Bak kata orang dulu, mulut ibu tu masin. Ia dikatakan mendoakan buat anak. Jadi jangan main sebut je perkara yang tidak elok untuk anak. Sebab tu, jika orang dulu-dulu, marah anak akan kata, “bertuahnya anak!”
Nyata pelbagai cabaran apabila bergelar ibu bapa. Salah satunya ialah cabaran dalam mendidik anak-anak. Kadang-kala, karenah anak-anak membuatkan kita hilang sabar sehingga melontar kata-kata agak kasar kepada anak. Perkongsian puan Effy Sueffy bermanfaat dijadikan panduan. Moga kita muhasabah diri dalam mendidik anak.
Musim cuti macam sekarang, anak-anak meriahlah kat rumah. Berkumpul pulak adik-beradik. Banyaklah ragam masing-masing, kan?
Mak-mak masa macam ni, ramailah yang cakap diri jadi naga, harimau, singa semua.
Itu mak. Kalau ayahnya agak bertukar jadi t-rex kot. Huhu.
Apa pun, dalam kita melepaskan rasa geram dek banyaknya ragam anak-anak, kena tahu juga beberapa perkataan larangan yang tak sepatutnya disebut kepada anak-anak.
Jom kita semak apakah perkataan larangan tersebut.
1. Degil.
Anak-anak biasalah, tengah nak belajar. Kadang terbuatlah benda yang kita tegah. Tiba-tiba tereksiden pulak. Aduh!
Dan kita terbiasa laju menyebut, “Itulah, degil sangat! Kan dah sakit”.
Degil yang kita sebut pada mereka, degillah jadinya. Sebab itu doa kita untuk anak-anak.
2. Nakal.
Sama macam degil, ini perkataan yang selalu kita sebut dengan lancar pada anak-anak. Anak aktif lebih sikit, kita dah tak senang duduk.
Ayat biasa kitalah,
“Kenapa nakal sangat?”
“Jangan nakal sangat, boleh?”
Kita yang selalu sebut nakal, nakal, nakal. Bila anak betul-betul jadi nakal, kita salahkan anak.
3. Bodoh.
Ini mungkin tak ramai mak ayah yang sebut. Tapi jangan terperanjat kalau terdengar ada juga mak ayah yang laju saja membodohkan anak-anak.
Cuma sebab anak tak pandai jawab soalan matematik, atau tak tahu macam mana nak kemaskan pakaian. Bukanlah sesuatu yang pelik pun. Kadang-kadang anak taktau sebab tak diajar.
Kenapa dibodohkan anak sedangkan kitalah yang menjadikan mereka ‘bodoh’? ?
4. Kurang ajar.
“Kurang ajarlah kau!”
“Siapa ajar kau kurang ajar ni?”
Perkataan tu kita dengar pun tak suka. Apa lagi anak-anak. Sakit hati rasa.
Lama-lama anak simpan dalam hati. Jadi dendam. Dan doa itulah yang jadi penghias diri mereka.
5. Pemalas.
Siapa tak pernah sebut anak pemalas?
Bila kita minta tolong, anak tak bergerak. Lambat. Kita tak sabar,
“Hei, kenapa pemalas ni? Kan dah suruh dari tadi”.
“Suruh kemas tu pun malas. Apalah nak jadi kau ni?”
Jadi pemalaslah anak tu. Dah itu yang kita sebut selalu. Dapatlah.
Semoga apa yang kita terlepas cakap, tak jadi doa. Terbatal dari dimakbulkan. Sebab apa saja perkataan yang terlafaz dari mulut kita mak ayah (terutama mak), adalah doa yang tak terhijab. Termakbul sekalipun terlafaz tanpa niat.
Semoga kita dapat menggantikan perkataan yang lebih baik dan penuh hikmah bila nak menegur anak-anak. Marah anak memang perlu, tapi eloklah kita marah dengan perkataan yang lebih baik.