Michelle Yeoh Selamat Bergelar Isteri Jean Todt, Ibu Harap Ada Majlis Resepsi Di Malaysia!

Share

Datin Janet Yeoh, 84, ibu kepada Tan Sri Michelle Yeoh, 60, berharap anaknya bakal mengadakan majlis resepsi di Malaysia selepas sah berkahwin dengan pasangannya, Jean Todt, 77, dekat Geneva, Switzerland, kelmarin.

Walaupun tidak dimaklumkan mengenai majlis penyatuan itu, Janet menganggap ia kejutan yang dinanti-nantikan ramai termasuk dirinya kerana tahu betapa Todt cintakan Yeoh.

“Anak saya memang akan sentiasa menelefon tapi dia tidak beritahu pun (berkaitan perkahwinan itu) ketika kami bercakap, dua minggu lalu.

“Mungkin dia hendak beri kejutan kepada saya,” katanya dalam temu bual bersama media tempatan.

Janet berkata, dia menjadi individu yang sentiasa memujuk pasangan terbabit agar menamatkan zaman bujang dan melihat Yeoh berkahwin.

“Todt melamarnya (Michelle) sudah banyak kali. Dia cuma akan ketawa serta mengatakan dirinya seronok setiap kali dilamar. Todt memang sangat cintakan dia,” katanya.

Terdahulu, majlis diraikan penuh intim itu dikongsi bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa yang menjadi antara insan paling seronok dengan penyatuan dua sahabatnya itu.

“Selamat berkahwin, Jean Todt dan Michelle Yeoh, sayang kamu,” tulis pelumba kelahiran Brazil itu.

Lebih bermakna, majlis perkahwinan mereka turut dihadiri anak Todt dari perkahwinan terdahulu yang dikenali sebagai Nicholas.

Yeoh dan Todt bertemu buat kali pertama pada 4 Jun 2004 di Shanghai Grand Prix dan kemudian mengikat tali pertunangan pada 26 Julai 2004.

Sumber : Berita Harian