“Nak Dapat Kamu Punyalah Lama, 10 Tahun Mencuba. Tapi Kini Mommy Sudah Tiada.” Luahan Pilu Bapa Sempena Hari Kelahiran Anak.

Share

Bukan mudah menerima hakikat kehilangan orang yang tersayang. Di saat-saat diri memerlukan, dia dijemput Ilahi.

Ditinggalkan buat selamanya, musnah segala impian. Yang tinggal hanya secebis kenangan yang takkan mungkin dapat berulang kembali.

Melihat wajah kecil yang masih memerlukan belaian kasih sayang seorang ibu, bertambah rasa hiba dalam diri seorang bapa. Namun Allah itu sebaik-baik perancang. Dia tahu apa yang terbaik buat umatNya.

Secebis bingkisan lelaki ini sempena ulang tahun kelahiran anaknya nyata cukup memilukan hati tatkala membacanya.

Ikuti luahan hati Khairul Abdullah bapa kepada 3 cahaya mata yang berjiwa cekal, serta cukup tabah mengharungi hari-hari mendatang.

 

Apatah lagi, terpaksa membesarkan anak sendirian tanpa ditemani isteri yang meninggal dunia Ogos tahun lalu bukan lah satu tugas yang mudah. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya.

 

Duhai anak.

Dulu nak dapat kamu punyalah lama kami tunggu. Dekat 10 tahun mommy dan daddy mencuba. Kami dah pasrah yang kami akan berdua sahaja sampai ke tua.

Tapi Allah ada perancangan lain.

Tak semena-mena kamu keluar menjengah dunia.

Memberi kegembiraan yang bukan kepalang buat kami. Mommy yang paling happy. Impiannya untuk bergelar ibu tercapai. Daddy cool sahaja namun mommy tak tau daddy bukan main menangis kegembiraan ketika kamu lahir.

Mommy telah rancang perjalanan hidup kamu. Dia nak kamu buat itu ini, dia nak kamu jadi begitu begini. Dia sangat bahagia dan hidupnya ketika itu hanyalah untuk kamu.

Ketahuilah yang kamu dilahirkan bukan di bumi ini. Ketika cuaca di luar sejuk membeku, ketika langit lesu dan 12 jam mommy menahan kesakitan untuk melahirkan kamu di bumi yang asing sekali.

Walaupun jauh dari rakan dan saudara, kami sangat bahagia.

Kami berikan segalanya yang terbaik buat kamu. Tempat tinggal paling baik, makan minum paling bagus dan pakaian yang paling selesa. Hari-hari kami penuh bahagia dihiasi suara kecil tangis dan gelak kamu.

Cepatnya kamu membesar.

Dan secepat itu juga mommy pergi meninggalkan kamu.

Tidak ada rasa paling sedih dan gundah di dalam hati daddy mengenangkan kamu dan adik-adik yang ditinggalkan dalam usia sebegini. Masih terlalu kecil untuk kehilangan seorang ibu.

Daddy tahu kamu menahan sepi. Daddy tahu kamu menahan rindu. Tiada apa yang dapat daddy lakukan untuk menghilangkan rindu kamu pada arwah mommy.

Hanya masa yang berlalu pergi akan membawa bersama rasa rindu dan sepi itu. Daddy yakin kamu sudah mula menyedarinya kini. Yang dah pergi tidak akan kembali.

Tidak mengapa, daddy sentiasa ada di sisi selagi tidak dijemput Ilahi. Ketahuilah oleh kamu yang daddy tidak akan sama sekali meninggalkan kamu. Daddy akan sentiasa ada mengekori langkah dan meneman kamu.

Membesarlah duhai anak dengan menjadi seorang yang sentiasa memberi kebaikan kepada manusia di sekeliling kamu. Membesarlah menjadi seorang anak yang penuh dengan sifat kasih dan sayang.

Dan membesarlah menjadi seorang anak yang sentiasa mendoakan kedua-dua orang tuamu ini.

Hari ini usia kamu genap 5 tahun. Sesungguhnya daddy sangat berbangga dengan kamu.

Happy Birthday Khaleef.

KHAIRUL ABDULLAH 
Ayahmu.