Bukan mudah menerima hakikat kehilangan orang yang tersayang. Di saat-saat diri memerlukan, dia dijemput Ilahi.
Ditinggalkan buat selamanya, musnah segala impian. Yang tinggal hanya secebis kenangan yang takkan mungkin dapat berulang kembali.
Melihat wajah kecil yang masih memerlukan belaian kasih sayang seorang ibu, bertambah rasa hiba dalam diri seorang bapa. Namun Allah itu sebaik-baik perancang. Dia tahu apa yang terbaik buat umatNya.
Secebis bingkisan lelaki ini sempena ulang tahun kelahiran anaknya nyata cukup memilukan hati tatkala membacanya.
Ikuti luahan hati Khairul Abdullahbapa kepada 3 cahaya mata yang berjiwa cekal, serta cukup tabah mengharungi hari-hari mendatang.
Apatah lagi, terpaksa membesarkan anak sendirian tanpa ditemani isteri yang meninggal dunia Ogos tahun lalu bukan lah satu tugas yang mudah. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya.
Duhai anak.
Ads
Dulu nak dapat kamu punyalah lama kami tunggu. Dekat 10 tahun mommy dan daddy mencuba. Kami dah pasrah yang kami akan berdua sahaja sampai ke tua.
Tapi Allah ada perancangan lain.
Tak semena-mena kamu keluar menjengah dunia.
Memberi kegembiraan yang bukan kepalang buat kami. Mommy yang paling happy. Impiannya untuk bergelar ibu tercapai. Daddy cool sahaja namun mommy tak tau daddy bukan main menangis kegembiraan ketika kamu lahir.
Mommy telah rancang perjalanan hidup kamu. Dia nak kamu buat itu ini, dia nak kamu jadi begitu begini. Dia sangat bahagia dan hidupnya ketika itu hanyalah untuk kamu.
Ketahuilah yang kamu dilahirkan bukan di bumi ini. Ketika cuaca di luar sejuk membeku, ketika langit lesu dan 12 jam mommy menahan kesakitan untuk melahirkan kamu di bumi yang asing sekali.
Ads
Walaupun jauh dari rakan dan saudara, kami sangat bahagia.
Kami berikan segalanya yang terbaik buat kamu. Tempat tinggal paling baik, makan minum paling bagus dan pakaian yang paling selesa. Hari-hari kami penuh bahagia dihiasi suara kecil tangis dan gelak kamu.
Cepatnya kamu membesar.
Dan secepat itu juga mommy pergi meninggalkan kamu.
Tidak ada rasa paling sedih dan gundah di dalam hati daddy mengenangkan kamu dan adik-adik yang ditinggalkan dalam usia sebegini. Masih terlalu kecil untuk kehilangan seorang ibu.
Ads
Daddy tahu kamu menahan sepi. Daddy tahu kamu menahan rindu. Tiada apa yang dapat daddy lakukan untuk menghilangkan rindu kamu pada arwah mommy.
Hanya masa yang berlalu pergi akan membawa bersama rasa rindu dan sepi itu. Daddy yakin kamu sudah mula menyedarinya kini. Yang dah pergi tidak akan kembali.
Tidak mengapa, daddy sentiasa ada di sisi selagi tidak dijemput Ilahi. Ketahuilah oleh kamu yang daddy tidak akan sama sekali meninggalkan kamu. Daddy akan sentiasa ada mengekori langkah dan meneman kamu.
Membesarlah duhai anak dengan menjadi seorang yang sentiasa memberi kebaikan kepada manusia di sekeliling kamu. Membesarlah menjadi seorang anak yang penuh dengan sifat kasih dan sayang.
Dan membesarlah menjadi seorang anak yang sentiasa mendoakan kedua-dua orang tuamu ini.
Hari ini usia kamu genap 5 tahun. Sesungguhnya daddy sangat berbangga dengan kamu.
Happy Birthday Khaleef.
KHAIRUL ABDULLAH Ayahmu.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Ketika kecil dia sering diejek sumbing, senget dan sengau. Semuanya kerana dia dilahirkan sebegitu. Hasnoradiah Abu Hassan yang mengalami masalah lelangit rekah dan mulut sumbing.
Tidak mahu nasib yang sama dialami oleh pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing membuatkan wanita berusia 55 tahun ini menghasilkan sebuah buku bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan masalah kecacatan muka tersebut.
“Segelintir masyarakat tahu perkara yang dipanggil cleft lip and palate ini (lelangit rekah dan mulut sumbing). Tetapi mungkin tidak ada sebarang kesedaran terhadapnya.
“Niat saya bercerita mengenai kisah hidup dalam buku yang dihasilkan ini adalah untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mengalami masalah yang sama seperti saya. Saya mahu masyarakat peka terhadap masalah sumbing mulut ini, ” terangnya yang mesra disapa dengan panggilan Nora.
Pembedahan pertama usia 3 bulan
Bagi memastikan mulut dan hidungnya seperti sekarang, Nora perlu melakukan hampir 10 pembedahan.
“Seawal usia tiga bulan saya telah melakukan pembedahan pertama. Bagi kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan sebegini, bukan satu pembedahan sahaja sudah cukup. Masih banyak lagi proses pembedahan yang perlu dilakukan. Tidak mudah untuk membetulkan hidung dan mulut saya.
“Bila dilahirkan dengan lelangit rekah, ia memberi kesan pada muka. Hidung dan mulut saya tidak dilahirkan sempurna. Ia memberi kesan pada percakapan kerana lelangit pecah. Jadi sebelum pembedahan berlaku apabila bercakap, suara saya akan nyata sengau,” kata Nora tentang dirinya.
Sejak kecil diejek
Dilahirkan sebegini rupa, banyak perkara telah mengusik jiwanya. Sejak kecil dia sering diejek.
“Saya merana dalaman. Saya memang telah menjangkakan perkara sebegitu akan berlaku pada diri saya. Sering diejek dan dibuli ketika saya sekolah rendah sehinggalah saya berumur 17 tahun. Di sekolah, mereka akan panggil nama-nama tidak elok pada saya. Sumbing, senget dan sengau. Itulah nama saya yang mereka panggil. Diejek juga telah menyebabkan saya hilang keyakinan dalam diri.
“Ketika umur 30-an, saya berhenti melakukan pembedahan. Saya langsung tidak bercerita tentang masalah sumbing saya ini kerana terlalu malu. Kenapa saya malu?Sebab masa kecil kita telah diejek dengan pelbagai nama. Saya tiada keyakinan diri.
“Pada mulanya saya sendiri tidak boleh terima keadaan ini pada diri saya. Saya tertanya-tanya kenapa diri saya dilahirkan begini. Hanya beberapa tahun yang lepas barulah saya terima kenyataan bahawa inilah Allah hendak beri pada saya. Saya terima dengan hati yang terbuka.
“Setelah saya menerima keadaan diri ini, barulah saya terfikir, apa yang saya boleh lakukan? Saya mula berfikir-fikir untuk bercerita dan menulis buku tentang diri saya. Salah satu sebab sya ingin menulis buku kerana merasakan dalam masyarakat Malaysia ini tidak ada orang yang bercerita mengenai struggle dan accept mereka yang dilahirkan dengan kecacatan muka ini,” ujarnya lagi dan hasil peratusan jualan buku bertajuk Born To Smile itu akan disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) serta Kiwanis Malaysia.
Mahu beri inspirasi
Bersandarkan kepada pengalaman hidup sebagai pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing, mantan Presiden Kelab Kiwanis Ampang Jaya, Selangor ini mahu memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah yang sama.
“Saya tahu bagaimana keadaan mereka apabila diejek. Saya tahu sebab saya merasa. Insya Allah dengan keizinan Allah, saya harap cerita saya akan memberi semangat kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini dan kepada kanak-kanak yang ada perasaan rendah diri.
“Banyak orang dalam dunia ini ada perasaan rendah diri. Saya hendak beritahu bahawa kita tidak perlu rasa rendah diri kerana kita ada cara-cara untuk overcome perasaan rendah diri itu. Perasaan rendah diri itu adalah masalah utama untuk kita pergi ke hadapan.
“Jadi sekarang ini saya tidak mahu bersembunyi lagi. Saya tidak mahu menyorok di belakang kejadian saya dilahirkan begini. Tetapi saya mahu menggunakan kisah saya untuk memberi inspirasi,” kataya dengan penuh semangat.
Beban bahu ringan
Setelah tidak menyorok mengenai keadaan dirinya, Nora merasakan seperti beban di bahunya telah ringan.
“Mungkin apabila saya berjumpa dengan orang mereka lihat wajah saya setelah disolek. Apabila solekan dibuang mereka akan nampak wajah asal saya. Apa perasaan mereka setelah melihat wajah asal saya?
“Saya juga mahu orang suka saya sebab apa ada dalam hati bukannya sebab apa yang saya tunjukkan di luar. Saya sedar masyarakat sekarang ini akan lihat luaran. Jika kita cantik, apa yang boleh kita berikan kepada mereka? Apa status dan kedudukan kita? Saya tidak mahu ada perasaan sebegitu lagi.
“Kalau ada orang nak kata kenapa muka saya begini. Saya tidak mahu ada tanda tanya. Jika kamu suka pada saya, ini adalah saya. Saya tidak malu untuk menyatakan sekarang bahawa saya dilahirkan begini.
“Tetapi saya mahu menggunakan cerita saya sebagai satu harapan dan inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini. Kadang-kadang kita tidak tahu mengapa Allah berikan cabaran. Tetapi setiap cabaran ada hikmah di sebaliknya. Ini cabaran saya,” ujar nenek kepada seorang cucu ini mengakhiri perbualan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Di saat orang lain gembira menyambut tahun baru, pelakon Anita Baharom dan keluarga diuji dengan kehilangan insan tersayang. Suami yang menjadi tonggak keluarga selama ini pergi buat selama-lamanya.
Pada 1 Januari yang lalu, arwah Ismadi Bin Ismail yang juga penerbit meninggal dunia di kediaman mereka di Shah Alam kira-kira jam 8.00 pagi akibat kencing manis.
Berita duka tersebut dimuatnaik ibu kepada tiga cahaya mata ini menerusi laman Instagramnya.
Terbaru, Anita Baharom berkongsi ucapan sempena ulang tahun kelahiran anak sulungnya. Dalam ucapan tersebut, dia menitipkan dedikasi penuh bermakna buat Syifa Dhia Nurina.
“Sanah Helwah Princess mummy daddy SYIFA DHIA NURINA. Ni pic last year kita celebrate berlima 2021, this year kita berempat.
“Kita redha yaa sayang. Syifa anak solehah mummy daddy semoga cerah masa depanmu wahai anak.
“Berbaiklah dengan semua manusia tak kira berlatar belakangkan apa. Sekarang kita berempat. Kita jaga kita,” ujar Anita lagi.
Anita turut mendoakan semoga puteri sulungnya itu menjadi kakak yang terbaik buat adik beradik yang lain.
“Jadilah kakak terbaik buat adik2 dan yang paling penting moga dapat memberi syafaat buat mummy daddy di akhirat nanti. ameen ya mujib,” ungkapnya lagi menerusi kapsyen.
Kebanyakan daripada kita hanya memberikan perhatian kepada tarikh luput pada barang-barang tertentu sahaja seperti makanan kerana ia mudah rosak. Kita tak pernah terlepas pandang untuk menyemak tarikh luput susu atau roti. Bahkan, setiap kali membeli barangan tersebut, kita akan menyemak tarikh terlebih dahulu. Sedangkan untuk barangan lain, kita sering terlupa, atau mungkin kita tak tahu, bahawa peralatan rumah lain juga mempunyai tarikh luput.
Berikut beberapa barangan dan peralatan lain di dalam rumah yang mempunyai tarikh luput.
1. Bantal (2-3 tahun)
Mungkin ramai yang tak tahu, atau tidak kisah, selagi bantal tersebut boleh dipakai, kita akan pakai. Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai ‘bantal busuk’ sejak kecil. Sebenarnya bantal mempunyai jangka hayat selama 2 hingga 3 tahun. Bantal akan menjadi rumah kepada hama, yang akan memberikan banyak masalah kepada kesihatan kita. Bantal lama juga akan menyebabkan kesakitan pada leher kerana kehilangan bentuk asalnya disebabkan penggunaan melebihi jangka masanya.
2. Tuala (1-3 tahun)
Pernah tengok orang memakai tuala sehingga nipis dan gelap warnanya? Ia bukanlah disebabkan kualiti tuala itu tidak bagus, tetapi kerana penggunaan sesebuah tuala untuk jangka masa yang terlalu lama. Jika anak-anak anda tinggal di asrama, cuba periksa tuala anak anda. Sama ada ianya masih elok atau tidak. Disebabkan tuala sentiasa basah, ia adalah tempat yang paling baik untuk pertumbuhan bakteria, dan akan menjadi punca kepada pelbagai penyakit kulit.
Walaupun kerap dibasuh, tuala akan tetap tidak dapat menyelesaikan masalah itu. Sentiasa tukar kepada tuala yang baru, setiap 1-2 tahun.
3. Berus gigi (3 bulan)
Ya, kebanyakan di antara kita hanya akan menukar kepada berus gigi yang baru hanya apabila bulu-bulunya sudah tercabut atau rosak. Doktor gigi mengesyorkan agar kita menukar berus gigi setiap 2 atau 3 bulan. Berus gigi yang rosak dan keras akan menyebabkan hakisan pada gigi.
4. Span mandian / Loofah (2-3 minggu)
Span mandian atau loofah akan mula membiakkan bakterian dan kuman hanya dalam beberapa minggu. Disebabkan ia sentiasa dalam keadaan basah, ini akan mempercepatkan lagi proses pembiakan tersebut. Loofah yang diperbuat daripada plastik dan berjaring seperti gambar di atas adalah lebih selamat dan tahan lebih lama, kira-kira 8 minggu kerana ia mempunyai ruang antaranya yang lebih besar berbanding span mandian biasa.
Untuk memastikan span anda tahan lebih lama, sentiasa bilas dan keringkan span dan loofah anda selepas setiap kali digunakan. Gantikannya selepas beberapa minggu.
5. Produk pencuci / pembersih
Pernah tak anda mengalami situasi ini, anda baru berpindah ke rumah baru, dan terdapat produk pembersih atau pencuci seperti pencuci lantai atau sabun basuh baju. Berasa rugi untuk buang barang-barang ini anda pun gunakannya untuk mencuci lantai dan baju anda. Pernah?
Ini adalah kerana kita mengganggap produk-produk ini tidak mempunyai tarikh luput, dan berasa rugi jika membuangnya. Menurut Good Housekeeping, keberkesanan produk-produk ini akan berkurangan selepas tempoh tertentu dan bekas plastik produk itu juga akan memberi kesan kepada formula produk itu. Kami sertakan tarikh luput bagi produk-produk pembersih yang mungkin ada di rumah anda.
Sabun basuh baju : 6 hingga 12 bulan
Pelembut pakaian : 1 tahun
Pembersih lantai / sinki : 2 tahun
Pembasmi kuman (Dettol) : 3 bulan
Sabun basuh pinggan : 12 hingga 18 bulan
6. Minyak wangi (1-3 tahun)
Minyak wangi dan eau de parfum boleh tahan selama 3 tahun jika tidak dibuka dan digunakan, dan tahan untuk 2 tahun jika digunakan. Manakala eau de toilette pula boleh bertahan selama 4 tahun jika tidak dibuka, dan 2 tahun jika dibuka. Jadi sebelum anda membeli minyak, jangan hanya pilih bau yang anda suka sahaja, anda juga perlu periksa tarikh luput.
7. Puting bayi (2-5 minggu)
Bagi yang mempunyai anak kecil, pastikan anda sentiasa memantau puting yang diberikan kepada si kecil. Puting yang diperbuat daripada getah perlu digantikan, tak kiralah berapa lama ia telah digunakan dan keadaan puting itu. Ia amat mudah rosak dan boleh menyebabkan pembiakan kuman dan bakteria.
8. Kerusi kereta kanak-kanak (6-10 tahun)
Oleh kerana kerusi ini diperbuat daripada bahan yang mengembang dan mengecut berdasarkan jangka umur dan suhu, dan suhu dalam kereta yang berubah terlalu kerap, kebanyakan kerusi kereta kanak-kanak mempunyai jangka hayat selama 6 hingga 10 tahun SELEPAS dari tarikh pembuatan. Tarikh luput biasanya dipaparkan pada bahagian bawah atau tepi produk tersebut.
Juga, kerosakan terdahulu, atau jika anda terbabit dalam kemalangan juga boleh memberikan kesan kepada keselamatan kerusi ini. Jadi, jangan sesekali anda cuba untuk membeli kerusi kereta bayi terpakai, kerana tidak tahu tahap keselamatannya. Lebih baik membelanjakan lebih wang daripada mengambil risiko yang sangat bahaya.
9. Baju dalam wanita (1-2 tahun)
Ya, baju dalam wanita juga mempunyai tarikh luput. Sebaik sahaja baju dalam anda hilang bentuk, keanjalan, menjadi besar atau kecil, dan juga menjadi tidak selesa, tiba masanya untuk anda membuangnya dan membeli yang baru tanpa rasa kesal. Ia tidak baik untuk kesihatan payu dara anda, dan juga keselesaan yang kurang dalam seharian anda.
10. Kasut sukan (1 tahun)
Jika anda seorang atlit, atau suka bersenam, anda mungkin tahu bahawa kasut sukan mempunyai tarikh luput. Setelah kasut sukan anda digunakan untuk larian sebanyak 400 hingga 500 kilometer, ia kusyen pada kasut tersebut akan mula hilang dan ini akan memberi kesan kepada sendi-sendi anda. Namun, jika anda jarang menggunakannya, tukar kepada kasut baru jika anda berasa tidak selesa dan rasa sakit-sakit.
11. Wayar sambung (1-2 tahun)
Setiap wayar sambung mempunyai kapasiti yang tertentu. Jika anda melebihi kapasitinya, ia akan merosakkan wayar sambung tersebut dan boleh menyebabkan masalah besar seperti litar pintas yang akan menyebabkan kebakaran. Tidak berbaloi untuk mengambil risiko yang besar hanya kerana anda tidak mahu menukarnya.
12. Krim pelindung matahari (3 tahun)
Biasanya, krim pelindung matahari mempunyai jangka hayat selama 3 tahun, walaupun tidak dipaparkan pada produk tersebut, menurut pakar-pakar. Setelah melepasi jangka hayat ini, keberkesannya akan menjadi kurang. Jadi, sebelum membeli, anda perlulah menyemak tarikh luputnya terlebih dahulu, dan jika ia tidak mempunyai tarikh luput, semak tarikh produk itu dihasilkan, dan buang selepas 3 tahun tidak digunakan.
Jadi selepas ini, diharapkan kita semua lebih peka dan teliti ketika membeli barangan-barangan ini dan juga barangan lain, supaya mendapat faedah dan manfaat yang lebih. Juga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
.
Sumber rujukan :
1. Buzzfeed
2. Dadgab
3. Linkis
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Dalam rumah tangga, hubungan suami isteri bukan sekadar berkongsi kehidupan, tetapi juga memahami keperluan masing-masing termasuk keperluan seksual.Walaupun ia sering dianggap isu peribadi, hakikatnya...