Sejak akhir-akhir ini, angka kes positif Covid-19 kian meningkat malah beberapa hari lalu merekodkan kes harian tertinggi sehingga 4,029 kes. Pada 22 Januari lalu pula 18 kes kematian harian tertinggi.
Angka sebegini mengundang duka betapa nyawa yang pergi pasti ditangisi ahli keluarga. Bahkan frontliners juga terkesan dengan situasi ini setiap kali mengendalikan pesakit yang dijangkiti tanpa mengenal usia.
Ikuti perkongsian Dr Ahmad Zakimi Abdullah atau juga dikenali sebagai Dr Zek mengenai pengalaman beliau mengendalikan pesakit Covid-19 peringkat 4 dan 5. Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.
CABARAN KENDALIKAN PESAKIT PERINGKAT 4 & 5
“Saya bantu pakcik ye”
Pakcik hanya mengangguk kepala. Tak mampu bercakap.
“Pakcik boleh dengar saya?”
Pakcik mengangguk lagi. Itu hanya termampu.
“Baik pakcik. Nanti saya bagi ubat bius supaya pakcik tidur ya.”
Pakcik kelipkan mata tanda setuju. Tercungap-cungap.
“Pakcik mengucap banyak-banyak ya. Pakcik ikut saya, La ilaha illallah Muhammad Rasulullah… “ arahku sambil memegang ‘bag valve mask’ yang sekitar mulut dan hidung pakcik.
Kelihatan mulut pakcik terkebil-kebil berusaha untuk mengucap. Allahu.
“Sekali lagi pakcik ya. Ikut saya… La ilaha illallah Muhammad Rasulullah… “
Aku akan ajarkan mengucap dua kalimah syahadah sebelum melakukan prosedur ini. Setiap kali.
Mata pakcik secara perlahan-lahan tertutup tanda pakcik sudah dibius sempurna.
Kemudian ‘endotracheal tube’ dimasukan kedalam trakea pakcik bertujuan untuk bantuan pernafasan.
Prosedur ini perlu dilakukan dengan cermat supaya tiada aerosolisasi terhasil. Jika ia berlaku, maka habislah aku dan staff-staff yang membantu aku dijangkiti. Benda tak boleh nampak.
Aku lakukan procedur intubasi keatas pakcik yang dijangkiti COVID-19 kerana pakcik sudah tak mampu bernafas sendiri. Perlukan bantuan ventilator.
Itulah tugas berat dan tanggungjawab yang aku pikul. Itu juga pengalaman merawat pesakit COVID-19 kategori 4 atau 5.
Setelah semua selesai, aku terus membuka PPE penuh dengan tatacara ‘doffing’ (membuang PPE penuh). Jika langkah atau tatacara tak sempurna maka aku akan dijangkiti. Benda tak nampak.
Seperti biasa, selepas selesai ‘doffing’ terus mandi.
Setiap kali melakukan prosedur ini pasti membuatkan aku insaf bertapa mudahnya kita bernafas udara di berikan percuma oleh Allah kepada kita.
“Bila nak berakhir pandemik COVID-19 ni. Aku dah tak larat.” Hanya bermonolog depan cermin.
5 KATEGORI SINDROM COVID-19
Klinikal sindrom COVID-19 ada 5 kategori;
Kategori 1 – tidak ada gejala
Kategori 2 – gejala ringan
Kategori 3 – bergejala & jangkitan paru-paru
Biasanya hanya pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 saja akan dirawat atau dikuarantin di pusat kuarantin (mengikut polisi tempat masing-masing). Ada juga antara mereka di kuarantin di rumah dengan nasihat memantau kesihatan kendiri (juga mengikut polisi setempat). Mereka akan dinilai kembali pada hari ke 10.
Alhamdulillah, mereka dilindungi Allah. Mereka terselamat kerana dalam kategori 1 atau 2.
Jika pesakit COVID-19 Kategori 3, 4 dan 5, mereka akan dirujuk ke hospital, khususnya ke Jabatan Kecemasan untuk dirawat. Kemudian mereka akan dimasukan ke wad hospital COVID/hospital hybrid COVID yang diwartakan.
Cuba kalian bayangkan jumlah kematian 642 orang, 260 kes di ICU dan 103 kes memerlukan bantuan pernafas setakat ini. Jumlah itu bukan sedikit walaupun kadar kematian hanya 0.4% dari semua jumlah yang dijangkiti.
Cuba kalian himpun 642 orang berada di depan mata kalian. Bayangkan ada saudara mara kita sendiri dalam 642 itu. Bagaimana perasaan kalian?
Nyawa seseorang tak ternilai tinggi nilainya. Aku sebagai doktor, perasan kesal dan pilu setiap kali kehilangan seorang pesakit ditangan sendiri.
“Dan sesiapa yang menghidupkan (menjaga keselamatan hidup) seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya,” – Surah Al-Maidah, ayat 32.
Adakah jumlah itu sedikit di mata geng antivaksin atau pendokong konspirasi? Have you ever seen this category COVID patient once?
COVID-19, JANGAN PANDANG REMEH
Kepada sesiapa yang tak pernah menguruskan kes-kes atau pesakit COVID-19, mereka hanya banyak komplain. Itu tak kena, ini tak kena. PKP salah, vaksin salah. Semua yang kami lakukan semua tak betul dari pandangan mereka. Maka apa yang betul? Tiada pula cadangan yang dikira bernas dari mereka.
Tak percaya COVID-19, kau percaya pula teori konspirasi…
Tak percaya Vaksin, kau percaya pula produk teh entah dari mana boleh merawat segala…
Percayalah jika kalian sendiri menguruskan pandemik COVID-19 secara langsung maka kalian tahu tinggi rendahnya langit. Kalian akan tahu besarnya kuasa Allah.
Mohon sementara ni kita duduk rumah. kita tunggu vaksin tiba. Semoga kita dan keluarga kita dilindungi Allah.
Kami hampir maksima.
Sumber: Dr Ahmad Zakimi Abdullah