Nad Zainal Ibu Moden Yang Tak Suka Dedahkan Anak Dengan Gajet

Share

Bergelar ibu bapa dalam usia yang muda tidak menampakkan pasangan ini kekok. Sementelah buah hati kesayangan mereka, Fahad Ibrahim atau nama manjanya, Yem  cukup mudah dijaga, biarpun lasak dan mudah rapat dengan orang yang baru dikenali.

“Cara didikan anak pada saya tidak masalah. Jika ibu moden lain lebih suka mendedahkan anak-anak dengan gajet, berbeza dengan saya. Kami suami isteri tak suka Yem selalu bermain gajet termasuklah telefon mahupun televisyen. Tiada istilah telefon di tempat makan. Kalau kami nampak dia ralit dengan televisyen, cepat-cepat kami tutup. Sekarang dia dah pandai sebut beberapa perkataan, jadi kami beli flash card dan pagi  10 minit dan sebelum tidur 10 minit kami akan ajar. Walaupun dua perkataan itu dah memadai dan tidak mahu terlalu ‘push’ dia.

“Berbanding membaca tip di internet, saya lebih suka bertanya kepada kawan-kawan yang lebih berpengalaman. Itu lebih mudah kerana mereka sudah pernah melalui berbanding membaca buku atau melayari internet. Soal bab kesihatan, sepertimana ibu bapa lain saya dan suami memang menitikberatkan soal kebersihan. Terutama suami yang agak tegas bab pemakanan.  Makanan segera misalnya tidak elok untuk kesihatan, jadi suami tidak suka mengamalkannya berbanding saya yang tidak kisah sangat. Kalau boleh kena kurangkan pengambilannya.

“Yem sangat rapat dengan kami berdua, lasak dan nombor satu suka berkawan sehingga ada budak-budak yang ‘rimas’ dengannya. Selain itu, dia cepat ikut perangai ‘tak elok’ kami berdua seperti cepat marah, perengus dan apa yang ayahnya buat seperti menari dia akan ikut. Cepat pula dia ikut benda yang tak elok, “seloroh Nad lagi tatkala ditanya mengenai perangai anaknya itu.

 

Ditanya mengenai keterujaan sebagai ibu untuk memberikan makanan kepada anak hasil air tangan sendiri, akui Nad setakat ini belum berpeluang berbuat demikian.

“Secara jujurnya saya memang tidak memasak. Dulu pernah cuba, tetapi Yem tidak mahu makan sehinggakan saya jadi tawar hati untuk memasak lagi. Tetapi akan datang insyaAllah saya mahu belajar memandangkan Yem nampak keinginan untuk makan terutama Nasi Goreng Cina.

“Dalam soal mendidik, kami memang tegas dan tak suka manjakan anak. Cuma datuk dan nenek memang sangat manjakan yem. Kebetulan dia cucu sulung untuk kedua belah ahli keluarga. Tetapi kami akan terangkan kepada famili kenapa tidak boleh terlalu manjakan anak kami dan mereka boleh terima,” ujar Nad yang tinggal sendiri tetapi akan menghantar anaknya ke rumah mentuanya apabila dia dan suami ada kerja luar.

Tidak suka bawa anak ke lokasi

Tidak suka membawa anak ke lokasi penggambaran, akui Nad mereka suami isteri sudah sepakat untuk menjaga sendiri anak. Jika kedua mereka ada kerja luar barulah urusan penjagaan anak diserahkan kepada nenek dan atuknya.

“Dari segi profesionalisme, saya rasa tidak wajar untuk membawa anak  ketika bekerja. Ia bukan memudahkan bahkan boleh mejejaskan kualiti dan masa orang lain. Bayangkan kalau krew lain yang sudah ada anak isteri boleh tinggalkan mereka, kenapa saya mahu mementingkan diri berbuat demikian. Lagipun jika bawa anak ke tempat kerja bukan sahaja membuatkan anda tidak boleh fokus, malah melambatkan kerja.

“Jadi, pada saya tidak wajar, sebaiknya saya akan tinggalkan anak dengan suami jika ada shooting dan apabila suami ada kerja luar, saya pula yang akan mengambil alih tugas menjaga anak. Apabila kami berdua ada kerja luar, barulah Yem akan dihantar kepada datuk dan nenek untuk dijaga,”ulas Nad yang mahu memberi sepenuh kasih sayang dan didikan kepada anaknya Yem sebelum memikirkan untuk menambah ahli baru dalam keluarga mereka.

Pilih bisnes kasut

Mengulas lanjut mengenai kerjaya seni usai bergelar ibu, Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Bint  Zainal Abidin  aktif dalam bidang lakonan, Nad Zainal juga menceburi bidang bisnes iaitu dalam penghasilan kasut. Selain dilantik duta untuk produk untuk Beyond Rich Sdn Bhd, pengeluar produk kecantikan jenama Audela.

“Jika selebriti lain memilih pakaian mahupun kosmetik untuk bisnes, tetapi saya lebih gemar pada kasut kerana jarang orang buat. Saya punya keutamaan tak perlu terlalu tinggi, yang penting keselesaan,  cantik, harga yang berpatutan dan buatan Malaysia. Saya juga tidak keluarkan dalam kuantiti yang banyak kerana ia limited tetapi harga berpatutan. Saya akan kongsi idea bersama rakan kongsi untuk idea rekaan dan sasaran untuk pasaran adalah merangkumi pelajar dan wanita berusia 35 tahun.

“Walaupun ada bisnes sendiri, saya perlu uruskan bahagian pemasaran dan promosi di media sosial untuk produk Audela. Manakala untuk jenama kasut FarrabyNadZainal pula, ada rakan kongsi, Ezza dan jika tidak sibuk dengan shooting, masa saya dihabiskan untuk bisnes pula.

“Lagipun, untuk kasut ini dilakukan dari rumah dan saya akan curi-curi masa untuk melakukannya. Nama untuk jenama kasut ini diambil dari nama sebenar saya Fara yang digabungkan dengan nama komersil saya.

“Memang sambutan sangat baik pada kasut keluaran kami walaupun hanya menjual melalui online, tapi kalau boleh saya saya mahu membuka kedai kasut sendiri. Saya mahu pelanggan rasa dan lihat sendiri produk sebelum beli, jadi mereka lebih yakin dengan produk. Jadi saya rasa produk yang bagus kena ada kiosk atau kedai sendiri supaya lebih elok dari segi pemasaran,”ulas Nad Zainal lagi.