Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang isu pengubahsuaian rumah flat. Hanya kerana mereka pemilik rumah di kawasan paling bawah, membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk membuat ubah suai dengan membesarkan rumahnya menggunakan tanah yang sedia ada disekeliling mereka.
Di kawasan kediaman lain selain di kawasan yang tular, disebabkan mengubah suai rumah secara haram, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan ruang tambahan pemilik kediaman Blok 4, Flat UTM, AU3/1 yang dibina secara haram.
Menerusi satu kenyataan, MPAJ berkata, tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan mengikut Akta 133 dan Akta 757 bakal mendatangkan pelbagai risiko dan masalah kepada penduduk setempat.
“Isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka
seperti kebakaran dan sebagainya.
“Kesannya, MPAJ terpaksa merobohkan struktur tambahan haram yang nyata menggunakan ruang harta bersama yang bukan hak mutlak pemilik tapi adalah dikongsi secara bersama.
“Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja,” kata MPAJ.
Menurut kenyataan sama, tindakan penguatkuasaan di Blok 4, Flat UTM, AU3/1 atas kesalahan membina struktur tambahan tanpa kebenaran MPAJ telah dilaksanakan bermula pada 25 Mei.
Menerusi tinjauan di media sosial, ramai yang berpuas hati melihat tindakan yang diambil oleh MPAJ itu.
Sumber : Majlis Perbandaran Ampang Jaya