 ribu jer saya selesaikan semua hutang isteri dulu. Minggu depan Allah hantar jalan selesaikan hutang saya rm20k. Sebenarnya saya tak sangka secepat itu Allah buka jalan.
Pernah juga saya terlalu sempit dan anak-anak sakit yang buat saya betul-betul menangis. Saya ada duit sikit. Saya cepat-cepat pergi rumah mak ayah bagi duit sikit dan kata mak ayah tolong doakan. Mereka tolak duit saya. Ebit lagi perlukan duit ni. Kata saya mak…ayah…tolong terima sebab bila mak ayah terima dengan gembira. Allah sayang ebit. Bila Allah sayang tak ada lagi perkara perlu risau. Lepas tu Allah selesaikan masalah dan sakit. Lagi kita pemurah pada ahli keluarga. Lagi murah rezeki kita. Jika pada isteri dan ibubapa kedekut bagaimana rezeki nak datang lagi. Kita diberi rezeki mengikut ramainya tanggungan kita. Nampak besar beban tapi sebenarnya Allah nak bagi rezeki lebih. Payah nak faham. Tapi itulah iman. Itulah hakikat yang sedang terjadi dan sentiasa terjadi.
Dia terus sebak. Dan kata saya dah lama tak buat semua tu. Saya keras hati. Ya Allah.
Cubalah abang buat 7hari baki Ramadhan ni. Bila dia datangkan masalah yang buat kita hilang cerdik dan rasa betul-betul bodoh. Begitulah bila dia selesaikan kita sampai terlupa kita pernah ada masalah. Mintalah pada dia. Dia cuma sayang kita dan nak betulkan hidup kita. Supaya kita tak hanyut. Dialah Allah yang sedang menyaksikan kita semua. Lailatulqadar lebih baik dari seribu bulan. Semua doa dimakbulkan. Buatlah 3 perkara tadi. Pasti Allah mudahkan buat abang-ebit lew
#fbElewsDesign #fbhayfarayyan #www.transformjiwa.com #jemputanTraining #0132556423
Isi Ikan Salmon Yang Berlemak Lagi Terangkat Kalau Diolah Menu Melayu, Rasanya Memang Wow!

Siapa penggemar ikan salmon tapi tahu akan rasa isinya yang berlemak. Memang sedap. Tak hanya sedap, malah ikan salmon ni memang tinggi khasiatnya.
Kalau nak tahu ikan salmon cukup tinggi kandungan protein. Malah lebih mudah dihadam dan diserap oleh sistem tubuh. Tak hanya disitu, Omega-3 dan DHA yang terdapat dalam ikan salmon juga baik untuk pelbagai masalah mata.
Memang untung bagi penggemar ikan salmon. Mana taknya, selain tinggi vitamin D yang membantu fungsi otak dan daya ingatan, kolegen semulajadi yang terdapat di dalamnya juga sangat membantu kulit lebih cantik. Sambil makan dengan berselera, kulit juga makin cantik.
Salmon sebagai menu panggang memang sudah terlalu biasa. Apa kata ubah selera dengan citarasa Melayu pula kali ini. Cuba empat resipi ini dihujung minggu ini. Memang terangkat!

1. SUP IKAN SALMON
Resipi ini dikongsikan oleh mamawandiha.blogspot.my di blognya. Memang nampak sangat mengiurkan dan paling penting sup salmon memang rasanya lain daripada yang lain. Lebih berlemak dan manis isinya. Hebat!
Bahan-bahan:
2 potong ikan salmon -ambil kepala
2 ulas bawang merah -dihiris
1 ulas bawang putih -dihiris
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1/2 sudu teh ketumbar -ganti dengan 1 sudu kecil rempah sup
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 inci halia diketuk
2 asam keping
1 biji kentang dipotong dadu
1 kiub ayam
Sedikit daun saderi
3 cawan air atau secukupnya
1. Tumis bawang, bunga cengkih, lawang, kayu manis, ketumbar & halia hingga naik bau.
2. Masukkan ikan salmon & goreng sebentar. Kemudian masukkan air, bancuhan rempah, kentang, serbuk lada hitam dan asam keping.
3. Masak hingga kentang empuk dan perasakan dengan garam dan kiub ayam.
4. Hidangkan bersama daun saderi dan angkat.

2. KARI SALMON TANPA SANTAN
wow! Kari Salmon memang hebat rasanya. Rasa lemak isi ikan dengan gabungan rempah kari memang sedap. Resipi daripada blogger tersohor Mat Gebu di blog tiffinbiru.com memang hebat. Paling menarik sebab resipi ini diolah tanpa santan. Lebih sihat tetapi rasanya pun lebih ‘caw’. Jom cuba.
Bahan-bahan:
1 kepala ikan salmon (450gm berat)
10 batang bendi
1 biji tomato -dibelah 6
1 sudu teh pes asam jawa
1 1/2 sudu besar rempah hari ikan
1 inci lengkuas -diketuk
1 kiub ikan bilis (optional)
1 sudu besar cili kisar (kalau nak pedas boleh tambah)
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar Halus:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Bahan Tumis:
3 biji bawang merah -hiris
1 ulas bawang putih -hiris
2 tangkai daun kari -dilurut
1/2 sudu teh biji sawi
1/2 sudu teh jintan manis
25 biji halba
1. Bersihkan ikan salmon, perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan.
2. Sementara itu satukan rempah kari dengan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes. Ketepikan.
3. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum.
4. Tambahkan cili kisar dan lengkuas titik, masak hingga cili garing dan masukkan pes rempah, masak hingga pecah minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
5. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuangkan air (anggaran 3 cawan, atau secukupnya). Kacau rata dan biar mendidih.
6. Masukkan kiub ikan bilis dan ikan salmon tadi. Kacau perlahan dan masukkan bendi. Biarkan masak hingga bendi lembut.
7. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan tomato, biarkan masak sekejap dan angkat.

3. ASAM PEDAS SALMON
Asam pedas ikan tenggiri memang terangkat dan cukup klasik bagi orang Selatan. Namun bila menyebut Asam Pedas Salmon pasti kita terasa cukup istimewa. Macam mana rasanya Asam Pedas Salmon?
Andakenalah cuba dahulu resipi yang dikongsikan oleh pakar masak kita di website aziekitchen.com. Memang nampak menarik!
Bahan bahan:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 inci halia
1 senduk cili giling
Belacan -sebesar ibu jari
1 bunga kantan dibelah
1 pelepah daun kari
Bendi – boleh celur berasingan, jika suka
1 sudu besar pes asam jawa adabi
Garam dan serbuk perasa
1. Bawang, halia dan belacan dikisar.
2. Tumiskan bahan kisar sehingga wangi dan masukkan cili giling.
3. Bila naik minyak, masukkan daun kari dan bunga kantan.
4. Masukkan air dan masak hingga mendidih.
5. Kemudian masukkan ikan dan asam jawa. Renihkan di atas dapur dan masuk kacang bendi, garam dan serbuk perasa.
6. Kuah jangan terlalu pekat dan jangan terlalu cair. Sesuaikan kepekatannya. Jika terlebih masam, masuk air. Terlebih cair, masuk tepung jagung dibancuh dengan sedikit air.

4. BERGEDIL SALMON
Salmon sebagai bergedil memang unik. Walaupun kecil tetapi kaya khasiatnya. Resipi yang dikongsikan oleh Chef Jimmy Chok ini di blognya, hungrygowhere.my. Memamg nampak sedap. Sila cuba!
Bahan-bahan:
600g ikan salmon -direbus dan dicarikkan
1 sudu besar daun ketumbar -dicincang
1 sudu besar daun bawang -dipotong
2 biji kentang -direbus dan dilecekkan
3 cili hijau -dicincang
4 biji bawang merah kecil -dicincang
2 telur kuning
1 sudu teh garam
½ sudu teh serbuk lada putih
Tepung untuk menyalut
1. Campurkan semua ramuan, kecuali tepung, ke dalam mangkuk besar.
2. Bentukkan campuran ini menjadi pai-pai kecil.
3. Saluti setiap adunan dengan tepung dan goreng sehingga berwarna perang keemasan. Hidangkan panas.
Tip: Untuk rasa yang lebih sedap, masakkan ikan salmon dan kentang pada hari sebelumnya dan letakkan dalam peti sejuk.
“Walau Masih Kecil, Sumayyah Tahu Semua Hal Kanser Seperti Rawatan & Ubatan.” Anak & Suami Kekuatan Elyana Lawan Penyakit.

Disebalik senyuman dan tawa penyanyi ini, hanya dia yang tahu betapa luluh hati apabila dimaklumkan menghidap kanser limfoma tahap dua sekitar tahun 2012. Erneelya Elyana binti Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana mula menceburi dalam bidang hiburan ketika berusia 14 tahun lagi.
7 tahun menyembunyikan perkara itu, Elyana kemudiannya berkongsi mengenai penyakitnya dengan peminat di luar sana. Elyana disahkan menghidap kanser itu selepas melahirkan anaknya, Cinta Sumayyah.
Kegigihan penyanyi anak satu ini melawan penyakitnya cukup dikagumi ramai. Malah, dia dan suami, Khairul Anuar Hussin tidak berputus ada mencari penawar menyembuhkan barah limfoma tahap empat yang dihidapi tersebut.
Berpeluang mendekati keluarga kecil tetapi cukup bahagia ini, penulis seakan-akan tidak percaya penyanyi Lagu Kalis Rindu tersebut menghidap penyakit kronik. Dari luaran dia nanpak sihat dan bertenaga serta ceria sepanjang sesi temu bual.
“Macam mana saya nampak kekal sihat? Saya pun terkejut juga kerana hanya saya yang tahu kondisi kesihatan. Di rumah saya tidak seaktif seperti orang sihat lain. Tetapi maklum balas dari orang ramai yang mengatakan mereka nampak saya lebih sihat dan cantik dari orang sihat.
“Jadi saya rasa itu salah satu semangat untuk saya menjadi sihat. Tiada tip tertentu cuma saya banyak minum air dna mengambil ubat. Saya minum air banyak kerana ubat yang saya makan panas. Jadi fizikal saya nampak ‘fresh’ terutama dari segi pengambilan makanan tambahan. Dalam masa yang sama, saya mengurangkan mengambil makanan yang boleh menjejaskan kesihatan saya. Nak kata tak ambil terus itu tidaklah cuma saya kurangkan pengambilannya,”cerita Elyana lagi.
Tangguh rawatan
Mengakui rezeki untuk tahun 2019 sangat murah, dia yang bakal mengeluarkan album baru, turut dilantik sebagai duta untuk dua jenama produk.
“Alhamdulillah ini adalah rezeki baru saya, walaupun sibuk dengan kerjaya, rumah tangga terutama hal anak saya Sumayyah yang kini berusia 8 tahun adalah menjadi keutamaan. Tahap kesihatan masih sama seperti dulu, dalam masa yang sama doktor ada cadangkan untuk mengadakan kimoterapi tetapi saya tangguhkan buat seketika memandangkan ada hal yang tak dapat dielakkan.
“Setakat ini anak saya sangat positif dalam menerima hal ini. Cuma kalau dia nampak kesan radioterapi atau benjolan yang timbul di badan saya. Dia mulai risau dan mula bertanyakan sama ada kanser saya kembali besar. Memang anak saya sangat matang orangnya untuk anak yang usianya baru 8 tahun
“Tetapi saya ambil dari sudut positif kerana dalam usia sekecil ini Sumayyah sudah tahu macam-macam benda berkaitan kanser seperti rawatan, ubatan dan sebagainya dibandingkan dengan kanak-kanak lain seusianya,”ujar Elyana yang mengakui anak dan suami adalah sumber kekuatan untuknya melawan penyakit tersebut.
Suka memasak
Biar sibuk dengan aktiviti seni dan rumah tangga, Elyana juga suka berkongsi dalam penghasilan resipi. Sementelah suaminya memiliki kedai makan.
“Selain bidang seni, saya juga aktif berniaga. Memang dari kecil dahulu lagi saya sudah mula menjual stiker dan sebagainya. Waktu mengandung saya perlahankan aktiviti seni, kemudian saya jual coklat dan kek. Kini saya jual parfum manakala suami pula membuka kedai makan.
“Secara tak langsung saya turut terlibat. Ramai yang suka dengan masakan saya padahal ia hanya resipi ringkas di rumah. Mungkin selepas ini saya akan keluarkan sedikit masakan yang menjadi kegemaran ramai untuk di jual.
“Tetapi itu hanyalah sekadar perancangan. Pada saya kerjaya dalam bidang seni tidak akan bertahan lama jadi kena ada ‘back up. Kerana itu saya dan suami memilih untuk membuka bisnes,” jelas Elyana lagi.
Rapat dengan anak
Melihatkan kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh anaknya Sumayyah, benarlah apa yang Elyana katakan. Anak perempuannya itu cukup menyayangi dan mengasihinya.
“Kalau dengan anak memang kami berdua (suami) sangat rapat. Cuma saya lebih rapat dengan sumayyah memandangkan dia anak perempuan. Ditambah lagi kini usianya semakin meningkat. Banyak perkara dan benda yang menjadi kesukaannya termasuk penyanyi, lagu dan juga fesyen. Jadi emaklah yang paling memahami anaknya.
“Saya memang rapat dari segi hati ke hati dengan anak. Manakala suami pula lebih kepada menguruskan dia ke sekolah dan hal pendidikan. Kami suami isteri ada mainkan peranan sendiri dalam membesarkan dan mendidik anak kami,” ungkap anak kelahiran Selangor ini.
Masa berkualiti di rumah
Lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di rumah, Elyana akui masa yang berkualiti adalah ketika berada di rumah.
“Aktiviti yang kami selalu buat adalah dengan lepak di rumah. Di rumah kami dapat berehat dan bergurau bersama. Sebagai selebriti ada kalanya ditegur peminat untuk bergambar dan sebagainya. Jadi masa terbahagi dua. Tetapi di rumah fokus saya hanya pada keluarga semata-mata. Selalunya aktiviti kami lebih menjurus pada hal anak. Sebagai contoh jika anak ada aktiviti luar seperti futsal dan sebagainya. Secara tak langsung ia menjadi aktiviti bersama keluarga.
Anak kena buli
Ditanya tentang penerimaan orang luar terhadap anak selebriti, akui Elyana bab dibuli dan dipulaukan memang ada. Namun dia dan suami mengambil positif akan hal tersebut.
“Lumrah bergelar anak selebriti, soal buli dan dipulaukan memang ada. Ibu mana yang tidak sedih apabila anak berhadapan dengan situasi tersebut. Tetapi saya ambil sudut positif. Orang luar tak tahu atau mungkin tak perasan bidang seni juga adalah pekerjaan seperti mana kerjaya lain juga. Kerana itu saya selalu saya nasihatkan anak supaya tidak perlu ambil pusing akan masalah tersebut.
“Saya selalu pesan, kita ke sekolah sebab nak belajar, kalau ada orang tak nak kawan biarkan. Insyaallah jika kita baik Allah akan hadirkan seseorang yang baik untuk berkawan. Lagipun ia berkaitan anak-anak dan sebagai ibu bapa yang tidak berada di situ hanya menasihati benda-benda positif sahaja. Bab berkaitan buli ini bukan benda kecil kerana ia sangat serius dan diingat sampai bila-bila. Justeru, ibu bapa kena menangani masalah ini dengan serius,” tegas Elyana lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Mac-Apr 2019