
Kata-kata yang terucap dari mulut mak ayah akan meninggalkan kesan dalam diri anak-anak. Tidak kira sama ada ayat positif mahupun negatif.
Penggunaan ayat positif kepada anak-anak akan menjadikan mereka lebih bersemangat, rasa lebih disayangi dan dihargai. Malah mereka juga akan belajar untuk mengamalkannya bila bercakap dengan orang lain.
Berikut disenaraikan beberapa contoh ayat-ayat positif yang perlu kita sebut selalu kepada anak-anak.
1. Semua orang sayang kamu.
2. Ibu sayang kamu.
3. Bila kita jauh, ibu rindu kamu.
4. Bila kamu ada, ibu rasa seronok.
5. Ibu akan buat apa saja untuk lindungi kamu.
6. Bila ibu larang buat sesuatu, itu untuk keselamatan kamu.
7. Ibu percaya kamu.
8. Ibu yakin kamu boleh buat.
9. Idea kamu sangat bagus.
10. Ibu bangga dengan kamu.
11. Kamu boleh buat pilihan yang mana kamu nak.
12. Kamu dah pandai bezakan buruk dan baik.
13. Kamu kuat, ibu yakin.
14. Kamu anak yang baik.
15. Kamu abang/kakak/adik yang penyayang.
16. Terima kasih, kamu dah tolong ibu.
17. Ibu nampak kamu dah usaha setiap hari.
18. Ibu suka bila kamu kongsi tentang hal yang kamu fikir.
19. Seronok buat aktiviti dengan kamu tadi.
20. Kamu anak ibu yang cantik/hensem.
Makin kerap kita mak ayah sebut ayat-ayat positif ni pada anak-anak, makin kuranglah perkataan negatif yang terkeluar dari mulut kita. Anak-anak pun akan membesar dengan keyakinan diri yang tinggi serta lebih positif.
Jomlah kita amalkan sama-sama.
Sumber: FB Effy Sueffy
Temui Bayi Comel Terperangkap Di Tingkat Atas, Antara Mangsa Banjir Yang Berjaya Diselamatkan!

Seorang anggota penyelamat tidak menyangka menemui bayi comel dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Tidak dapat keluar apabila tingkat bawah dinaiki air
Sarjan Awang Abdullah Sani Awang Alehan, 42, dari pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, di sini berkata beliau bersama tiga lagi anggota yang sedang menaiki bot menemui keluarga bayi berkenaan terkandas di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat.
Katanya bayi perempuan berusia empat bulan itu bersama ibu bapanya dan seorang lagi kanak-kanak, diselamatkan selepas mereka tidak dapat keluar apabila tingkat bawah rumah berkenaan dinaiki air paras pinggang.
“Petang itu saya memandu bot bersama tiga lagi anggota dan dua daripada kami terpaksa memanjat sengkup rumah tersebut sebelum membawa mereka keluar melalui tingkap,manakala saya dan seorang lagi anggota menyambut mangsa menaiki bot untuk dihantar ke tempat selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, gambar Awang Abdullah Sani memegang bayi perempuan bertopi dan berpakaian serba merah tular serta dikongsikan di media sosia Facebook dan Instagram Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan rata-rata netizen melahirkan rasa syukur dan terharu bayi comel itu dapat diselamatkan.
Awang Abdullah Sani yang juga bapa kepada lima anak, berkata beliau antara 128 anggota dan pegawai PGA dari Perak iaitu Batalion 1, Batalion 2, Batalion 3, Batalion 6 dan Pusat Latihan PGA yang dikerahkan bersama bot ke Selangor bagi bantuan operasi menyelamat mangsa banjir sejak Ahad lepas.
Berkongsi lebih lanjut, Penolong Jurulatih Jasmani Pusat Latihan PGA Hulu Kinta yang sudah 21 tahun berkhidmat itu berkata operasi bantuan tersebut disifatkan amat bermakna bagi pasukannya kerana dapat membantu ramai mangsa walaupun kepenatan.
“Sejak dari Ahad lagi kami sibuk dengan kerja-kerja menyelamat dan sanggup tidak tidur demi menyelamatkan mangsa banjir. Saya hanya sempat tidur dua jam pada hari ketiga (semalam), malah gambar yang tular itupun saya ketahui melalui orang lain,” katanya.
Menurutnya beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa gambar itu turut dimuat naik di Facebook dan Instagram PDRM sehingga meraih pelbagai komen warganet
Sumber : Bernama & Ig pdrmsia_official
ARTIKEL MENARIK : Cara Kurangkan Air Bah Masuk Rumah, Begini Lelaki Ni Buat Bila Tiap-Tiap Tahun Hadapi Banjir!
LAGI ARTIKEL MENARIK :Kereta Ditenggelami Banjir, Ada Perkara Perlu Buat Untuk Minimakan Kos Baik Pulih!
Baca Ini Juga :Rupanya Kalau Ada Ekzema Bukan Makanan Laut Je Kena Pantang, Tapi 12 Jenis Sayur & Buah Ni Juga!
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
“Letak Nufail Sebelah, Kakak Menangis” Setahun Berlalu, Jahidah Masih Terlantar Koma

Sekarang ini tular isu keganasan rumah tangga penyanyi dari Indonesia, Lesti dan Billar. Masih tidak dapat dilupakan sehingga kini, kejadian keganasan rumah tangga yang berlaku di negara kita iaitu kisah seorang ibu dan juga seorang penjawat awam, Jahidah Nordin, terlantar kaku dalam keadaan koma sejak lebih setahun lalu.
Adiknya, Fauziah Nordin, 40, memuat naik gambar imbas kembali ketika majlis perkahwinan kakaknya itu menerusi media sosial dua hari lalu dan rata-rata netizen memuji Jahidah sebagai seorang wanita cantik.
Fauziah berkata, kakaknya itu kini di bawah jagaannya di Sendayan dekat sini, selain turut bertanggungjawab membesarkan Ehsan Nufail, anak lelaki kepada Jahidah.
“Memang keadaan fizikal sudah banyak berubah tidak seperti dulu. Kecederaan yang dialaminya akibat dipukul menyebabkan muka jadi seperti sekarang.
“Rahangnya patah, tempurung kepala juga terpaksa dibuang. Kejadian ini bukan sahaja menarik keceriaan kakak, malah kami sekeluarga, namun kami redha dengan ujian tuhan,” katanya.
Fauziah berkata, tiada banyak perubahan yang berlaku kepada kakaknya dan kini masih lagi terlantar di katil dan tidak mampu memberikan respons.
“Dari segi kesihatan kak Jahidah sekarang semakin baik, namun tiada banyak perubahan. Dia tidak boleh lagi bagi tindak balas apa yang kami cakap, bagaimanapun sebelum ini dengar dia menangis sebelum ini.
“Disebabkan sudah lama terlantar, badan dan pergerakannya macam kaku. Bulan November nanti kakak akan dimasukkan ke wad rehabilitasi sebab doktor mahu pantau keadannya,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan Ehsan Nufail yang kini sudah berusia 10 bulan, Fauziah berkata, bayi berkenaan masih tidak boleh duduk kerana tulangnya masih lembut dan perlu mendapatkan fisioterapi bermula pertengahan bulan ini.
“Saya selalu letakkan Nufail di sebelah kakak, ada kalanya kakak mengeluarkan air mata. Mungkin dia sedih, namun tidak dapat meluahkannya,” katanya.
Video yang dimuatnaik menerusi laman Tiktok itu menarik lebih sejuta tontonan dan lebih 2,000 komen yang kebanyakan mendoakannya kesihatan Jahidah, selain melahirkan rasa simpati.
Media pada Mei tahun lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun itu dikejarkan ke hospital di Johor Bharu selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei 2021.
Ketika kejadian, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan tahun lalu dan mereka sekeluarga tidak dapat menikmati Aidilfitri seperti orang lain kerana keadaan Jahidah yang kritikal ketika itu.
Sumber : Bharian, @ziahzara_15
Betulkah Anak Saya Degil Dan Nakal? Doktor Ini Jelaskan Caranya. Ibu Ayah Kena Alert!

Boleh dapat ‘darah tinggi’ rasanya jika tiap-tiap hari kena jerit pada anak supaya berkelakuan elok. Bagi anak yang sedang membesar khasnya di peringkat pra sekolah akan bersikap sedemikian. Ikuti lebih lanjut penjelasan pakar motivasi kekeluargaan, Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad perihal anak yang bersikap nakal, degil dan tidak mendengar kata ibu bapa.
Ibu bapa seringkali salah faham dan mudah melabel anak-anak secara negatif. Apabila anaknya degil, maka pada anggapan ibu bapa ia adalah tingkah laku yang negatif. Sebenarnya, setiap tingkahlaku anak-anak berbeza sebab mereka akan membesar sebagai individu yang berbeza dari segi watak dan peribadinya.
Degil itu dilihat sebagai negatif disebabkan anak-anak tidak mendengar kata nasihat yang ibu bapa berikan. Sebaliknya, jika dilihat dari satu sudut lain pula, degil itu membuktikan bahawa anak-anak tetap dengan kemahuan dan pendiriannya. Sifat degil sebegini perlu ada jika anak mahu berjaya satu hari nanti. Kejayaan memerlukan seseorang itu berdepan dengan masalah, cabaran dan ujian. Hanya mereka yang degil sahaja yang mampu melepasi semua ini. Oleh itu, adalah satu kesilapan sekiranya ibu bapa mahu agar sifat degil anak itu dibuang.
Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan ialah menyalurkan sikap degil ini secara positif dan betul. Anak-anak yang masih kecil tidak mampu bezakan antara degil yang positif dan degil yang negatif. Maka adalah menjadi tanggung jawab ibu bapa untuk membantunya.
Karektor anak degil
Anak yang degil biasanya menunjukkan tingkah laku seperti berikut:
– Suka melakukan sesuatu ikut kehendaknya
– Tidak mendengar arahan atau nasihat
– Persisten dalam melakukan sesuatu hingga berjaya atau selesai
– Menunjukkan sikap kepimpinan dan adakalanya macam bos
– Tidak bergantung pada orang lain
– Suka lakukan apa yang dilarang
Cara pengendalian
Setiap kali anak menunjukkan sifat degil, anda boleh melakukan langkah-langkah berikut:
– Hargai sifat semulajadinya yang degil itu.
– Banyakkan berkomunikasi dan tanya apa yang dia mahu lakukan atau capai.
– Beritahu padanya, pastinya anak gembira jika boleh lakukan sesuatu yang juga
membuatkan anda sebagai ibu bapa gembira.
– Berikan dia alternatif untuk salurkan kehendaknya dalam situasi yang sesuai dan tidak
Berbahaya.
– Puji apabila anak mula mendengar nasihat atau cakap anda.
Berikut adalah contoh perbualan positif seorang ibu kepada anaknya.
Situasi: Imran seorang anak yang keras hati (degil). Walau pun telah dinasihati banyak kali, dia tetap akan panjat tepi tangga untuk naik ke atas dan ini membahayakannya.
Ibu : Imran, ibu tahu Imran suka memanjat betul?
Imran : Betul ibu
Ibu : Ibu pun suka apabila Imran memanjat, ia menunjukan bahawa Imran seorang yang berani dan sukakan cabaran. Agak-agaknya kenapa ibu selalu bising apabila Imran memanjat?
Imran : Tak tahu.
Ibu : Cuba Imran fikir apa boleh berlaku jika Imran salah panjat atau terlepas tangan?
Imran : Imran akan jatuh.
Ibu : Kalau jatuh sakit tak?
Imran : Sakit.
Ibu : Sebab itulah ibu bising, sebab ibu sayang Imran. Kalau Imran betul-betul suka
memanjat ibu akan bawa Imran ke Mall pada hujung minggu ini, dan dalam tu ada
tempat untuk kanak-kanak panjat-panjat. Di situ Imran boleh panjat sesuka hati,
tetapi kena janji dengan ibu untuk tidak panjat tangga lagi, boleh?
Imran : Betul ker ni ibu?
Ibu : Betul ibu janji.
Imran : Yeay, ok Imran janji takkan panjat di situ lagi.
Ibu : Hah, macam itulah anak ibu. Ibu suka apabila Imran mendengar kata. (Sambil
peluk atau usap kepalanya)
Contoh perbualan di atas jelas menunjukkan ibu menghargai kedegilan anak, menyatakan sebab kenapa dia dihalang untuk menerukan kelakuannya dan menawarkan alternatif baru untuk disalurkan kesukaan dan bakatnya. Akhir sekali, ibu memuji anak.
Dengan pendekatan sebegitu, anak-anak akan membesar dengan jiwa yang kuat. Mereka memliki kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi. Kekuatan emosi membentuk anak-anak yang berakhlak mulia dan memiliki nilai moral yang tinggi. Mereka tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan masa depannya. Mereka berfikir sebelum bertindak.
Sumber: Majalah Pa&Ma