Keibubapaan

Minum Air Selusuh Boleh Sebabkan Bayi Lemas, Bahaya!

Share

Dikalangan masyarakat kita, air selusuh ketika sebelum bersalin sememangnya cukup popular. Namun benarkah air ini amat membantu proses bersalin menjadi lancar dan mudah?

Menerusi perkongsian Huwaidah Athirah di media sosial, dia menjelaskan bahawa air tersebut antara punca bayi maut dalam kandungan.

Hal ini kerana air selusuh yang dibeli di kedai mengandungi akar-akar kayu dan herba di mana ia boleh mengganggu proses ketika kontraksi sebelum tibanya waktu tepat untuk bersalin.

“Ada sesetengah orang buat air selusuh dengan campur akar kayu, akar Fatimah (rose of jericho) dan herba-herba yang menyebabkan hormon oksitosin (kontraksi) muncul.

“Jadi bayangkanlah jalan untuk anak dalam kandungan keluar tak buka lagi tapi dah ada kontraksi. Ini boleh menyebabkan anak meninggal dalam perut atau perlu buat pembedahan kecemasan akibat minum air selusuh campuran,” jelasnya.

Air selusuh sebenar jadi penenang jiwa

Sebenarnya, air selusuh ini air yang dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran untuk memudahkan proses bersalin dan dijadikan sebagai penenang jiwa.

Air tersebut boleh dibacakan oleh suami, dengan niat dan doa dalam hati supaya urusan isteri bersalin dipermudahkan. Menurutnya, proses bersalin sememangnya lancar apabila mengamalkan air selusuh ini.

Panduan air selusuh
1. Baca surah al-Fatihah sebanyak 11 kali.

2. Baca surah al-Hasyr ayat 21-24

3. Baca selawat syifa

4. Akhir sekali, baca doa selusuh

“Ya Allah, dengan maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (nama isteri) penderitan bersalin, dengan rahmat Mu Wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.”

Paling utama elakkan membeli air selusuh yang dibeli di kedai. Buat sahaja sendiri dengan yakin akan pertolongan Allah untuk memudahkan proses bersalin kelak.