Mempelajari muzik membawa seseorang ke arah kepekaan minda yang unik. Tidak kiralah sama ada mereka menyanyi, mendengar atau bermain instrumen. Seorang guru akan mengarahkan kanak-kanak mendengar melalui kaedah yang berbeza untuk melatih kepekaan. Bermain alat muzik dan menambah gerak dalam latihan akan mendidik anak-anak mengenai pembelajaran berterusan dan membantu kefahaman membaca.
Muzik juga mempunyai peranan pendidikan yang cukup meluas termasuklah cakupannya dalam mengawal fungsi kedua-dua bahagian otak.
 Fungsi otak kiri yang memainkan peranan dalam penguasaan bahasa mampu diaplikasikan dengan lebih jitu jika seorang kanak-kanak menguasai kemahiran muzik.
Mengikut kajian yang pernah dibuat, kanak-kanak yang telah mendalami bentuk lagu dan menghafal beberapa lirik lagu dengan mudah menyediakan keseragaman dalam sesuatu maklumat baru yang dibacanya. Dia akan menjadi pembaca yang lebih pantas!
Jika diamati, seorang kanak-kanak yang mempunyai bakat seni boleh berfikir dengan lebih kreatif dan mampu menyelesaikan pelbagai jenis masalah.
Seni itu luas dan seseorang boleh mempamer kreativiti diri dengan lebih terbuka. Kanak-kanak yang diperkenalkan pada jenis-jenis muzik berbeza pada awal usia dapat mendalami budaya luar dengan lebih pantas.
Muzik Bukan Sekadar Terapi Tetapi Latih Anak Menjadi Seorang Yang Fokus
Muzik juga menggalakkan penglibatan ramai orang. Jadi, seorang kanak-kanak yang disuntik dengan kemahiran muzik kebanyakannya memiliki keyakinan yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak biasa.
Mereka akan sentiasa cuba melakukan yang terbaik. Contohnya, jika seseorang kanak-kanak itu bermain di pentas orkestra, sudah tentu dia ingin menghasilkan muzik yang menyokong kepaduan bunyi bagi instrumen-instrumen yang lain. Ini satu kepuasan bagi seorang pemuzik.
Satu kajian di University of California mendapati bahawa muzik melatih perkembangan minda dengan lebih cepat.
Pelajar darjah dua di sekolah yang mendapat pendidikan muzik yang baik mendapat keputusan cemerlang dalam ujian Matematik. Jumlahnya adalah 27 peratus lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang tidak mendapat latihan seni yang khusus. Ini membuktikan muzik bertindak sebagai wadah pantas ke arah pendidikan yang lebih berkesan.
Malah, muzik bukanlah sesuatu bebanan. Muzik melahirkan keseronokan dan rasa gembira bagi penggemarnya. Bukan itu sahaja, apa yang mustahak dalam pendidikan awal muzik adalah dapat melahirkan seorang kanak-kanak yang menghormati, sabar, dan tekun dalam menerima pendidikan muzik yang baik. Setiap ibu bapa perlu mengetahui banyak lagi faedah yang diterima oleh seorang yang mempunyai kemahiran dalam muzik.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI