“Miki Tu, Dia Anak Pertama Saya…” -Perkongsian Dr Ni Undang Sebak Buat Pencinta Kucing!

Share

“Miki Tu, Dia Anak Pertama Saya…” -Perkongsian Dr Ni Undang Sebak Buat Pencinta Kucing!

Buat pencinta kucing pastinya mempunyai perasaan sayang sepenuh hati dalam hal menyayangi kucing peliharaan. Malah kucing yang dijaga bukan sahaja diberi makan dan dibelai, malah dilayan seperti keluarga sendiri.

Bahkan bila si bulus yang ditatang seperti anak kandung, tiba-tiba pergi buat selamanya akan memberi satu tekanan yang hebat untuk diterima. Kehilangan tersebut begitu perit dirasakan dan mampu membuatkan pemilik kucing mengalirkan air mata. Tidak kurang juga hingga menyebabkan rasa murung dan memberi kesan buruk pada kesihatan dek kerana sukar menerima pemergian kucing kesayangan.

Hal ini bukan cakap kosong, malah turut dikongsikan oleh Doktor Erna Nadia, berkongsi senario bila berdepan dengan pesakit yang datang ke kliniknya gara-gara seekor kucing di akauan facebooknya.

 

Photo by Chris Abney on Unsplash

Ini perkongsiannya.

Sebuah keluarga terdiri daripada suami, isteri bersama dua orang anak memasuki bilik konsultasi doktor.

“Doktor, suami saya tak boleh tidur malam. Dia sakit kepala. Rasanya tekanan darahnya naik lagi.’

Setelah diperiksa, bacaan tekanan darah tinggi pesakit tidaklah tinggi mana. Cuma 140/90 mmHg sahaja.

“Encik memang ada penyakit darah tinggi ya? Encik memang perlu makan ubat ke hari hari?” tanya saya kepada suami wanita tadi.

“Tak ada doktor. Cuma kadang kala tengkuk saya rasa sakit dan berat kepala sikit bila tak cukup rehat. Bila periksa, sama saja macam yang doktor dapat harini. Tak tinggi mana. Saya cuba kawal supaya saya tidak tekanan.”

Kata pesakit tadi.

Wajahnya kelihatan sedikit lega.

Namun, masih terlihat raut wajahnya yang suram dan matanya yang sedikit pilu.

“Encik tekanan dengan kerja?”

Belum sempat pesakit tadi menjawab, isterinya sudah memintas.

“Suami saya baru saja kehilangan kucing kesayangan dia. Dah seminggu Miki meninggal. Dah seminggu jugalah suami saya tak dapat tidur malam.”

Kelihatan raut wajah pesakit tidak begitu senang dengan jawapan isterinya.

Gedebukk.

Tiba tiba anak bongsu mereka meraung.

Dia terjatuh akibat tersadung hujung kerusi di dalam bilik konsultasi itu.

Keadaan menjadi sedikit tegang apabila saya lihat wajah pesakit merona merah. Marah agaknya dengan kekalutan yang timbul.

“Err boleh saya bercakap dengan pesakit sebentar? Dan saya perlukan sedikit privasi dengan pesakit.” Kata saya dengan senyuman.

Syukur isteri pesakit tersebut memahami dan membawa anak anak mereka kelur dari bilik konsultasi.

“Encik Daud, maaf. Saya bukan niat mahu menghalau. Encik Daud ada masalah lain?,” tanya saya beberapa saat selepas pintu bilik tertutup rapi.

Encik Dauh meraup wajahnya sambil mengeluh panjang.

Selepas hampir seminit, dia memulakan bicara.

“Saya serabut, doktor. Miki tu kucing kesayangan saya. Bukan, dia anak pertama saya. Hurm, yang tadi tu isteri kedua saya doktor. Perkahwinan pertama saya, tak dikurniakan cahaya mata, jadi saya dan isteri pertama saya memilih untuk membela kucing. Kami sayang Miki bagai anak kami. Bila saya kahwin dua, Alhamdulillah saya diberkati dengan dua cahaya mata. Tapi Miki tetap anak yang pertama.

“Saya tak pernah tinggalkan Miki. Bila dia mula sakit dua minggu lepas, saya bawa dia pergi jumpa doktor haiwan tapi doktor tu cuma bagi antibiotik sahaja. Miki kencing berdarah dah tiga hari. Saya pelik kenapa doktor tu tak ambil sampel air kencing dan darah Miki. Tapi, saya tak tanya banyak masa tu. Saya bagi ubat macam biasa di rumah.

“Seminggu lepas, keadaan Miki makin merosot. Dan pagi Sabtu tu, isteri pertama saya telefon kata Miki sudah tidak ada.

“Berderai jiwa saya doktor! Miki sakit cuma seminggu sahaja. Takkan secepat tu nyawa dia diambil? Padahal sebelum ni Miki pernah dilanggar kereta, kakinya patah tapi dia elok sahaja bertahan sampai bertahun tahun. Kenapa tiba tiba Miki mati?”

Saya hanya mendengar.

Memberi sepenuh perhatian kepada pesakit yang sedang galau hatinya di depan mata saya ini. Menanti bait kata seterusnya.

“Lepas saya tanam Miki di belakang rumah, saya dah mula tidak boleh tidur malam. Saya rindukan Miki, doktor. Dia anak pertama saya.’

Terdengar esakan tangisan Encik Daud.

Terpegun sebentar saya.

Terkesima dengan kuasa cinta.

Walau bukan sesama manusia, namun ianya tetap utuh bertenaga.

Walau sudah di alam berbeza, namun kuasanya masih beraja di jiwa raga.

“Miki selalu dengar masalah saya, cerita saya. Saya suka bersembang dengan Miki sebab dia tak melawan. Dia mendengar dengan taat. Miki sangat mendamaikan. Tak seperti manusia, apa sahaja cerita yang sampai di telinga dia, sepantas kilat juga sampai ke telinga manusia lain. Sekejap sahaja cerita itu bertukar intipatinya.”

Saya terus mendengar luahan Encik Daud.

Dan saya cuba memberikan sedikit dua nasihat dan memujuknya untuk berjumpa pakar kaunseling supaya kesedihan yang dialaminya boleh diuruskan dengan cara yang betul dan sihat.

Saya masih terkaget dengan situasi pesakit saya ini.

Walau sudah beristeri dua, namun hatinya masih tidak begitu tenang. Dia masih sunyi kerana pendengar setianya sudah tiada.

Sungguhlah kata orang, kepercayaan dan kesetiaan itu tak ternilai harganya.

Untuk mereka yang tertekan dengan kerja atau manusia, carilah seorang pendengar untuk bercerita. Jangan memendam perasaan sehingga memakan diri sendiri. Tekanan dan kemurungan boleh dikawal dan dirawat.

Dapatkan nasihat kaunseling dan rawatan dengan pakar yang bertauliah.

Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal. Aktif sihat mental kita, inshaAllah aktif juga badan kita.

Meninjau di ruangan komen, nyata warganet turut perkongsi perasaan bila pernah mengalami kehilangan si bulus.

“Mula2 baca tu mcm kelakar…tp bila baca sampai habis sedih rasanya..kami sekeluarga juga pernah kehilangan kucing tersayang…memang sedih & pilu”

“Aduhai menangis saya baca kisah ni sebab saya pun pencinta meow “

“Kehilangan kucing yg d sayangi mmg perit d hadapi…..tambah an kucing yg sgt baik n tmpat mencurah perasaan……kematain andika ku ratapi…… Allahuakbar”