Adat memiliki anak-anak kecil, meskipun telah dipesan berulang kali agar menjaga kebersihan,namun sisa makanan yang tercicir pasti tetap ada didalam kereta. Perkara ini sekaligus mampu mengundang kehadiran serangga perosak seperti lipas.
Geram melihat kemunculan kehadiran serangga perosak ini, kami kongsikan cara mudah untuk memerangkap lipas-lipas kecil yang berkampung di dalam kereta hanya dengan menggunakan tiga bahan di dapur anda sahaja.
BAHAN-BAHAN:
3 senduk minyak masak terpakai
2 sudu kecil marjerin/ Planta
1 sudu kecil susu pekat
CARA MEMBUAT:
1) Sediakan bekas plastik kosong yang sudah tidak digunakan lagi.
2) Masukkan minyak masak terpakai atau minyak masak yang telah digunakan didalam bekas plastik tersebut. Tidak perlu membazir menggunakan minyak masak yang baru.
3) Kemudian, campurkan pula dengan Planta atau majerin.
4) Setelah itu, tambahkan dengan sedikit susu pekat.
5) Letakkan bekas campuran minyak tadi di mana-mana yang anda rasa berpotensi untuk menangkap lipas, seperti bawah tempat duduk kereta.
Tip Ekstra: Seeloknya letakkan bekas tersebut pada waktu malam dan biarkan semalaman, ketika kereta tidak digunakan dan lihatlah hasilnya pada keesokkan hari.
Selamat mencuba!
“Bercakap Dengan Anak Tu Perkara Remeh, Isteri Kan Ada…” Dr Ni Kongsi Pentingnya Ayah Bercakap Dengan Anak!
Bila ditanya anak-anak, antara ibu dan ayah siapa lagi mereka selesa untuk berbual atau bercakap tentang sesuatu perkara.
Mungkin ada antaranya mengatakan ibu. Ini dek kerana sedari kecil hanya ibulah yang rajin melayan dan bersembang dengannya.
Berbanding sikap ayah yang tidak bercakap banyak dengan anak-anak kerana memikirkan biarlah isteri urus hal anak-anak.
Pun begitu, situasi ini bukanlah cara terbaik dan perlu diubah agar pihak suami juga tahu serba serbi tentang anak.
Berkongsi ilmu keibubapaan berkenaan pentingnya seorang ayah bercakap dengan anaknya dan cara bagaimana isteri dapat membantu pasangan untuk berubah ke arah itu, jom baca perkongsian daripada Dr Redza Zainol ini.
“Macam mana saya nak bagi pasangan saya faham pentingnya untuk bercakap dengan anak-anak?”
Bila ada follower mengeluh pasangan dia tak minat nak tahu ilmu parenting, saya sebenarnya teringat pada diri saya sendiri.
Dulu saya fikir dah cukup sangat kalau saya pergi kerja, bayar yuran itu ini, bagi anak makan minum dan sediakan tempat tinggal yang selesa.
Bahagian bermain dan bercakap dengan anak tu bukannya tak buat langsung, tapi kuranglah.
Pada saya remeh aje nak buat semua tu. Isteri kan ada. Itulah kesilapan saya.
Bila mula ada kesedaran, taklah terus bertukar 180 darjah jadi ayah yang tahu serba serbi. Saya mula belajar benda sekecil cara nak respon pada anak, cara puji anak, cara urus emosi negatif anak dan bermacam lagi.
Saya terus belajar sampailah satu hari isteri kata pada saya,
“Uniknya cara Allah susun perjalanan supaya awak belajar ilmu parenting.”
Waktu tu barulah saya tersedar apa impian isteri saya.
Dia berharap sangat saya sama-sama ambil tahu tentang ilmu keibubapaan. Dia berharap sangat kami besarkan anak dengan cara yang sama.
Kalau pasangan kalian tak minat dengan ilmu parenting, saya kongsikan 5 tips ni.
1. Tambah ilmu
Kalau nak pasangan sama-sama jadi Involved Parents, kita sendiri wajib tambah ilmu dulu. Barulah tahu di mana kekurangan diri sendiri.
2. Kena ‘lead by example’
Ini yang selalu isteri saya buat. Ilmu yang dia kongsi pada saya, dia amalkan di dalam atau luar rumah.
3. Tunjuk secara praktikal.
Kita tunjukkan praktikal cara nak uruskan anak yang meragam, skrip untuk ‘acknowledge’ perasaan anak, cara bermain dengan anak dan bermacam lagi.
4. Teruskan berkongsi.
Apa-apa tips atau video yang kita rasa bagus, hantarkan je pada pasangan kita. Jangan ada rasa yang pasangan kita takkan ambil tahu.
5. Teruskan berdoa. Ni yang paling penting.
Kena ingat yang hati manusia, Allah yang pegang. Kalau Allah nak bukakan hati pasangan kita, sekelip mata je Allah boleh buat.
Saya percaya, apa saja perjalanan hidup kita, tak ada satu pun yang Allah susun dengan sia-sia.
Sumber : Redza Zainol
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
“Setiap Hari Saya Menangis & Bertanya Bila Akan Dikembalikan” Azi Buka Cerita Kejadian Culik
“Setiap hari ketika dalam tahanan saya berdoa agar segera dikembalikan kepada keluarga dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan,” kata Rosnazirah Mohd Naim.
Setelah beberapa minggu jauh dari pangkuan keluarga akibat diculik, semalam Rosnazirah atau lebih dikenali sebagai Azi selamat diserahkan kepada keluarganya.
Ejen jualan kosmetik itu berkata, dia tidak mengingati secara jelas kronologi penculikannya, namun tahu ditempatkan di sebuah rumah seakan inap desa di sebuah perkampungan di Laos selepas menempuh perjalanan panjang dari Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Ketika tiba di tebing Sungai Golok pada hari kejadian (diculik) untuk menaiki bot, ada beberapa saksi di sekitar tapi mungkin mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku atau tidak ingin masuk campur kerana takut.
“Sebaik menyeberangi Sungai Golok, saya dibawa menaiki kereta dan terus menuju ke destinasi yang tidak diketahui, tapi menempuh perjalanan yang lama sehinggalah tiba di sebuah rumah di Laos.
“Sepanjang ditahan, setiap hari saya menangis dan bertanya bila akan dikembalikan kerana saya difahamkan mereka tidak meminta wang tebusan, malah tidak tahu apa motifnya,” katanya.
Rosnazirah berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk bertanya khabar wanita itu, hari ini.
Menurutnya, sepanjang perjalanan dari Thailand untuk memasuki Laos, mereka menempuh banyak sekatan jalan raya dan hatinya berdoa agar ditahan di mana-mana lokasi tetapi tidak berlaku sehinggalah mereka tiba di destinasi.
Sepanjang ditahan, Rosnazirah berkata, dia menerima layanan baik daripada kumpulan individu yang menculiknya termasuk menjaga makan minumnya, namun dalam masa yang sama berasa bimbang jika diapa-apakan.
“Dalam hati, saya ada juga ingin menjerit meminta tolong, tapi mengenangkan ia mungkin sia-sia kerana kawasan sekitar adalah sawah padi dan tiada yang faham, saya hanya mampu berdoa sahaja,” katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, setiap kali ditanya bila akan dihantar pulang, lelaki itu memberi jaminan akan berbuat demikian sambil memintanya bersabar selain memberi tempoh antara tiga minggu hingga sebulan kerana keadaan masih ‘panas’ disebabkan berita mengenai penculikannya tersebar luas.
Sehinggalah pada satu hari, seorang daripada penculik itu memberitahunya ‘you back home’ dan Rosnazirah bertanya ‘when?’ sebelum dijawab ‘today’ oleh lelaki berkenaan.
“Kami menaiki kereta menuju ke Bangkok dan ditahan oleh pihak imigresen (Thailand) sebelum anggotanya perasan wajah saya yang tersebar berhubung kes penculikan menyebabkan kami semua ditahan dan saya dibawa ke depot tahanan imigresen.
“Tidak lama kemudian saya dibawa ke Kedutaan Malaysia di Thailand dan selepas itu saya dapat berhubung dengan keluarga dan proses membawa pulang ke negara ini segera dibuat,” katanya.
Dalam masa yang sama, wanita itu mengakui masih berasa trauma dan meminta diberi masa secukupnya untuk bertenang sebelum dapat memberi penjelasan penuh mengenai kejadian pahit yang dialaminya itu.
Sumber : Hmetro
Elak Anak Buat Perangai Waktu Makan Di Luar, Cuba 3 Tip Ini Wahai Ibu-Ibu. Gerenti Senang Hati!
Bukan selalu dapat keluar makan bersama, nak nak lagi jika ibu dan ayah sibuk dengan kerja. Tetapi sesekali kena juga bawa keluarga keluar dapat juga eratkan hubungan. Tidaklah asyik makan di rumah sahaja kan. Sesekali nak tukar angin apa salahnya!
Yang pasti ibu paling suka sebab masa inilah boleh ‘gantung kuali’ ‘off duty’ memasak. Tapi bila mengenangkan susahnya mengawal anak-anak, lebih-lebih lagi ketika di meja makan terus membantutkan keinginan untuk berbuat demikian dan ada yang lebih rela makan di rumah sahaja.
Tapi tip berikut yang boleh digunakan untuk pastikan anak berkelakuan baik ketika menjamu selera di restoran.
1. Bawa mainan
Benarkan anak-anak untuk membawa mainan kesukaannya. Cara ini lebih mudah untuk memastikan anak-anak tidak ‘buat perangai’. Bila hidangan telah sampai di meja, simpan mainan tersebut dan sama-sama menikmati juadah.
2. Pilih tempat yang selesa
Pilih tempat makan yang mempunyai ruang yang selesa untuk anda sekeluarga menjamu selera. Lebih baik jika tempat makan tersebut ada menyediakan ruang bermain untuk anak-anak.
3. Waktu yang tepat
Kanak-kanak kebiasaannya tidur awal. Jadi janganlah keluar lewat malam, nanti bila anak mengantuk pasti akan meragam. Oleh itu rancang waktu terbaik untuk menikmati hidangan, umpamanya keluar selepas jam 8.00 malam.