Buat kali pertama dalam sejarah, tiga perayaan besar rakyat Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan juga Pesta keamantan tidak boleh diraikan seperti sebelum-sebelum ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Khabar yang menyebabkan ramai sedih terutama bagi yang bakal menyambut perayaan tersebut. Walau bagaimana pun , Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan ‘berita gembira’ apabila memberi kelonggaran apabila ahli keluarga yang berada di dalam negeri yang sama berpeluang untuk berjumpa dengan sanak-saudara.
Berita tersebut ternyata melegakan buat sesetengah individu berkaitan dengan hari perayaan yang akan disambut tidak lama lagi.
Walaupun perjalanan merentas negeri bagi tujuan berhari raya tidak dibenarkan sama sekali, namun ada kelonggaran bagi mereka yang tinggal didalam negeri yang sama untuk menjalankan aktiviti ziarah-menziarahi.
Akan tetapi, ziarah tersebut mestilah tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa bagi mengelakkan berlaku perkumpulan dalam kuantiti yang ramai.
“Minta maaflah banyak-banyak dan saya juga mohon ampun,”
“Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tetap tidak dibenarkan,” umum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.
Tambahnya lagi, beliau memahami perasaan ramai pihak yang agak sedih kerana tidak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga.
“Bersabarlah, bila keadaan sudah pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman, menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara,” tambahnya.
Dalam masa sama, Muhyiddin menasihatkan, perayaan tetap boleh disambut bersama jiran-jiran terdekat di sekitar kediaman dengan mengikuti garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.
“Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
“Ziarah dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa yang sama.
“Jadi tidak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” tambahnya lagi.
Muhyiddin turut menasihatkan agar rakyat tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan iaitu jaga jarak sosial, memakai penutup muka dan hidung serta amalan kebersihan diri.