Setiap pekerjaan ada cabarannya, pun begitu mungkin ada yang menyangka kerja sebagai seorang pegawai kerajaan nampak mudah. Kerja stabil, ada kenaikan gred, akan ada pencen dan sebagainya.
Namun hakikatnya sebagai doktor kontrak KKM ia tidak semudah yang disangka, untuk menjadi seorang doktor, selain akademik, spiritual dan mental juga perlu tiptop.
Ini sebagaimana perkongsian daripada Dr Mohamad Ali Ridha Bin Said ini berkongsi di media sosial, akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk ‘angkat kaki’ dari terus berkhidmat di bawah KKM.
Difahamkan hospital terkahir beliau berhidmat adalah di Hospital Ranau, Sabah. Nyata perkongsiannya ini mencuri tumpuan ramai dan mendapat pelbagai respond.
Officially keluar dari KKM
Keputusan yang bukan mudah. Berfikir panjang. Ragu-ragu. Betul kah keputusan ini? Kalau ikut kata majoriti semua akan suruh stay KKM. Kerja gomen stabil, ada kenaikan gred, nanti dah dapat tetap akan ada pencen. Itu adalah zikir biasa. Eh, kenapa nak berhenti sekarang, jadi lah pakar dulu?
Akhirnya, keputusan ini dibulatkan, dan aku berhenti KKM pada 31 Mei dengan notis sebulan, dengan hospital terakhir aku berkhidmat adalah di Hospital Ranau, Sabah.
Perjalanan untuk menjadi seorang doktor bukanlah tempoh yang singkat. 7 tahun tempoh aku belajar dalam bidang perubatan (2 tahun persediaan + 5 tahun degree). Kemudian, dua tahun pula menjadi seorang doktor pelatih di Hospital Klang dan floating MO beberapa bulan juga di sana, sebelum kena transfer ke Hospital Ranau untuk bertahan lagi 4 bulan.
Orang kata menjadi seorang doktor itu sendiri, dah buat kau tiada life dan daripada awal mengambil bidang ini memang dah kena accept pemikiran itu. Walaupun sebelum ini berkhidmat di Hospital Klang, dikenali dengan kawasan yang sibuk, aku masih ok lagi, adalah life tu lagi, masih rasa seronok bekerja. Sempat bersosial, bersukan dan bernetworking dengan kawan-kawan, lebih-lebih lagi masih ada peluang masa kerap bersama dengan keluarga tercinta.
Segala-galanya berubah apabila mengetahui Januari lepas, akan kena transfer ke sabah. Rasa berdebar, apa pula nasib aku di sana nanti. Tapi aku kentalkan semangat, pergi jugalah. Dahlah masih berstatus kontrak, kena pula transfer jauh ke sabah, jauh amat daripada keluarga, meninggalkan segala perkara yang aku dah selesa di Selangor. Di sini saja, dah buat motivasi aku luntur.
Bukan tidak berusaha, usaha juga yang terbaik untuk aku menyesuaikan diri di Hospital Ranau, salah satu hospital daerah di pedalaman Sabah.
Kalau di hospital besar, kita sentiasa ada orang yang lebih berpengalaman atau pakar untuk rujukan. Tapi di hospital daerah ini, you are on your own dari detik mula pesakit sampai. Kena tahu bila sesuatu kes tu adalah di luar kemampuan hospital daerah, stabilkan pesakit untuk transfer out, tahu masa yang tepat untuk hantar keluar. Jadi proses merujuk doktor-doktor berpengalamanan/pakar di hospital besar di Kota Kinabalu adalah perkara biasa. Memang aku rasa palpitasi setiap kali tahu, nak kena refer case. Berharap sangat doktor pakar yang aku nak refer tu, tak jenis banyak kerenah.
Aku dapat merasai beberapa kali pengalaman escort patient yang perlu transfer ke hospital besar di Kota Kinabalu dengan perjalanan 2 jam setengah, melalui sepanjang jalan yang tidak rata, turun naik bukit dan bersimpang siur. Memang akan rasa mual-mual dan nak muntah masa awal-awal merasa dulu.
Apabila pesakit yang perlu di hantar ke hospital besar agak ramai, dan tidak cukup ambulance, dah kena pilih pulak dulu, siapa yang patut di hantar. Kadang aku rasa geram, penat merefer, penat dapatkan tarikh appointment pesakit, sekali kena call balik pihak sana untuk resechedule balik sebab kekangan ambulance.
Baca artikel menarik lain di sini:
- “Bijaknya Adik Ni…”-Warganet Tumpang Bangga, Senang Je Jawab Beza Pemimpin Tempatan & Eropah!
- “Abang Sentiasa Buat Saya Rasa Dihargai ..”-Coretan Isteri Reda Permergian Suami, Undang Sayu!
- Kuih Telaga Emas, Rupa Cantik Rasa Pun Sedap. Ni Resipi Boleh Cuba Buat!
Bekerja di hospital daerah, kita kena terima hakikat yang segala-galanya adalah penuh dengan kekurangan. Logistik isu sentiasa menjadi masalah. Tempat di mana alatan, ubat dan segalanya adalah terhad. Belum cerita lagi masalah tiada air atau air kotor yang menjadi masalah hampir setiap minggu, masalah letrik terputus ada dalam sebulan sekali. Apabila berlaku masalah air, maka beberapa result investigation pesakit tidak akan dapat dilengkapkan, pada waktu ini, pesakit akan ramai terkandas di jabatan kecemasan.
Di sini memang hanya fikir bekerja sahaja, akibat ketidakcukupan doktor, oncall lebih 10 kali dalam sebulan tu adalah perkara biasa. Memang tiada life working balance. Selagi tidak mohon cuti, mostly memang akan kena bekerja tak kira weekend mahupun public holiday. Nak ambil MC atau EL pun kadang aku rasa tak sampai hati sebab nak kena fikir nak cari pengganti. Selagi ada tenaga untuk bekerja, bekerja lah. Aku haritu cirit birit dan demam, ulang alik beberapa kali ke tandas time ward round. Sampai ada staffnurse tanya, “doktor ok ka ni?”.
Siapa yang tidak ingin menjadi seorang pakar, aku pun dulu mula-mula sangat tertarik nak menjadi seorang pakar specifically pakar kanak-kanak. Tetapi apakan daya masa mengubah segala-galanya.
Mungkin aku tak cukup sabar untuk kekal lama di KKM. Apabila aku telah hilang life working balance yang aku nak, maka saki baki kesabaran itu sudah hilang. I have lost my ‘purpose’ to stay in KKM.
Aku sangat pandang tinggi pada kawan-kawan yang sanggup bekerja di hospital daerah, malah ada yang sampai berbelas tahun kekal di hospital daerah. Korang punya clinical skill, decision making dan confidence pasti jauh lebih baik dari mereka yang bekerja di hospital-hospital besar.
Sedih mahu meninggalkan rakan-rakan dan staff-staff di Hospital Ranau yang sangat friendly. Disebabkan bantuan mereka lah, aku dapat bertahan dan dapat berfungsi bekerja di hospital ini untuk tempoh beberapa bulan.
Akhir kata, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada semua doktor-doktor pakar, rakan-rakan MO, MA, staffnurse, dan rakan-rakan sekerja yang banyak membimbing dan mengajar selama 3 tahun yang lalu yang membentuk diri aku hari ini. Pengalaman bekerja dalam KKM adalah pengalaman bekerja yang sangat berharga, ada pahit dan manis yang akan terus tersemat dalam memori sampai bila-bila. Semoga akan ada masa depan yang lebih baik untuk doktor-doktor di KKM selepas ini.
Bismillahirrahmanirrahim, langkah dibuka untuk perjalanan baru.
Dr Mohamad Ali Ridha Bin Said,
bekas pegawai perubatan kontrak KKM.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club