“Mungkin Sekarang Jari Yang Di Ambil Allah. Esok Nanti, Badan Kita Pula” – Shahronizam Noor

Share

Sedangkan terhiris pisau pun kita dah terasa sakitnya, apatah lagi bila terputus salah satu jari yang selama ini elok di tangan kita.

Itulah yang terjadi buat Pelakon Shahronizam Noor dan menyifatkan kehilangan jari kelingking kiri yang putus ketika memotong ayam untuk memberi kucing makan di rumahnya pada 10 April lalu, sebagai ujian kecil daripada Allah.

Memetik laporan Harian Metro, Shahronizam ketika ditemui berkata, anggota badan seperti jari itu adalah pinjaman daripada Allah dan bila-bila masa saja boleh diambil semula dalam apa keadaan yang menjadi penyebabnya.

“Apapun, saya bersyukur kerana tidak panik ketika berhadapan kemalangan dan saat cemas bersendirian di rumah. Isteri saya, Safura ketika itu berada di Singapura kerana mengikuti karnival jualan sempena Ramadan di sana.

“Saya dihantar ke Hospital Ampang untuk dapatkan rawatan dengan bantuan jiran. Alhamdulillah, sedikit pun saya tidak panik kerana penting untuk saya memastikan keadaan diri stabil dan tenang. Benda pun dah jadi.

“Pada isteri pun, saya hubungi dia beritahu hanya alami kemalangan kecil dan ringan saja. Ini kerana, saya tidak mahu dia (isteri) rasa panik dan fikir macam-macam sebab perjalanan nak balik ke Kuala Lumpur dari Singapura itu jauh.

“Lagi pula, saya sudah menerima rawatan di hospital. Jadi, tak ada apa yang perlu dibimbangkan. Cuma, saya yang harus utamakan keselamatan perjalanan pulang isteri ketika itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga penerimaan orang tuanya di kampung ketika balik beraya pada Aidilfitri lalu, Shahronizam berkata, ibunya agak sedih melihat dia sudah tiada jari kelingking.

“Emak saya memang sedihlah bila tengok jari kelingking saya sedikit saja yang tinggal. Tapi, benda dah jadi, sabar sajalah. Benda pun sedikit. Kita pun semua ini pinjaman. Mungkin sekarang jari yang diambil oleh Allah. Esok nanti, badan kita pula. Pinjam saja, tak ada masalah pun,” katanya.

Shahronizam berkata, dia juga bernasib baik mempunyai perlindungan insurans peribadi, namun mengakui tidak membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Seorang wakil daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) hubungi saya bertanya ada mencarum Perkeso atau tidak. Bagaimanapun, Presiden Seniman langsung tiada menghubungi saya untuk bertanya khabar.

“Rasa terkilan juga sebab saya ahli Seniman dan kenal lama juga dengan Presiden sebagai rakan sesama pelakon. Tapi, tiada pun nak menghubungi atau menghantar mesej bertanya khabar. Saya bukan minta bantuan pun, cukuplah tanya khabar saja,” katanya.

Shahronizam bertemu jodoh dengan penyanyi dan pelakon, Safura Yaacob pada 2006 dan mempunyai empat cahaya mata.

Sumber : Harian Metro