Berita

Nahas Pelajar UiTM Dungun, Muhammad Ammar Danish Sebak Ingat Kenangan Manis Bersama Rakan

Share

Nahas pelajar UiTM Dungun, Muhammad Ammar Danish sebak ingat kenangan manis bersama rakan. Muhammad Ammar Danish juga mengakui tidak begitu ingat bagaimana kemalangan itu berlaku.

Nahas Pelajar UiTM Dungun

 

“Saya tak ingat sepenuhnya kejadian yang berlaku itu, sedar-sedar sudah berada dalam longkang,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terselamat dalam kemalangan mengakibatkan tiga rakannya maut akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura dekat sini pada Rabu.

Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal bersama Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, setelah pulang dari membeli barang di bandar Dungun.

Menurutnya, dua rakannya iaitu Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut serta bersama mereka dengan menaiki sebuah lagi motosikal.

Muhammad Ammar Danish Sebak Ingat Kenangan Manis Bersama Rakan

“Pada awalnya, hanya saya dan Khairil nak pergi beli barang selepas melakukan aktiviti kokorikulum di kampus namun ketika itu Akmal dan Adib turut sama nyatakan hasrat nak ikut kami membeli barang.

“Jadi kami berempat pergi bersama-sama. Saya masih ingat lagi kami sempat bergurau sebelum bergerak balik dan itulah kenangan terakhir saya ingat bersama mereka.

“Saya tak ingat sepenuhnya kejadian itu namun saksi menyatakan kami dilanggar dari belakang,” katanya. 

Mengulas lanjut, Muhammad Ammar Danish berkata, dia terkesan dengan pemergian tiga sahabat baiknya itu namun reda dengan perkara yang menimpa mereka.

“Memang sangat sedih sebab tidak sangka kejadian keluar membeli barang bersama merupakan kenangan terakhir saya bersama dengan mereka.

“Saya doakan semoga roh ketiga-tiga sahabat baik saya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya dengan nada sebak.

“Setakat ini saya tak boleh berjalan dengan laju sebab kaki kiri dan kanan berjahit.

“Kepala pun rasa sakit, doktor kata kesan jatuh. Doakan supaya saya kuat dan kembali sembuh sedia kala,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Ammar Danish memberitahu keadaan kesihatannya semakin beransur pulih. Terbaharu Muhammad Amar Danish dibenarkan pulang pada Ahad.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Perakaunan UiTM kampus Dungun, Muhammad Ammar Danish bersama keluarganya akan dihantar pulang ke Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans universiti tersebut.

Menurutnya, pelajar berkenaan dilaporkan semakin pulih dan stabil, namun masih memerlukan penjagaan dari sudut mental dan emosi.

“Kita nampak dia sudah tidak begitu trauma cuma proses penjagaan dari sudut kaunseling akan terus berjalan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang mengganggu emosi ketika belajar kerana kejadian yang berlaku itu memberi kesan yang sangat besar kepada dirinya dan semua yang terlibat.

“UiTM dengan kerjasama pihak hospital akan terus beri perhatian bagi penyediaan kaunseling bagi rawatan emosi pelajar berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.

Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Nahas berlaku ketika kesemua pelajar itu dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas menyertai aktiviti kokurikulum dan makan malam.

Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Sumber: Sinar Harian 1 dan Sinar Harian 2

Baca artikel lain juga: Ibu Bapa Sempat Hantar Ku Adib Ke UiTM Dungun Sabtu Lalu Sebelum Berangkat Ke Makkah

Tragedi SUV Rempuh Pelajar UiTM Dungun: Saya Tiada Lagi Anak Lelaki

Baru Masuk ‘Start’ Semester, 3 Pelajar Maut Di Rempuh Hadapan Kampus UiTM Dungun

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my