“Mochi Tahu Abi ‘Disimpan’ Dalam Tanah Tu..,”-Isteri Kongsi Momen Kucing Kesayangan Luah Rindu!

Share

Kehilangan insan tersayang apatah lagi orang yang menjadi tempat bergantung bagi seorang isteri tentunya memberi kesan kesedihan yang begitu mendalam di hati. Ujian berat ini bukan mudah untuk ditempuhi.

Pun begitu siapa sangka kesedihan yang sama juga turut dirasai oleh kucing kesayangan terhadap tuannya itu.

Ini sebagaimana perkongsian video di tiktok, Nur Salsabiha Mohd Sobri Yusoff, memaparkan kucing kesayangan arwah suami, Mohd Faizul Malik, apabila di bawa ke tanah perkuburan seolah-olah kucing betina yang diberi nama Mochi itu ‘memeluk’ dan mencium pusara tuannya. Tindakan tersebut mencuri tumpuan warganet dan ramai menyatakan seakan itulah cara Mochi melepaskan rindu.

Berkongsi lanjut sebagaimana memetik berita di Harian Metro, difahamkan arwah suaminya adalah merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3), Langkawi dan telah pun meninggal dunia pada 16 Mac lalu selepas sehari bertarung nyawa akibat kemalangan motosikal.

Jaga Mochi Ketika Masih ‘Bayi’

Menurutnya, Mohd Faizul sebelum ini bertugas di Sabah dan baru enam bulan bertukar ke Langkawi serta turut membawa Mochi tinggal bersamanya sebagai peneman di kuarters, sementara dia tinggal di Alor Star kerana berkerja di Pulau Pinang.

“Kami berkahwin pada Disember 2021 dan sepanjang tempoh itu kami duduk berasingan. Apabila dapat bertukar ke Langkawi, suami bawa Mochi yang ketika itu masih ‘bayi’ duduk bersama.

“Hubungan mereka memang rapat kerana suami memang suka kucing, malah suami gelarkan ‘abi’ dan saya ‘umi’ pada kucing kami, kebetulan kami juga masih belum ada rezeki anak sendiri.

“Suami layan Mochi macam anak sendiri, sangat manjakan malah makan juga diberi atas tangannya dan dia akan ‘grooming’ Mochi setiap minggu. Kalau saya balik rumah dan duduk dekat suami, Mochi akan gigit saya sebab cemburu,” katanya.

Kerana Rindu Mochi Tidak Aktif

Katanya, Mochi adalah anak kepada kucing yang dinamakan Mochiko yang juga hadiah Mohd Faizul untuknya sempena pertunangan mereka.

“Selepas suami meninggal dunia saya bawa Mochi tinggal bersama saya tetapi Mochi nampak sedih, seperti tercari-cari seseorang dan sudah tidak aktif seperti selalu.

“Saya cuba beri baju arwah suami dan ia cium baju itu. Saya percaya Mochi juga sedih dan rindu suami sama seperti saya merindukan arwah,” katanya.

Akan Terus Jaga Mochi

Pekerja bank itu berkata, dia membawa Mochi pulang ke kampung suami di Pasir Mas, Kelantan untuk menziarah kubur Mohd Faizul dan kucing itu terus duduk di tepi kubur.

“Mochi terus duduk di tepi kubur suami sebaik saja saya keluarkan ia daripada beg, ia hidu tanah itu dan cium batu nisan, malah ada ranting kecil atas kubur suami, ia gigit letak ke tepi.

“Mochi juga tak pergi ke kawasan lain ia hanya pusing di sekitar kubur suami saja dan apabila saya cuba angkat nak letak dalam beg semula ia tidak mahu. Mochi tahu abi ‘disimpan’ dalam tanah itu,” katanya.

Katanya, selepas dibawa ke kubur, Mochi dilihat sudah kembali aktif dan boleh bermain seperti kebiasaannya.

“Saya dan suami sudah ada perancangan mahu ambil gambar raya keluarga bersama kucing kami tetapi sudah takdir dia pergi dulu.

“Saya akan jaga Mochi dan Mochiko dengan baik, tak sampai hati nak serahkan pada sesiapa sebab mereka adalah kenangan saya bersama suami,” katanya.

Sumber : Harian Metro

 

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club