Dua guru maut, dua lagi parah apabila kereta dinaiki terjatuh ke tebing sungai selepas dipercayai terbabas di Kampung Kijang, berhampiran jambatan Merotai Besar dekat Tawau, hari ini.
Dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Dayana Damsah, 27, yang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurizyani Kafli@Masri, 24, meninggal ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.
Dua lagi mangsa, Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin, parah dan kini dirawat di hospital sama.*
.
“Saya mendapat panggilan daripada anak, Nurhan Ayub, 27, (suami mangsa) memaklumkan Dayana terbabit kemalangan dan meminta ke hospital segera.
“Ketika itu kami cuma dimaklumkan ada mangsa terkorban, namun identiti belum dapat dikenal pasti sehinggalah pengecaman dibuat ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, arwah Dayana dan suaminya melangsungkan pernikahan pada 27 Julai lalu dan majlis kenduri dibuat di kediaman sebelah pihak perempuan di Kampung Pasir Putih, dekat Tawau pada hari sama.
“Pihak kami (pengantin lelaki) pula baru saja selesai mengadakan kenduri Sabtu lalu di Kampung Muhibbah, sebelum Nurhan (suami Dayana) pulang bertugas di Kemaman, Terengganu petang semalam,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa menantunya itu.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira 6.02 pagi sebelum tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan dan terhumban ke tebing sungai.
“Dua mangsa pertama berjaya dikeluarkan orang awam, sementara dua lagi oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Tawau.
Sumber: Dahriah Damsah, Pojiegraphy,Harian Metro