Perkongsian doktor ini mengenai ketabahan seorang ibu yang hampir mengugurkan kandungannya ini sungguh motivasi buat kita ibu bapa dalam membesarkan anak-anak seadanya. Hakikatnya hidup ini ibarat roda. Kadang kita di atas, kadang di bawah.
Namun segala cabaran dan kesukaran yang mendatang harus ditempuh dengan tabah. Jangan mengambil jalan singkat yang salah untuk menyelesaikan masalah. Setiap musibah ada hikmahnya.
Seorang ibu yang hampir menggugurkan kandungannya dulu, kini anak itu menjadi anugerah dan kekuatan buat dirinya. Ketabahannya semasa hamil sehinggalah bayi lahir begitu motivasi sekali. Biarpun wanita ini tidak kaya harta, namun jiwanya kaya untuk memberikan yang terbaik buat anak tersayang.
Kongsi cerita seorang doktor di laman facebooknya Alifnunwau Nymous begitu motivasi untuk dibaca. Semoga sempena tahun baru di bulan Muharram, kita menjadi ibu bapa yang lebih baik dari hari ke hari.
“Doktor, harini ambil pulut udang eh”
Pesakit yang mahu gugurkan anaknya dahulu semasa awal kandungan.
Kemudian dihadiahkan dengan dua nyawa dari Tuhan.
“Rajinnya masak pulut udang”
Aku mengusik.
“Tak rajin pun doktor.. saja ja buat.. tu pun cek malas nak bakaq. Doktor bakaq sendiri na”
Aku tergelak.
Comel je sebab dia bahasakan diri dia ‘cek’.
Dalam bahasa kedah, cek bermaksud saya.
“Tak bakaq pun sedap ja”
Jujur aku maksudkannya.
Pulut udang paling sedap pernah dirasa.
Aku yakin ada nilai yang besar di sebaliknya.
Sambil melihat keadaan dia, aku memesannya beberapa perkara.
“Puan kalau ada tanda bersalin, jangan tunggu. Kena pi hospital”
“Uih tapi cek baru 33 minggu.. awai lagi”
Dia seloroh.
“Haaa awai lagi tapi puan anak kembaq. Boleh beranak awai”
Aku tambah.
“Pastu jangan duk pi naik moto pulak pi hospital. Jauh nu. Satgi terberanak atas moto”
“Pi naik kereta”
Aku maksudkan kereta saudaranya.
Sebab aku tahu pesakit aku ini tiada kereta.
Dia datang klinik sarat dengan perut besar menaiki motosikal sahaja.
Aku pesan berkali-kali jangan pergi hospital naik motosikal kalau nak bersalin. Hospital besar negeri aku ini jaraknya 40 minit dari rumah.. bahaya.
“Kalau rasa tadan, takdak kereta, pi ja hospital X (hospital district / kampung), nanti depa tolak naik ambulans”
BERSALIN
Esoknya.
“Doktor, pesakit x dah bersalin”
“Eh”
Belum sempat aku bersuara.
“Dia bersalin normal doktor.. dua-dua dalam
NICU tapi sihatt. Tunggu berat ja naik”
Rupanya dia sakit bersalin malam berkenaan.
Dan ke hospital, terus bersalin normal keduanya.
“Dia pi naik apa kak?”
“Moto”
?
BERPANTANG
Dan hari ini, dia masih dalam pantang.
Tapi masih gigih naik motosikal ke hospital besar yang jauhnya 40 minit (mungkin 1 jam kalau dengan motosikal), untuk lawat anak dan beri susu pada mereka di NICU.
Boleh bayang tak dalam pantang bersalin dua orang naik motor ?
Gigih.
Semoga Allah merahmatinya.
Anak yang dahulu mahu digugurkan, kini menjadi anugerah dan kekuatan.
KAYA JIWA
Wallahi saat aku teringat wajahnya.
Aku lihat di mata manusia, dia mungkin ‘miskin’ segala-galanya.
Miskin harta,
Miskin rupa,
Miskin teman hidup,
Miskin kemampuan akalnya.
Namun ternyata ada benih kekayaan dalam dirinya.
Kaya jiwa.
.
Bahagianya jiwa itu bukanlah apabila kita memiliki semuanya.
Namun apabila kita merasa cukup dengan apa yang Allah beri pada kita.
Pada kadarnya.
Betapa ramianya manusia yang ‘miskin’,
Yang lebih miskin dari wanita ini saat mereka kaya harta, kaya rupa, kaya anak, kaya kemampuan dari segala segi,
Kerana apa?
Kerana mereka miskin jiwa.
Walaupun telah memiliki hampir segalanya.
Mana mungkin jiwa yang sempit akan merasakan luasnya rahmat dan pemberian Tuhan?
Hari ini.
Tahun baru.
Apa azam kita tahun ini?
Apa yang mahu kita hijrahkan?
Apa yang mahu kita korbankan?
Hidup ini bukanlah hanya berkisar pada apa yang Allah berikan pada kita sahaja.
Hingga kita sibuk-sibuk menghitung dan ‘memaksa’ Allah berikan semuanya,
Sedangkan kita pula ‘kedekut’ dan lokek untuk berikan diri kita pada Allah.
Persoalannya, apa yang kita berikan pada Allah sebagai tanda tunduknya seorang hamba?
Apa yang kita sanggup hijrahkan untuk Dia?
Count your blessing,
Feel bless with anything,
And give your heart to serve Him.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
-2:218
100918; 1 muharram.
Selamat berhijrah.
Sumber: Alifnunwau Nymous