Bercuti bukanlah satu perkara yang kerap dilakukan Nabil Ahmad bersama isteri dan anak-anak. Jadual tugasannya yang agak padat sepanjang tahun membuatkan dia terpaksa memilih masa yang sesuai dan menetapkan lebih awal untuk bercuti dan merehatkan dirinya.
“Biasanya kita rancang lebih awal, contoh kalau nak bercuti tahun depan, tahun ni kita lock siap-siap tarikh dan tempah lebih awal. Jadi bila dah sampai masanya, dah ada tarikh dan bila dah tiba masanya terus pergi sahaja.
Saya kerap juga keluar negara untuk shooting atas urusan kerja jadi sambil-sambil tu bolehlah sekali berjalan-jalan. Kalau membolehkan saya bawa keluarga, saya akan bawa sekali dan kalau tidak, kita ikut perancangan asal, tempah lebih awal supaya dapat lock tarikh.
Kalau saya bercuti tak bawa isteri dan anak-anak tu mustahillah bagi saya. Bercuti memang relaks bagi saya tapi lebih relaks lagi bila isteri dan anak-anak ada sekali dengan saya.
Saya tak boleh cuti sorang-sorang dan memikirkan apa isteri dan anak-anak buat di rumah. Saya memang tak boleh, kalau kerja tu lainlah. Kalau bercuti mungkin tidak
,” begitu tegas anak jati kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini.Sehingga kini kata Nabil, dia sudahpun membawa keluarganya ke beberapa buah negara antaranya Bali, Indonesia, Tokyo, Jepun, Gold Coast di Australia, Singapura dan juga Puchet, Thailand.
Namun akui Nabil dalam kesemua negara yang pernah dilawatinya bersama keluarga ini, Tokyo, Disneyland di Jepun adalah destinasi paling menggembirakan dan bermakna buatnya dan anak-anak.
“Saya gembira bila tengok anak-anak saya seronok bermain di Disneyland. Mereka suka sangat. Kalau anak-anak seronok, itu dah cukup membahagiakan saya,” luah bapa penyayang ini lagi.
Ketika ditanya bagaimana dia dan isteri berdepan dengan masalah atau situasi yang kurang enak ketika bercuti. Maklum sahaja banyak ragam anak kecil jika mereka masih tidak biasa atau tidak selesa dengan satu-satu keadaan. Namun kedua pasangan romantis ini cukup tenang dan punya cara mereka sendiri dalam mengawal permata hati kesayangan mereka ini.
“Kalau diikutkan banyak cabarannya bila bawa anak kecil ke luar negara. Dulu masa pertama kali bawa anak-anak, maklumlah time tu pun kewangan tak berapa memberangsangkan untuk naik bisnes class, jadi kami ambil tiket ekonomi sahaja.
Biasanya kami beli tiga tiket sahaja dan adakalanya bila Mika nak baring, jadi huru haralah juga. Itu belum lagi bila Medyna tak mahu duduk di dalam bassinet dan terpaksalah saya dukung dia dan pusing satu kapal terbang, jalan ke depan dan ke belakang. Tapi pengalaman tu sangat best bagi saya.
Sehingga kini kalau setiap kali pergi bercuti untungnya saya dan isteri tak pernah berhadapan dengan karenah anak-anak. Pernah tertinggal stroller tu adalah..tapi tak pernahlah lagi anak demam atau sakit. Memang percutian pun best.
Biasanya kami akan beli seat lebih untuk anak-anak supaya lebih selesa. Tapi pengalaman sebelum ini kami hanya tempah bassinet sahaja sebab ketika itu anak saya masih kecil. Bila anak dah bangun, kalau dia meragam dan tak mahu duduk, saya memang akan bawa dia berjalan pusing-pusing sampai dia reda,” katanya.
Kata Zira, isteri kesayangan Nabil, “Tak sukar nak bawa anak-anaknya bercuti malah mereka tak banyak ragam. Sebelum naik flight biasanya kami biarkan mereka bermain puas-puas dulu. Makan pun penting juga, bila dah kenyang mereka memang tak banyak ragam dan terus tertidur. Kalau dalam flight siap semua barang mainan, gula-gula dan makanan mereka insyallah mereka tak meragam,” ujarnya lagi.
Zira Persiapkan Segalanya
Setiap kali bercuti, orang yang paling sibuk pastinya wanita bergelar isteri dan ibu. Persiapan menjelang harinya ibarat mengira hari untuk menyambut hari raya. Begitulah wanita.
Tidak terlepas hal ini yang dilakukan oleh isteri kesayangan pengacara program Meletop ini. Bagi Zira, dia harus memperlengkapkan segala keperluan anak dengan sebaiknya.
“Susu, ubat demam, diapers, baju secukupnya, thermometer dengan biskut kegemaran masing-masing antara benda wajib yang mesti di bawa bersama.
Kalau bercerita soal persiapan dan baju-baju yang bakal di bawa, tak adalah perlu sedondon, cukup sekadar selesa dan sesuai dengan keadaan cuaca,” katanya ringkas.
Bagi ibu jelita ini lagi, pengalaman pertama kali membawa kedua-dua anaknya ke Jepun adalah pengalaman indah dan cukup menyenangkan baginya dan suami.
“Ingat lagi saya, ketika itu umur Mika baru 4 tahun, manakala Medyna pula baru sahaja 3 bulan. Memang bawa kedua-duanya langsung tak banyak ragam dan tak banyak karenah.
Cuma ketika berada di sana, kami banyak gunakan pengangkutan awam dan lebih senang memilih keretapi untuk bergerak ke sana ke mari. Jadi sedikit sukar untuk naik turun tangga dengan stroller ditambah pula dengan kedua-duanya yang memang langsung tak mahu turun dari stroller. Sedikit mencabar buat saya namun ianya satu pengalaman yang cukup menyeronokkan.
Kalau setiap kali bercuti, saya biasanya cari tempat yang sesuai dengan anak-anak dulu kemudian barulah cari tempat untuk kami bershopping pula,” luahnya lagi.