Murid Darjah Satu Mohon Maaf Kepada Doktor Setelah Mengamuk Ketika Khatan. Terharu Baca!

Share

Hati mana yang tidak terharu apabila menerima sepucuk surat memohon maaf. Begitulah yang terjadi kepada seorang doktor baru-baru ini setelah menghadapi situasi seorang kanak-kanak mengamuk sehingga memarahinya ketika menjalankan prosedur berkhatan.

Namun, setelah anak ini datang mendapat rawatan susulan diklinik, beliau tidak menduga mendapat surat berkenaan daripada kanak-kanak berkenaan. Sopan sungguh anak ini setelah menyedari akan kesilapannya itu.

Jelas sekali, didikan ibu bapa yang baik kepada anak mempengaruhi tingkah lakunya. Lumrah kadang-kala anak buat perangai, tetapi dengan asuhan yang betul anak pastinya menyedari kesilapan. Termasuk mendidik anak dengan ungkapan ‘meminta maaf’ setelah melakukan kesalahan.

Melalui perkongsian Pengasas Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE), Dr Hanafi Yahya di laman facebooknya, pesakitnya itu merupakan seorang kanak-kanak darjah satu yang dikhatankan di kliniknya. Lantaran perasaan terlalu takut dan sakit, anak ini telah memarahi doktor yang merawatnya. Namun, setelah kembali semula mendapatkan rawatan susulan, surat mohon kemaafkan diberi kepada doktor tanda keinsafan diri atas kesilapan. Ikuti perkongsiannya.

______________________________________________________________________

Doktor ini terharu bila dapat surat mohon maaf

Terharu dapat ‘surat cinta’ dari pesakit yang saya sunatkan baru-baru ini. 
Sememangnya banyak dugaan & cabaran semasa melaksanakan tugas bersunat ni.
Biasa ler budak tengah takut, macam-macam diorang akan buat seperti menangis,   marah, maki, carut, tendang,cubit, gigit, terkencing dan kentut

Sebagai seorang doktor saya tidak pernah marah atau berkecil hati kepada mereka.
Kepada adik Adam, Jangan risau.. doktor tak marah dan maafkan awak. Doktor faham perasaan awak yang tengah risau dan takut.

Doktor pun dulu melalui pengalaman sunat sama macam awak. Doktor tahu awak seorang budak yang baik.

Semoga adik Adam cepat sembuh dan menjadi pewaris negara yang sentiasa berbakti kepada masyarakat. Amin…

Antara sebahagian anak-anak dikhatan di kliniknya

Pengalaman pertama 

Dalam pada itu, menurut sumber berita harian, doktor ini menjelaskan bahawa peristiwa mendapat surat permohonan meminta maaf adalah pertama kali sejak beliau bertugas di klinik.

“Sepanjang kerjaya sebagai doktor, inilah kali pertama saya terima surat permohonan maaf daripada seorang pesakit yang menerima khidmat di klinik.”

Katanya, ketika dibawa ibu bapanya ke klinik minggu lalu, murid itu memarahinya sejak mula proses bersunat dijalankan.

“Budak ini marah saya, kata saya jahat, halau saya keluar dari bilik itu (bilik khatan), malah dia jerit kata dia nak pulang dan bencikan doktor.

“Semalam, saya terima surat itu ketika dia datang ke klinik untuk membuat rawatan susulan dan saya terharu apabila membaca surat dan pengakuan ikhlasnya.

“Dia memohon maaf kerana marahkan doktor dan memaklumkan dirinya takut dan sakit ketika bersunat. Dalam surat itu juga dia maklumkan dirinya budak yang baik serta mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana merawatnya,”ujarnya”

Dr Hanafi berkata, beliau hanya tersenyum ketika murid berkenaan memarahinya dan menerangkan kepada murid berkenaan serta ibu bapanya bahawa prosedur dilakukan di kliniknya adalah biasa.

“Bagi saya murid ini mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi kerana dia sedar apa yang patut dilakukan apabila melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, tugas mengkhatankan kanak-kanak agak mencabar kerana pelbagai tindakan dan kata-kata dikeluarkan oleh kanak-kanak yang mahu menjalani proses itu disebabkan timbulnya rasa takut terutama selepas mendengar pelbagai cerita yang sengaja diada-adakan untuk menakutkan mereka.

Dr Hanafi memang dikenali terutama di daerah Muallim sejak memperkenalkan perkhidmatan DOC MOVE dan Kad Anak untuk anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muallim.

Kad Anak memberi peluang kepada anak yatim menerima rawatan dan ubat-ubatan secara percuma di klinik milik isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir, 35, yang terletak di Bandar Behrang 2020, selain menikmati diskaun di premis perniagaan yang berdaftar dalam perkhidmatan ini.

Sumber: berita harian  dan FB Hanafi Yahya