Minta Naik Bas Ke Sekolah, Anak Bongsu David & Victoria Becham Malu Ibu Ayah Terkenal!

Share

Kebiasaannya, kita sering dengar anak-anak malu apabila ibu bapa mempunyai pekerjaan yang biasa atau pun tidak kemewahan seperti mana diimpikan.

Namun, lain pula bagi anak bongsu kepada pasangan selebriti Hollywood, David dan Victoria Beckham apabila Harper Seven berasa malu kerana mempunyai ibu bapa terkenal.

Memetik laporan dailymail, bekas anggota kumpulan Spice Girls iaitu Victoria Beckham mendedahkan Harper malu mempunyai ibu bapa terkenal terutama suaminya, David menghantarnya ke sekolah dengan menaiki kereta mewah.

Victoria mendedahkan anak bongsunya yang kini berusia 11 tahun itu meminta David memberhentikan kereta jauh daripada pintu pagar sekolah kerana tidak mahu orang lain melihat dia turun dari kereta mewah.

“David menghantarnya ke sekolah dengan menaiki kereta Rolls Royce ketika itu dan tiba-tiba Harper minta diturunkan di tepi jalan dan jauh sedikit dari kawasan sekolah,”ceritanya.

Malah, Harper juga meminta agar David dan Victoria membenarkannya menaiki bas untuk pergi ke sekolah seperti kebanyakan rakan-rakannya yang lain.

“Tak hanya itu, dia pernah beritahu mahu naik sekolah sama seperti rakan-rakannya yang lain,”katanya lagi.

Pendedahan itu dibuat menerusi episod terbaharu podcast Armchair Expert baru-baru ini dan Victoria hanya mengetahui hal tersebut selepas dimaklumkan oleh David sendiri.

Akan tetapi, mereka berdua faham punca Harper berasa malu apabila dihantar ke sekolah dengan menaiki kereta mewah serta mempunyai ibu bapa terkenal.

Pada mereka, ia kerana Harper mahukan privasi dan merasai pengalaman hidup biasa seperti kebanyakan rakan-rakannya.

Sekadar info, David dan Victoria Beckham berkahwin pada tahun 1999 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Brooklyn Joseph Beckham, 23, Romeo James Beckham, 20, Cruz David Beckham, 17 dan Harper Seven Beckham,11.

Sumber: Dailymail.uk