“Murung Lepas Ibu Meninggal Dunia.” Ayah Bina Bangsal Sebesar Reban Ayam Jadi Rumah Untuk Tiga Anak Lembam & Mental, Elak Bertindak Agresif.

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu si ayah yang memikul. Mungkin nampak kejam dan tidak berhati perut, namun si ayah ini tidak punya pilihan lain apabila menempatkan tiga anaknya di sebuah bangsal sebesar reban ayam.

Ini bertujuan mengelakkan ketiga-tiga mereka bertindak agresif. Di situlah dunia dan tempat ketiga-tiga mereka yang dikategorikan lembam dan juga mental  berteduh.

Menurut Mamat @ Mohd Zain Idris, 70, dia membina bangsal tersebut berhampiran rumahnya apabila terpaksa mengasingkan ketiga-tiga anaknya itu bagi mengelak bertindak agresif terhadap empat cucu yang tinggal bersama.

Bangsal daripada kayu dan zink terbuang itu menjadi tempat tinggal dua anak yang mengalami masalah mental, Mohd Fakrul Anuar, 46 dan Mohd Aris, 36, serta anaknya lembam Mohd Hanafiah, 34.

Ihsan sedekah orang ramai

Mamat berkata, tiga bangsal itu dibina apabila empat cucu berusia 6 hingga 15 tahun tinggal bersamanya dan isteri, Aminah Harun, 55, selepas tiga anak perempuan bercerai dan meninggalkan mereka.

Dua lagi anaknya juga lembam, Nor Albaniah, 27, sudah berumahtangga serta disara suaminya manakala Samsuri, 25, tinggal di dalam rumahnya yang diubah suai dan dipisahkan dengan batu-bata.

“Saya sara 9 ahli keluarga dengan ihsan sedekah orang ramai kerana tak larat untuk bekerja buruh lagi. Mujurlah adik saya yang tinggal sebelah rumah hulurkan makanan setiap hari untuk kami 10 sekeluarga

“Kalau ada beras atau makanan boleh dibuat lauk yang disedekahkan orang ramai, saya masak sendiri,” katanya.

Ulang-alik hantar cucu

Menurutnya, selain menguruskan makan minum empat anak mental dan lembam, dia juga berulang-alik menghantar tiga cucunya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjong dan tadika menaiki motosikal.

“Cucu yang sudah sekolah menengah pergi sendiri ke sekolah. Membesarkan empat cucu ini sudah menjadi tanggungjawab saya, nak harapkan kepada anak-anak bantu, mereka pun saya jaga.

“Mohd Fakrul Anuar kerja cari besi buruk tapi perlu ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu setiap bulan untuk rawatan susulan penyakit mentalnya.

“Mohd Aris yang sering merayau pula setiap bulan perlu disuntik ubat penenang kerana dia agresif,” katanya.

kemurungan selepas ibu meninggal dunia

Mamat berkata, penyakit mental ini dihidapi kedua-dua anak lelakinya itu sejak remaja disebabkan kemurungan kerana ibu mereka yang juga isteri pertamanya meninggal dunia.

“Anak-anak saya tak ada kad orang kurang upaya (OKU) sebab belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Isteri ada masalah jantung dan tiroid

Menurutnya, isteri yang bekerja sebagai pembantu kantin sering menolongnya menyara keluarga sebelum terpaksa berhenti kerja setahun lalu.

“Isteri saya mempunyai masalah jantung dan menghidap tiroid. Dia pula perlu dibedah pada 25 Mei ini,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga berkenaan juga mendapat perhatian Imam Masjid Mukim Paloh, Muhamad Husin dan menjadi antara asnaf yang sering menerima bantuan zakat dan beras.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Mamat @ Mohd Zain 153039270207 atau hubunginya di talian 012-9685549.

Sumber: Sinar Harian