
Murid PASTI meninggal dunia, sayu hati tengok rakan-rakan keliling jenazah, beri penghormatan terakhir. Tular di media sosial video menyayat hati yang memperlihatkan detik terakhir seorang murid tadika sebelum dikebumikan.
Murid PASTI Meninggal Dunia, Sayu Hati Tengok Rakan-rakan Keliling Jenazah, Beri Penghormatan Terakhir
Allahyarham Muhammad Yusuf Ali Amin, berusia enam tahun dan merupakan pelajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Aqliah, Temerloh, Pahang, menerima penghormatan terakhir daripada rakan-rakan sekelasnya yang turut hadir memberikan ucapan perpisahan.
Momen mengharukan ini mencuri perhatian ramai apabila kelihatan jasad si kecil dikelilingi oleh rakan-rakan sepermainan yang berdiri di sisinya buat kali terakhir. Video yang dimuat naik oleh guru mereka di laman TikTok menunjukkan murid-murid tersebut, yang mungkin belum mengerti sepenuhnya makna kehilangan, berdiri penuh sayu di sisi jenazah yang sedang diuruskan di masjid.
Ahli Parlimen Temerloh, Cikgu Salamiah Mohd Noor, memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman di paru-paru.
“Salam takziah buat keluarga Muhammad Yusuf Al-Amin Bin Mohd Zaki Al-Jihadi. Semoga roh arwah ditempatkan bersama golongan yang beriman dan soleh. Moga keluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran.
Sementara itu, pihak pengurusan PASTI Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah dan menjelaskan bahawa arwah telah menunjukkan tanda-tanda masalah pernafasan sebulan yang lalu.
“Seluruh Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia merakamkan ucapan takziah atas pemergian adik Muhammad Yusuf Al-Amin dari PASTI Aqliah, Temerloh, yang telah kembali ke rahmatullah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Arwah mula menunjukkan simptom gangguan pernafasan sekitar sebulan lalu dan telah menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh selama hampir sebulan sebelum dipindahkan ke PPUM pada hari ketiga Syawal bagi rawatan susulan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati arwah mengalami jangkitan kuman di paru-paru,” menurut kenyataan tersebut.
Video yang telah meraih lebih 1.4 juta tontonan itu menyentuh hati ramai warganet. Kebanyakan mereka meluahkan rasa sebak melihat keakraban rakan-rakan kecil arwah yang setia bersama sehingga ke detik akhir perpisahan.
Baca artikel lain juga: Murid Pasti Jadi Juara Dunia Pidato Bahasa Inggeris
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my