Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Ungkapan yang cukup sesuai menggambarkan personaliti yang satu ini. Disebalik kekurangan yang ada padanya, Allah anugerahkan kelebihan yang tidak ternilai.
Norfarrah Syahirah Shaari, 31 adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kudung kedua belah tangan sejak lahir. Jadi, dia menggunakan kaki untuk melakukan kerja harian termasuk memandu ke tempat kerja serta lain-lain destinasi.
Video yang memaparkan Nofarrah memandu kereta menggunakan kaki dikongsikan oleh seorang rakannya di twitter baru-baru ini. Perkongsian dari rfzilaa telah bagai manapun mendapat perhatian warganet. Rata-rata memuji akan ketabahan dan juga kelebihan yang ada pada Norfarrah.
Sementara itu, Norfarrah mengakui sudah membiasakan diri memandu berseorangan dan itu menjadi rutin sejak tujuh tahun lalu.
“Awalnya memang takut tetapi saya beranikan diri untuk belajar memandu kerana mahu berdikari dan enggan menyusahkan orang sekeliling.
“Dulu ayah kerap berulang alik dari rumah untuk menghantar dan mengambilnya pulang dari tempat kerja. tapi lama-kelamaan saya berfikir sampai bila nak mengharapkan bapa dan orang sekeliling.
“Timbul keinginan untuk memiliki lesen memandu dan mulanya, saya tidak yakin sehingga melihat kebolehan seorang rakan OKU memandu walaupun dalam keadaan fizikal yang serba kekurangan.
“Sejak itu juga, saya kerap berhubung dengannya (rakan OKU) untuk bertanya dengan lebih lanjut sebelum memberanikan diri untuk belajar dan alhamdulillah, saya lulus dalam ujian memandu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Norfarrah yang kini bertugas sebagai pembantu tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak berkata, dia mengambil masa dua minggu saja untuk membiasakan diri memandu menggunakan kaki.
Menurut Norfarrah, perkara paling sukar dilakukannya ketika mula memandu adalah meletak kenderaan dalam keadaan mengundur.
“Memang sukar tetapi tak sampai sebulan, saya sudah dapat membiasakan diri untuk memandu sendiri dengan yakin.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan setakat ini, saya belum pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya.
“Malah, saya selesa memandu dengan kedua belah kaki dan tidak timbul masalah kerana selama ini, rutin harian lain turut dilakukan dengan anggota berkenaan,” katanya.
Norfarrah berkata, dia tidak sangka videonya memandu menggunakan kaki tular di laman sosial dan hanya tahu mengenai perkara itu selepas diberitahu oleh rakannya.
“Terkejut dan pada masa sama gembira kerana ramai memberi sokongan dan kata semangat kepada saya.
“Terima kasih kepada semua dan saya percaya, ramai lagi OKU di luar sana yang mempunyai kebolehan luar biasa.
“Apa yang penting, mereka kuat semangat dan sentiasa berusaha kerana status sebagai OKU bukan alasan untuk menyusahkan orang sekeliling,” katanya yang juga aktif sebagai penceramah jemputan di sekolah sekitar Perak.
Tweet tersebut yang kini sudah mendapat 11.8 ribu ciapan, mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kagum dengan kebolehan yang ada pada wanita OKU itu.
Sumber : Nrfzilaa & Harian Metro