Nak Anak Beradab Bukan Berleteran. Tapi Kena Ada 3 Perkara Ini.

Share

Kita mahu anak-anak beradab dan berakhlak mulia. Semua mahukannya. Tetapi kita boleh jadi terlupa bahawa adab bukan hasil syarahan, pembacaan, jauh sekali leteran.

Ada tiga kualiti diperlukan untuk menghasilkan akhlak yang baik, misalnya menurut Imam Birgivi (1573m), seperti nukilannya di dalam kitab al-Tariqah al-Muhammadiyyah.

Pertama: Kebolehan berfikir yang baik. Akal yang boleh memproses, untuk mempertimbangkan baik dan buruk. Jika akal lemah, atau akal melampau, ia mengganggu proses.

Kedua: Berkeinginan. Iaitu wujudnya dalam diri seseorang ini kehendak. Mahukan sesuatu. Dorongan untuk mendapat. Jika seseorang itu hilang keinginan, dia tiada dorongan untuk mendapatkan manfaat daripada memilih kebaikan.

Ketiga: Upaya bantah dan marah. Untuk berakhlak dan beradab, seseorang itu perlu wujud dalam jiwanya kalau berlaku sesuatu yang dia tidak setuju dia bantah, dan lawan. Dengan kualiti ini, barulah boleh akhlak baik dihasilkan dalam bentuk menolak akhlak buruk dan kejahatan.

Macam mana kita hendak mengadabkan anak-anak kalau semasa mereka membesar, kita rosakkan kebolehan berfikir mereka.

Bukanlah dengan menabur Ajinomoto ke dalam makanan mereka, tetapi dengan tidak berbual, paksa hafal, anak-anak tengah suka bermain (yakni sedang berfikir kreatif, menyelesaikan konflik), kita hentikan permainan dan suruh mengadap teks. Bantut habis kebolehan berfikir yang lahir sebagai fitrahnya hari itu.

Kemudian, anak berkeinginan tetapi keinginannya kita nafikan. Ikut cakap aku sebab aku orang tua. Rambut belah tepi, baju kena warna ini, sekolah kena macam ini, ambik subjek pilihan mak ayah, belajar bidang kebanggaan orang tua, kahwin nanti pun jodoh emak ayah pilihkan, dah kahwin pun mak ayah campur tangan cuti sekolah ke mana. Anak tidak berpeluang berkeinginan.

Anak marah, kita marah dia balik. Murid tak setuju dan lawan, belum apa-apa kita biadabkan dia. Sehingga mati sifat melawan, sifat membantah.

Seribu syarahan agama, pergi bagai dipuput bayu. Tak lekat pun di jiwa sebab tiada pelekatnya. Karakter tidak dibentuk. Yang dibentuk ialah akademik, akademik, akademik. Kita laungkan akhlak penting, tetapi semua perancangan dan perlaksanaan adalah matawang akademik.

Sumber: My Learning Journey