Nak Bahagia Kena Luah, Jangan Diam Ajer. Nanti Makan Diri.

Share

Nak bahagia sebenarnya mudah jika pandai pasangan saling memahami antara satu sama lain.

Bukan hanya berdiam diri jika rasa ada yang terbuku di hati.

Natijahnya, beri impak kepada kehidupan pasangan.

Ikuti perkongsian ini.

Malas nak gaduh, baik diam je. Dari bercakap, lebih baik diam. Kalau bercakap pun asyik bergaduh je, baik tak payah cakap.

Nampak macam jalan penyelesaian kan? Mungkin pada permulaan akan rasa lega sedikit atau keadaan tegang nampak macam reda. Tapi sebenarnya tidak.

Mungkin dalam 1 atau dua hari, pasangan kembali bercakap, mungkin juga ada yang ambil masa lama sedikit.

Namun, ada pasangan yang menjadikan “tidak bercakap” ini sebagai habit. “Jalan penyelesaian” yang akan dibuat setiap kali ada perselisihan faham.

Saya sendiri pernah lalui zaman ini. Kami tidak akan bercakap dalam beberapa ketika. Kemudian saya atau isteri yang akan mengalah.

Tetapi lama kelamaan, ianya makin mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih dan lama-kelamaan, ia membuatkan saya lebih tertekan.

Ianya umpama satu ketegangan atau seperti keheningan yang kuat apabila kita duduk di dalam tempat yang senyap. Pada mulanya rasa ok, tenang. Tetapi makin lama, makin bising, makin lama makin sakit hati, makin lama makin tidak tenang dan gundah gulana.

Dari kesedaran itulah saya dan isteri tidak lagi mengamalkan “tidak bercakap” ini. Segala perselisihan faham kami akan selesaikan terus dengan perbincangan dan pujukan.

Kami tidak akan biarkan ego masing-masing menguasai perhubungan kami. Kerana ego ini sampai bila pun tidak akan ada kesudahan. Yang rasa menang sebenarnya kalah, yang kalah tidak akan rasa dia kalah.

Apakah yang memburukkan “tidak bercakap” ini? Mula-mulanya dari segi komunikasi. Kita semua tahu komunikasi ini penting dalam perhubungan. Apabila pasangan diam, bermakna tiada komunikasi. Apabila tiada komunikasi, akan jadi salah faham dan sebagainya.

Kemudian, apabila habit itu berterusan, tempoh pulih perselisihan faham itu akan jadi makin lama. Keadaan akan menjadi sentiasa tegang dari dari diam boleh membawa kepada pergaduhan kecil dan seterusnya lebih besar.

Tidak bercakap juga bermaksud masalah itu tidak diselesaikan dan dipendam. Masalah yang tidak selesai akan menimbun di dalam kolam kebencian. Mulanya sedikit, lama-lama jadi bukit.

Kadang-kadang kita pelik pasangan boleh bergaduh disebabkan benda yang kecil. Contohnya kehilangan alat kawalan jauh tv. Geleng kepala kan? Boleh menjerit-jerit bergaduh bagai nak rak disebabkan benda sekecil itu.

Tetapi percayalah yang ia bukannya disebabkan alat kawalan jauh tv tu. Ianya kerana kolam kebencian tu dah penuh kerana ditimbun-timbun dengan masalah yang tidak diselesaikan.

Apakah punca tidak bercakap ini?

1. Malas untuk selesaikan masalah.

2. Sudah biasa dibesarkan dengan suasana yang tidak menggalakkan ekspresi diri.

3. Ego yang tinggi.

4. Tidak memaafkan.

5. Tidak boleh menerima kesalahan.

Bagaimana nak elakkan tidak bercakap ini dari menjadi kanser dalam perhubungan?

1. Mengalah. Tak kira anda betul atau salah. Mengalah tak bermaksud kalah. Mengalah bermaksud anda sayangkan perhubungan itu dan berdoa semoga dia akan faham suatu hari nanti.

2. Jangan biarkan tidak bercakap ini terlalu lama. Sejam dua cukup kalau panas hati sangat. Jangan lebih dari itu.

3. Jika anda seorang suami, peluk dan pujuk isteri tu. Kadang-kala itu sahaja yang mereka perlukan.

4. Jangan campur aduk masalah lain dalam masalah yang baru menjadi perselisihan faham itu. Nanti benda kecil pun nampak besar. Nanti tak bercakap kejap pun akan jadi lama.

5. Jangan biarkan pasangan yang suka diam mengawal arah tuju perhubungan anda. Pecahkan ego itu dengan tidak melayan diam itu. Buatlah seperti biasa setelah berterus-terang dengan pasangan.

6. Memaafkanlah jika perselisihan faham itu perkara yang kecil. Jangan dibiarkan dan disimpan.

Dalam perhubungan dan perkahwinan, kita tidak akan terlepas dari konflik, ketegangan dan salah faham. Jangan dibiarkan masalah itu datang dan “pergi” kerana ia sebenarnya tidak pergi. Bayangkan pada waktu tidak bercakap itu terjadi apa-apa pada pasangan. Allah. Pasti menyesal tak sudah kan?

Akhir sekali. Jika biarkan ianya berterusan, hati akan jadi semakin tawar dan bosan. Apabila ianya kerap terjadi, penghujungnya ialah perhubungan toksik dan mungkin akan terdetik akar-akar perpisahan.

Perlu ingat yang siapa betul dan siapa salah itu bukannya 100% penting. Yang salah sebenarnya dah tahu dia salah. Cuma dia malu nak mengaku je.

Selesaikan segala salah faham dengan bercakap dan berbincang dengan pasangan. In Shaa Allah perhubungan akan menjadi lebih tenang.

Semoga bermanfaat. Kongsikan jika anda suka berkongsi perkara yang baik-baik.

Kredit: Akhtar Syamir