Semua orang inginkan kebahagiaan dalam hidup yang singkat ini. Memilih untuk hidup aman damai dengan penuh kesederhaan dan bahagia bersama keluarga dan anak-anak adalah impian setiap manusia. Namun bahagia bagaimana yang kita impikan?
Menurut Ustaz Ebit Lew, bahagia tak datang dengan sendirinya jika kita sendiri tak berusaha untuk mencarinya. Cari bahagia kita bersama pasangan anda anak-anak. Tiga doa yang dikongsikan Ustaz Ebit Lew ini wajar kita amalkan.
“Untuk bahagia kena berjuang, berkorban dan berusaha. Ia bukannya boleh datang sekelip mata atau telan apa-apa pil bahagia. Tapi kena berusaha membawa ahli keluarga dekat dengan Allah. Bila dekat dengan Allah dan dalam hati ada iman, Insya-Allah semuanya dipermudahkan.
Suami dan isteri saling sayang-menyayang, anak-anak tak degil sebab masing-masing tahu jika buat baik Allah akan lebih sayang kerana sayang yang kita mahu itu semuanya kurniaan daripada Allah jua.
Makanya, bawalah ahli keluarga datang ke majlis ilmu, mendengar cerita kehidupan akhirat, cerita kehidupan Rasulullah s.a.w. Kita tak akan dapat bahagia bila tak bawa ahli keluarga kepada sunnah Nabi.
Amal 3 doa ini untuk bahagia:
1. Surah al-Furqan ayat 74
Amalkan doa ini selalu. Jangan tinggalkan ia. Ini adalah rahsia bahagia dalam kehidupan. Ia adalah doa paling mujarab untuk kebahagiaan dalam keluarga. Ia umpama kemuncak bahagia. Allah yang ajarkan manusia doa ini dalam al-Quran.
Maksud ayat ini: “Ya Allah anugerahkan kami pasangan yang menyejukkan mata dan beri keturuan zuriat yang dapat memimpin pada kebaikan.”
Allah yang beri rasa sayang dan cinta pada pasangan. Bila tengok rasa tenang dan bahagia walaupun tak banyak duit dan tak cantik atau handsome.
Keluarga bahagia adalah impian untuk pimpin tangan pasangan dan anak-anak masuk ke syurga Allah. Bawa mereka dekat pada Allah SWT. Syarat bahagia sebuah keluarga yang Allah dah tetapkan iaitu mengurniakan kita wajah pasangan yang menyejukkan mata dan pimpin ke syurga.
Bila kita pimpin pasangan dan anak-anak dekat dengan Allah mereka juga akan bahagia. Kalau kita nak bahagiakan anak-anak bukan bila mereka sedih kita bagi mainan, kita bagi gajet, kita bawa jalan-jalan. Kita sepatutnya bimbing anak-anak dekat dengan Allah SWT dan Nabi SAW.
2. Surah Ibrahim ayat 40
Macam mana nak suruh anak-anak mudah solat? Amalkan doa ini Insya-Allah anak-anak akan mudah solat, solat awal bahkan bersolat sunat juga.
Rab-bij ‘al-ni muqimas salati, wamin dhur-riy-yati, rabbana wata qabbal du-a’ i
Maksud ayat ini: “Ya Allah jadikan aku orang yang mendirikan solat dan zuriat keturunan aku orang yang menjaga solat.”
Tujuan hidup kita adalah untuk mendapat reda Allah. Oleh itu kita kena dekatkan diri pada Allah. Doa pada Allah supaya kita dan zuriat keturunan jadi orang yang menjaga solat. Orang yang menjaga solat adalah orang yang dekat pada Allah. Ahli solat tidak akan mudah marah-marah, tak suka maki hamun, tidak mengeluh dalam hidup, tenang dalam hidup, tak cepat melatah, lidah jadi baik, tak menyakitkan hati orang lain.
Ahli solat akan sentiasa cakap baik, tak menyakitkan hati orang. Kalau anak kita suka anak cakap kasar dan tak reti nak cakap lembut sebenarnya ia bermula dengan diri kita sendiri.
Bila kita adalah orang ahli solat maka secara tak langsung kita juga orang yang sangat menjaga lidah dan tak cakap kasar pada pasangan dan anak-anak. Ibu ayah jangan terlalu kasar dan keras pada anak-anak 24 jam. Bertegas pada mereka itu perlu tapi jangan sampai anak-anak jadi tak suka dan takut pada kita.
Semakin anak-anak membesar mereka dahagakan kasih sayang dan pelukan ciuman dari ibu ayah. Oleh itu janganlah asyik tengok handphone 24 jam bila di rumah sampai lupa nak tengok dan peluk cium suami/isteri dan anak-anak.
Dalam hidup ini kita kena menghargai apa yang kita ada. Kadang-kala kita kurang mempunyai hati yang bersyukur dan menghargai apa yang ada pada kita.
Nabi s.a.w bersabda orang yang paling baik adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya. Bila kita syukur, Allah sayang kita. Bangunkan keluarga dengan kasih sayang dan peluk cium anak-anak setiap masa.
3. Surah al-Ahqaf ayat 15
Satu orang tanya pada Talhah r.a apa nak buat bila anak dia degil. Talhah r.a cakap baca surah al-Ahqaf ayat 15.
Maksud ayat ini: “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.”
Saidina Ali r.a berkata ini doa yang diamalkan oleh Saidini Abu Bakar As-Siddiq ketika umur 40 tahun dan Allah bagi semua ahli keluarganya memeluk Islam.
Sebarkanlah Ilmu Walaupun Sebesar Zarah..