“Mama dah tak tahu nak buat apa lagi ni. Dimarah sudah, dirotan pun sudah. Nasihat jangan cakaplah, dah berbuih mulut mama ni. Tapi Afiq malas juga membaca. Cuba Afiq bagi tahu mama, cara bagaimana lagi mama nak bagi Afiq suka membaca ni. Bila tak nak membaca macam mana dengan pelajaran tu…”
Mungkin ini antara keluhan yang dirasai oleh sebahagian antara ibu bila berhadapan dengan anak yang tidak suka membaca. Lebih-lebih lagi masalah ini sering dikaitkan jika anak tersebut adalah seorang lelaki. Dikatakan minatnya lebih pada bermain dan agak ‘liat’ untuk membaca berbanding anak perempuan yang dirasakan lebih mudah untuk disuruh membaca atau belajar. Adakah ianya benar begitu atau hanya tanggapan semata-mata?
Namun bagi ibu yang mempunyai 3 orang putera ini cukup istimewa, beliau berjaya memupuk minat membaca di dalam diri setiap anak-anaknya. Pendekatan dan usaha yang telah dilakukan, harus dicontohi. Nak tahu lebih lanjut, jom semak!
- Masukkan buku sebagai sebahagian barang keperluan bayi bakal lahir. Jenis buku harus sesuai untuk bayi seperti buku kain dan buku bod (Board books)
- Bacakan buku seawal anak dalam ‘perut’ (rahim). Baca kuat dari buku kanak-kanak yang ada ritma dan pengulangan perkataan (read-aloud). Teruskan sampai anak sudah mampu baca sendiri. Sebaiknya, anak-anak yang dah bersekolah pun, luangkan masa sekali sekala bacakan buku untuk mereka. ‘Bonding time with books’ adalah antara aktiviti kegemaran sebab saya baca dengan pengubahan suara pada watak-watak.
- Buku adalah permainan. Cari buku yang tahan lasak seperti diperbuat daripada kertas bod, kain, plastik (bath book), buku elektronik. ‘Favourite’ kami ialah buku Eric Carles.
- Sediakan satu ruang khusus dan bekas untuk simpan buku sebagai alat mainan. Sudut yang anak boleh sesuka hati nak sepah, nak pilih, jangan halang kehendak anak masa peringkat bayi dan usia tatih (toddler) untuk selerakkan buku. Buku-buku yang diasingkan bagi tujuan ini memang biasanya berakhir lunyai.
- Ansur-ansur didik anak untuk hormat buku. Buku yang bahannya dari kertas seperti kelaziman, jauhkan buat si kecil dan hanya beri dengan pantauan kita. Boleh diajar untuk selak kertas tanpa terkoyak / dikoyak. (Kemahiran motor halus).
- Mengoyak dan menconteng adalah perkara biasa dalam dunia kanak-kanak. Jangan dimarahi. Sediakan buku lama, majalah lama untuk tujuan itu. (Kemahiran motor halus)
- Singgah ke kedai buku adalah satu rutin setiap kali keluar. Bawa ke perpustakaan kerap atau ke tempat yang banyak sumber buku dan bebas untuk membaca di situ.
- Bahan bacaan tidak terhad pada buku. Majalah, buku ‘game’, komik pun dibelikan. Pastikan ia bahan bacaan yang bermutu.
- Elak ajar ‘guided-reading’ di bawah usia empat tahun. Contoh: Fonik dan ‘Whole-word approach’. Tidak fokus ajar ABC sebagai hafalan kenal abjad pada usia tatih (toddler) sebaliknya terus ajar ‘sight-word’ melalui bacaan dari buku dan kad imbasan. Anak-anak yang kurang didedahkan pelbagai bahan bacaan seawal usia bayi dan kemudian diajar untuk membaca akan mudah menganggap membaca adalah satu aktiviti yang sukar.
- Adaptasi dan fleksibiliti. Apa minat anak? Kartun? Super-heroes? Ada filem kegemaran? Cari buku untuk topik tersebut. Di rumah ni banyak buku super-heroes, contohnya. Beri kebebasan anak pilih sendiri bahan bacaan yang diminati dengan pantauan fleksibel.
- Sentiasa bawa buku ke mana-mana walau ke kedai mamak sekalipun. Masa menunggu digunakan dengan sebaiknya dengan membaca walau hanya satu halaman. Galak anak bawa buku cerita ke sekolah juga.
- Luaskan aktiviti berkait membaca. Sambut ‘World Book Day’ bersama rakan, borong buku di jualan gudang, sama-sama telek jualan buku di talian, apa sahaja asalkan ia berkenaan buku.
- Buku sebagai hadiah. Lebih suka beri ganjaran sama ada buku atau bahan bacaan lain. Galakkan anak beri buku juga sebagai hadiah, contoh untuk Hari Guru, Majlis Kahwin, sambutan hari jadi rakan, etc. Tidak dilupakan wakaf buku.
- Adakan diskusi dengan anak-anak tentang buku yang telah dibaca. Beri anak peluang bercerita dan ekpresi pendapatnya sendiri.
- Kurangkan gajet. Kurangkan televisyen. Tiada pun lagi bagus. Mereka masih boleh akses teknologi dengan komputer riba.
- Paling penting kita sendiri adalah ibu dan bapa yang sayang buku dan suka membaca. Pengaruh paling berkesan!
Sumber : Hanz Jamaludin