Ibu bapa mana yang tidak berasa bangga bila anak meraih kecemerlangan di dalam pelajaran. Semua itu lumrah.
Pun begitu bagaimana pula cara ibu ayah berdepan dengan anak-anak yang tidak memperolehi keputusan cemerlang atau hingga ada yang menghadapi kegagalan.
Hal itu lebih membimbangkan dan terpanggil seorang doktor ini berkongsi pandangannya.
Semoga perkongsian dapat membuka hati dan minda ibu ayah hari ini untuk lebih terbuka berdepan dengan situasi pembelajaran anak-anak dan sekali gus terus meniupkan semangat kepada anak-anak untuk terus bangkit daripada kegagalan.
Ini perkongsiannya.
Musim keputusan peperiksaan dah bermula. Nanti ramailah ibubapa berkongsi kejayaan anak masing-masing di media sosial.
Sebenarnya saya tak risau keputusan peperiksaan berjaya atau tidak. Kerana suatu hari semua orang pasti akan berjaya dalam bidang masing-masing.
Yang saya risaukan ialah jika anak-anak kita tak tahu menghadapi kegagalan.
Berjaya bukan bermaksud tak pernah gagal. Tetapi berjaya itu bermaksud tetap bangkit walau gagal berkali-kali.
Rakan-rakan medic saya yang berjaya menyambung kepakaran bukanlah dari kalangan mereka yang scorer dan cemerlang sewaktu undergraduate. Mereka cuma mediocre student sahaja, malah ada antara mereka yang perlu mengambil peperiksaan profesional berulang kali kerana gagal.
Mereka tak putus asa walau bukan dari kalangan genius. Namun merekalah yang pergi jauh dalam bidang akademik.
Jangan tak tahu, ada segelintir pelajar perubatan yang genius, lulus cemerlang MD dan MBBS tapi tak jadi doktor bertauliah kerana tak sanggup melalui fasa housemanship (nak jadi doktor berlesen perlu lalui fasa housemanship).
Tak sanggup dimarahi kerana dahulunya sentiasa dihormati dan disanjungi. Ada yang sampai mengalami tekanan mental. Ada juga yang jadi penipu dengan menjual produk mengarut dan menyalahgunakan title doktor. Sedihkan?
Berbalik kepada cerita keputusan peperiksaan. Ajarlah anak cara untuk menghadapi kegagalan. Anak yang kurang bijak perlu diajar untuk tidak berputus asa. Anak yang bijak pun perlu pandai menangani kegagalan.
Setiap manusia akan melalui pelbagai cabaran dan akan merasai kegagalan dalam hidup. Semua itu akan menjadi pengajaran dan pengalaman yang mematangkan.
Kita perlu berhenti dari menjadi snowplow parents. Bersusah payah menyodok jalan bersalji untuk memudahkan anak lalu. Sepatutnya kita sediakan anak untuk jalan. Bukan sediakan jalan untuk anak. Perkasakan mereka untuk buat keputusan dan biarkan mereka belajar dari kesilapan.
Jika tidak, jadilah anak kita manusia yang tak tahu berdikari sampai dah berkahwin dan beranak pinak. Punya kelulusan tinggi tapi semua perkara pun tak reti buat keputusan bagaikan tiada tulang belakang dan akal fikiran.
sumber : Hana Hadzrami