“Nad Zainal Masih Dalam Proses Pemulihan, Dia Dalam Keadaan Baik” – Ungku Ismail

Share

Terbaharu, pelakon Ungku Ismail mendedahkan rakan baiknya yang juga merupakan pelakon, Nad Zainal kini dalam keadaan baik.

Khabar gembira itu dimaklumkan oleh Ungku menerusi laman Instagramnya semalam yang meminta agar orang ramai supaya tidak henti mendoakan Nad Zainal kembali sihat seperti sedia kala.

“Nad Zainal masih lagi dalam proses pemulihan. Alhamdulilah, dia dalam keadaan yang baik. Saya mohon agar kamu semua terus mendoakan dia, sembuh, dilenyapkan segala jenis penyakit dan kesakitan yang ada pada dia dan kembali seperti sedia kala dalam masa terdekat,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ungku turut mengatakan dia bukan sengaja tidak mahu memberi sebarang perkembangan mengenai keadaan terkini Nad namun, orang ramai perlu memahami bahawa dia kini masih dalam proses pemulihan.

Jelasnya, sebelum ini dia kerap memberi perkembangan kesihatan Nad disebabkan tidak mahu sebarang anggapan atau spekulasi yang mengarut dilakukan oleh umum terhadap pelakon yang berusia 32 tahun itu.

“Saya tak nak sebenarnya maklumkan perkembangan Nad pada setiap masa sebab dalam proses pemulihan ini, dia kena banyak berehat.

“Saya tidak boleh nak cerita sangat, berlainan pada awal-awal dahulu, saya cerita secara terperinci sebab tak nak orang buat spekulasi yang bukan-bukan walaupun pada akhirnya ada juga orang buat dan tak tahu atas niat apa,” tambahnya.

Terdahulu, Ungku Ismail mendedahkan aktres Nad Zainal kini menunjukkan perkembangan yang positif dari saban hari dimana rakannya itu sudah tidak lagi bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Namun begitu, Nad Zainal kembali bergantung kepada alat bantuan pernafasan apabila paru-paru aktres tersebut masih belum kuat untuk berfungsi sendiri.

Sumber: Instagram @ungkuismailaziz