Dalam persahabatan, yang paling sukar untuk ditemui adalah sahabat yang sanggup bersusah bersama dengan kita.
Ketika gembira, kita pasti akan dikelilingi dengan insan-insan yang turut sama bergelak tawa bersama tapi jika berduka, hanya yang benar-benar memahami sahaja akan setia di sisi.
Namun video yang viral baru-baru ini, seakan mengubah persepsi tersebut. Video yang menunjukkan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) telah di suapkan makanan oleh rakannya.
Apa yang menyentuh hati adalah rakannya itu setia menguapkan ‘corndog’ sehingga kanak-kanak itu menghabiskan makanan tersebut.
Adegan ini telah berlaku ketika waktu rehat di sebuah sekolah rendah. Jelas terlihat kanak-kanak OKU tersebut tidak mampu untuk memegang makanan tersebut sendiri tanpa bantuan dari rakan.
Bagaimanapun, kekurangan fizikal pada dirinya itu dilengkapkan dengan seorang rakan yang berhati mulia, yang sabar menyuapkan makanan kepadanya.
Dari ruangan komen, ramai yang memuji tindakan rakannya itu memandangkan jika rakan lain seusia mereka ini pasti akan memilih untuk bersama rakan sebaya yang lain untuk menikmati waktu makan bersama.
“Mulianya hati awak dik. Terharu tengok awak bantu mudahkan kawan nak makan tu. Sangat istimewa.”
Dalam pada itu, ramai yang memuji didikan ibu bapa kepada pelajar tersebut sehingga membentuk peribadi yang baik dan mulia yang mungkin sukar untuk didapati oleh kanak-kanak sebaya dengannya.
Ads
Ramai yang mendoakan kesejahteraan mereka agar berjaya dan mengharapkan persahabatan ini akan terus kekal.
Namanya tidak pernah tercicir dari senarai 10 pelajar terbaik di sekolah. Usaha gigihnya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tidak suka membuang masa antara faktor yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR tahun lepas.
Muhammad Zaki Mahdi bin Chamam, muncul sebagai anak Melayu pertama yang memperoleh 8A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
“Zaki merupakan seorang yang sensitif dan boleh dikatakan manja. Selagi kerja rumah atau hasrat dia tidak saya turut selagi itu dia tidak akan berhenti berusaha. Dalam erti kata lain dia seorang yang konsisten dan tahu apa yang dia nak.
Dia juga lebih suka habiskan masa dengan membaca buku cerita pada waktu lapang. Sekiranya kami ke Ampang Point, kedai buku Popular sudah menjadi keutamaan untuk dia singgah. Selain itu, di rumah dia ada jadual belajar sendiri yang memang dia akan ikut sepenuhnya.
“Malah, dia rajin buat peta minda dengan pen warna-warni. Zaki juga gemar membaca buku cerita. Untuk memperbaiki bahasa Mandarin saya bawa dia ke kedai buku Popular dan belikan buku cerita yang dia pilih sendiri. Setiap buku cerita yang dibeli pasti Zaki akan meminta saya balut terlebih dahulu.
“Seminggu 3 kali mereka akan ikuti kelas bimbingan untuk mata pelajaran UPSR. Saya menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kamus sebagai bahan rujukan. Saya juga beli kan buku latih tubi sebagai persediaan dan saya akan tetapkan masa seperti peperiksaan sebenar agar mereka terbiasa untuk menyiapkan soalan dalam masa yang ditetapkan. Selain dari itu saya juga menyediakan whiteboard untuk mereka gunakan sebagai alat bantuan agar dapat ajar satu sama lain,”jelas Nurhidayu ibu kepada si kembar Muhammad Aqil Mahdi dan Muhammad Zaki Mahdi ketika ditemu bual oleh Majalah Keluarga baru-baru ini.
Kembar tidak bermakna minat dan pemikiran sama. Namun satu kelebihannya mereka punya hati dan perasaan yang sama. Saling menyayangi dan tidak wujud perasaan iri hati jauh sekali cemburu biarpun salah seorang daripada mereka lebih berjaya.
“Waktu mengambil keputusan UPSR baru-baru ini, saya dari awal sudah tahu keputusan mereka kerana menerima melalui SMS. Sebagai ibu, saya rasa gembira dan terharu sehingga menitis air mata. Cuma saya kena bijak main peranan supaya tidak ada yang terasa hati. Walaupun abang tidak mendapat A dalam Bahasa Mandarin, tetapi dia seolah olah dapat menjangka yang adiknya pasti mendapat keputusan lebih baik dan dia turut rasa bangga atas pencapaian adiknya. Keputusan Zaki mendapat 8A’s juga semuanya atas izin Allah SWT. Saya selalu mengingatkan Aqil dan Zaki, UPSR hanya permulaan, mereka perlu tempuh ujian yang lebih besar lagi selepas ini. Justeru, sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan anak-anak saya akan mendapat keputusan yang cemerlang juga di PT3 dan SPM.
“Bab layanan tidak timbul soal berat sebelah kerana sejak dahulu lagi saya berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata baik abang mahupun adik. Soal gaduh itu perkara biasa nama pun adik- beradik kan. Oleh kerana mereka belajar di SJKC, setiap Sabtu dan Ahad pagi mereka akan belajar agama dan mengaji Al-Quran di Azraq Center. Selepas itu kami akan melakukan aktiviti bersama seperti bermain badminton di Sport Planet, roller blade di Taman Cabaran Putrajaya, berenang di rumah. Aktiviti seperti ini setiap minggu saya akan ganti-ganti agar mereka tidak bosan.
“Pada hujung minggu juga saya akan bawa Aqil Zaki untuk berjumpa atok dan nyang mereka di Kota Warisan Sepang. Bila di rumah atok pasti Tok Wan akan masakan kari ayam lauk kegemaran Aqil Zaki. Di sana mereka juga akan meluangkan masa bermain bersama sepupu,” ujar Nurhidayu Kamaludin sambil memberitahu anaknya gemar makan bijirin dengan susu sebelum pergi sekolah dan setiap hujung minggu dia akan bawa anak-anak ke bakery untuk memilih roti kegemaran mereka sebagai bekal sekolah.
Memegang jawatan sebagai Regional Sales Manager, GeoTeric di salah sebuah syarikat oil & gas services, Nurhidayu bagaimanapun tidak mahu kerjaya menyebabkan masanya dengan anak-anak terbatas. Bahkan, setiap kali menjelang peperiksaan baik dia mahupun suami, Chamam Zulkarnen yang bertugas sebagai Freelance Konsultant Geophysicist sentiasa menadah telinga dan membuka mata untuk anak-anak andai diperlukan.
“Satu yang penting apabila menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan adalah menyediakan pelbagai kamus supaya mereka dapat banyak manfaat daripadanya. Saya dan suami tiada pengetahuan dengan Bahasa Mandarin, jadi kami kena banyak guna kamus untuk membantu mereka. Sebab itu saya belikan pelbagai kamus kerana dapat memahami banyak perkataan baru.
“Dua minggu sebelum UPSR, ibu saya iaitu nenek kepada Aqil dan Zaki yang telah pun bersara merupakan seorang guru bahasa Melayu, turut membantu mereka mengulang kaji dalam subjek bahasa Melayu. Sehari sebelum peperiksaan, saya mengingatkan mereka untuk menelefon nenek dan atok agar mendoakan kejayaan buat mereka.
“Ketika hari peperiksaan UPSR saya memberi mereka motivasi dengan menghantar mereka ke sekolah dan teman mereka ulang kaji di dewan sekolah sehingga lah loceng berbunyi. Saya cuma berpesan, lakukan yang terbaik dan berserah pada Allah. Sekiranya panik ingat pada Allah dan berdoa lah.
“Kami tidak pernah bertanya bagaimana kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut sehingga lah semua kertas UPSR telah selesai sepenuhnya. Yang sudah selesai tidak perlu dibicarakan. Fokus pada kertas yang seterusnya,” ujar Nurhidayu lagi sambil memberitahu anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang berminat main game dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada hujung minggu selepas selesai kerja sekolah dan membasuh kasut.
Ditanya mengenai pemakanan untuk anak-anaknya, akui Nurhidayu selain bijirin dan susu, menu sayur antara yang wajib ada di meja makan baik siang mahupun malam.
“Sejak dari kecil mereka suka makan sayur. Sayur kegemaran mereka seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung. Susu pula minuman pilihan selepas makan malam dan sarapan mereka. Setiap minggu saya akan masak tempe dan tauhu goreng buat mereka. Selain dari itu Zaki juga suka sangat makan telur mata separuh masak. Alhamdulillah mereka pengemar sayur tetapi kurang gemar makan daging dan tidak makan seafood. Nasi goreng cina dan nasi goreng telur menjadi pilihan bila makan di luar.
“Saya jadikan waktu makan dan hujung minggu sebagai waktu bersama-sama keluarga. Oleh itu pada waktu makan malam saya akan sentiasa bertanya kegiatan dan kejadian yang berlaku seharian di sekolah. Masakan spegetti bolognise yang saya masak merupakan makanan kegemaran Zaki. Oleh itu hujung minggu saya akan hidangkan untuk mereka.
“Buah yang mereka makan hanya Buah Naga yang berwarna merah. Buah ni dari kecil mereka makan sampai lah sekarang. Kalau buah lain mereka akan makan kalau dipaksa. Kalau bab makan mereka banyak persamaan tetapi hobi sedikit berbeza, Aqil suka membaca komik dan aktiviti lasak manakala Zaki pula suka membaca buku terutama novel selain melukis.
Ditanya sama ada akan terus belajar di SJKC selepas ini, Zaki hanya menggelengkan kepala kerana dia kini sudah ada impian lain iaitu ingin menyambung pengajian di Sekolah Aminuddin Baki bersama abangnya, Aqil jika ada rezeki dan terpilih.
“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa mereka untuk sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya akur dengan pilihan mereka untuk tidak sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya sendiri telah melihat bagaimana mereka luangkan masa mengulangkaji dan cuba memahami mata pelajaran yang tidak mampu saya ajar sendiri.
“Saya cuma boleh support mereka dengan membayar kelas tambahan. Kami hanya dapat mengajar mereka subjek Bahasa Melayu dan English sahaja. Matematik dan Sains semua nya dalam bahasa Mandarin.
‘Satu lagi, saya dan suami elakkan gajet pada anak-anak. Cuma apabila mereka capai kejayaan dalam UPSR jadi saya belikan hadiah telefon kerana itu yang mereka inginkan. Cuma jika mereka mahu belajar bahasa Mandarin, saya berikan telefon saya kerana ada apps di dalamnya yang boleh membantu mereka. Malah, kami tahu siapa kawan mereka dan dengan siapa mereka bergaul. Saya suka mereka bawa kawan ke rumah, saya akan memasak dan mereka akan makan bersama.
“Alhamdullillah mereka hargai pengorbanan yang kami lalukan buat mereka. Terima kasih Zaki dan Aqil telah berusaha dan juga membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berpesan kepada mereka agar lakukan yang terbaik untuk PT3 dan SPM agar terus mengharumkan nama bangsa Melayu,”ujar Nurhidayu lagi.
Tip belajar dari Zaki
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Berikutan subsidi tidak akan diteruskan bermula hari ini, 1 Julai 2022 untuk minyak botol 2kg, 3kg dan 5kg, kemungkinan akan berlakunya peningkatan harga bagi bahan mentah itu.
Bagaimanapun, nak tak nak kena beli juga untuk kegunaan harian untuk memasak. Kalau tak ada minyak, macam mana nak tumis sambal, goreng ikan. Ye dak?
Apa yang anda boleh buat, kurangkan kegunaannya dari sebelum ini sebagai langkah penjimatan seperti yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Saadan. Jom ikuti perkongsiannya!
Harga barangan dapur dah semakin meningkat, termasuk harga minyak masak. Jadi apakah yang boleh dilakukan sebagai langkah penjimatan?
1. Tukar menu gorengan kepada menu rebusan, singgang, renehan, atau stim. Selain lebih menjimatkan, ia juga lebih sihat.
2. Bakar atau panggang sebagai alternatif goreng. Ia gunakan minyak yang sedikit, tetapi masih boleh hasilkan makanan yang sedap.
3. Gunakan kuali kalis lekat(non-stick), untuk membolehkan anda membuat gorengan guna minyak yang sedikit (pan fry) tanpa lekat.
4. Boleh pertimbangkan untuk dapatkan “air fryer”. Harganya kini bermula sekitar RM150. Ini perlukan sedikit modal.
5. Jika “deep dry” makanan bersalut tepung, pastikan suhu minyak 180-190°C sebelum menggoreng untuk elak tepung menyerap minyak.
6. Jangan goreng makanan terlalu banyak dalam satu masa. Lebih banyak hendak digoreng serentak, lebih banyak minyak diperlukan.
7. Elak panaskan minyak sehingga terlalu panas kerana boleh merosakkan minyak dan menjadi ia tidak selamat untuk diulang guna.
8. Tak usah campurkan minyak baru kepada minyak lama. Ia akan mencemarkan minyak baru, dan memendekkan hayat selamatnya.
9. Tapis, sejukkan, dan simpan minyak yang hendak diulang guna di dalam bekas kedap udara. Pastikan tiada bahan terampai.
10. Menjual semula minyak masak terpakai untuk diproses menjadi biodiesel. Harga minyak masak terpakai adalah sekitar RM2-3/kg.
Dalam kita berjimat cermat dalam penggunaan minyak, kita masih perlu utamakan kesihatan. Elakkan terlalu banyak ulang guna minyak gorengan.
Apakah tanda-tanda minyak masak sudah tidak boleh digunakan lagi untuk ulang goreng?
◾️Warna bertukar perang pekat.
◾️Minyak menjadi lebih likat.
◾️Minyak berbau tengik.
◾️Banyak asap terhasil ketika dipanaskan.
◾️Warna makanan yang digoreng terlalu gelap.
◾️Rasa makanan yang digoreng tidak sedap.
Ibubapa mana yang tidak mahu anak-anaknya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Oleh sebab itu, sedari kecil, mereka telah cuba mendidik anak-anak dengan caranya mereka.
Namun ada kalanya, ibu bapa tidak sedar bahawa didikan tersebut telah membawa kesan buruk pada anak-anak. Haruslah diingat, setiap anak-anak ada kalanya lain penerimaan mereka dan tidak boleh sama cara didikannya.
Di sini disenaraikan 15 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak yang mungkin akan membuatkan anda menyesal seumur hidup jika melakukannya.
15 kesilapan mengajar anak yang saya menyesal sampai sekarang. Jadikan pengajaran…
1. Terlalu garang masa mengajar, kesannya sampai sekarang anak takut kalau nak minta saya ajar.
2. Terlalu memaksa anak melampaui kemampuan dia, natijahnya anak selalu stress kalau belajar dengan saya.
3. Marah bila anak diam & tak nak jawab pertanyaan saya. Aduhai.
4. Terlalu nak perfect sangat, tulisan comot sikit tak boleh, senget sikit tak boleh.
5. Tak peduli kondisi emosi anak ketika itu, main marah je jika anak tak nak belajar.
6. Letak expectation yang tinggi melampau. Tanpa peduli kemampuan & keupayaan dia.
7. Banyak fokus pada nak hebat akademik sahaja, sedangkan adab & akhlak terabai.
8. Bila anak cakap “saya tak pandai” memang kena marah kaw kaw.
9. Asyik bagi arahan bukan ajakan motivasi, inspirasi jarang. “Pergi belajar sekarang!”
10. Lupa anak bukan belajar yang kita ajar sahaja tapi anak belajar juga sikap & emosi kita ketika mengajar dia. ( our action )
11. Hanya puji bila anak berjaya dapat result baik. Terlalu result oriented..
12. Jarang sangat memuji usaha anak sedangkan usaha tu la yang memberi result. ( Effort oriented )
13. Amalkan instant gratification. Sentiasa nak result cepat, hari ni ajar esok kena pandai.
14. Marah kalau kena ulang ulang cakap benda yang sama. Sedangkan ulangan itu mother of knowledge, bagus untuk anak..
15. Jadikan anak trofi. Memang tak boleh dengar kalau anak dapat tempat tercorot dalam kelas memang benggang habis.
Sungguh!
Menyesal sangat. Semoga nasihat & sharing jujur ini dapat la menyentuh hati hati setiap ibu ayah yang ikhlas sayang pada anaknya. Didik anak berpada-pada. Bukan hanya fokus pada cerdas IQ sahaja tapi sebaiknya cerdas sekali EQ & SQ dia. Itu lebih baik. Wallahu A’lam..