Guru akan berbuat apa sahaja untuk anak didiknya. Dan bukan mudah menjadi seorang guru yang terbaik. Kepuasan apabila anak-anak didikannya berjaya.
Perkongsian oleh cikgu matematik ini Mohd Fadli Salleh begitu inspirasi yang berkongsi cerita mengenai kisah seorang guru yang sanggup membantu muridnya sehingga berjaya. Sungguh meruntun jiwa kisah guru berketurunan cina ini sehingga melayakkan mendapat anugerah guru inspirasi.
Malam ini aku nak bercerita tentang seorang penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 iaitu Akena Ling atau Cikgu Nam.
Cikgu Nam ini seorang guru sekolah rendah. Beliau seorang guru yang mempunyai jiwa dan semangat guru sejati.
Cikgu Nam selalu bangkit dan fight untuk murid-muridnya. Apa sahaja demi kepentingan murid, dia bangkit dan mempertahankan.
Pernah beliau mempertahankan murid-murid yang tidak mampu membayar yuran disebabkan kemiskinan sehingga pentadbir memanggil beliau dan berkata,
“You walau bagus mengajar, you tetap bukan cikgu yang bagus jika tidak pandai kutip duit dari murid-murid.”
Disebabkan selalu fight untuk murid, Cikgu Nam sehingga hari ini belum dianugerahkan APC. Markahnya prestasinya sedang-sedang saja saban tahun.
Namun beliau tidak kisah itu semua, asalkan beliau mengajar dengan ikhlas dan murid beliau berjaya itu merupakan kepuasan yang tidak terhingga padanya.
Kehebatan Cikgu Nam mengajar tidak boleh dipertikaikan lagi. Murid-murid bawah tunjuk ajar beliau tidak pernah seorang pun gagal dalam mata pelajaran Matematik.
Wahhh, memang sangat memberi inspirasi pada aku sebagai guru Matematik juga.
Bahkan, masa kami bersama Miss Nam ajar aku beberapa teknik untuk beri murid mudah faham tentang sifir dan juga bahagi, salah satu ‘jantung’ utama dalam Matematik.
Dan apa yang melayakkan beliau memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s kali ini?
Beliau dicalonkan oleh bekas muridnya yang kini berjaya menjadi pegawai bank.
Muridnya ini asalnya malas belajar dan dari keluarga miskin.
Suatu hari muridnya kemalangan dan patah kaki. Rumah murid ini ditingkat tiga. Jadi dia tidak ke sekolah selama dua bulan.
Apa yang Cikgu Nam buat?
Setiap hari Cikgu Nam ke rumah murid ini untuk mengajar semua subjek. Ya, beliau ajar semua subjek sepanjang dua bulan itu.
Sebaik murid ini sihat, beliau hadiahkan murid ini sebuah basikal untuk murid ini ke sekolah.
Dengan jasa dan pengorbanan Cikgu Nam, muridnya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
Dan hari ini, murid yang dulunya nakal, malas, miskin dan tiada siapa sangka boleh berjaya menjadi seorang pegawai bank yang bagus.
Terima kasih kepada McDonald’s Malaysia yang mewujudkan anugerah seperti ini.
Anugerah yang membolehkan sesiapa sahaja dicalonkan tanpa prejudis. Pencalonan ikhlas dari hati mereka yang melihat dan merasai sendiri pengorbanan dan jasa seorang guru.
Anugerah seperti ini memberi peluang kepada guru-guru yang selama ini banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit namun tidak dipandang oleh orang atasan.
Ianya satu anugerah besar. Ia lebih dari sekadar trofi dan sejumlah wang ringgit. Ia adalah penghormatan.
Ya, ia penghormatan terbesar buat insan yang bernama guru.
– Kisah inspirasi kawan-kawan yang hebat –