Menikmati gulai ikan tongkol bersama nasi dagang atau pun nasi berlauk memang terasa keenakannya. Lebih-lebih lagi jika ikan tongkol yang dihidang nampak cantik dan pejal isinya tidak hancur, dan bila dimakan terasa manis dan tidak hanyir. Malah kuahnya pula pekat berlemak.
Tentu ada antara kira tertanya-tanya bagaimana rahsianya mendapatkan kuahnya yang enak dan dimasak hingga pekat sedangkan isi ikan kekal elok.
Memang benar, ada caranya dan dikatakan ikan perlu direbus terlebih dahulu. Rebus bukan rebus begitu sahaja tetapi ada cara yang tertentu. Salah buat tak menjadi juga.
Oleh itu jom lihat cara Cikgu Afy Al Habibi kongsikan di bawah ini.
Ikan Aya/ Tongkol Rebus Sedap & Wangi
Bahan-bahan:
1 ekor ikan aya/tongkol
2 sudu besar garam bukit
2 keping kecil nise
3 hiris lengkuas
2 hiris halia
2 helai daun pandan
2 keping asam keping
Sedikit cuka
Cara Buat :
1. Bersihkan seekor ikan tongkol kayu/ ayo putih dari bau darah yang hanyir.
Susun ikan dalam periuk. Tapi cikgu lebih suka guna kuali.
2. Masukkan bahan rahsia terpenting:
– 2 keping kecil nise
– 3 hiris lengkuas
– 2 hiris halia
– 2 helai daun pandan
– 2 keping asam keping
Kemudian tabur rata 2 sudu besar garam bukit.
*Jangan pelik dengan bahan luar biasa cikgu gunakan. Cuba dulu baru tahu beza ketara ye.
3. Rahsia cikgu seterusnya kena masukkan cuka untuk isi ikan menjadi pejal.
Gunakan sebanyak 1 senduk kecil. Jangan tanya kenapa cikgu tak letak air. Air ikan dengan sendirinya akan keluar dan isi ikan juga tidak mudah hancur.
4. Semasa merebus ikan, tutup kuali atau periuk dengan penutupnya. Gunakan api perlahan. Rebus selama lebih kurang 45 minit.
Ads
5. Buka penutup tadi. Keringkan sedikit air ikan dengan membesarkan api selama 2 minit.
Siap.
6. Tips lain untuk rasa ikan rebus yang sedap; Biarkan semalaman supaya rasanya lebih mesra.
Hasil ikan yang direbus tadi maka inilah Gulai Ikan Ayo yang siap dimasak.
Setiap rezeki itu pemberian Allah SWT. Kita tidak mampu untuk menilai seberapa banyak yang Allah anugerahkan untuk kita melainkan berdoa moga diberikan rezeki melimpah ruah.
Bagi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Richworks International Sdn Bhd, Dr. Azizan Osman, beliau mempunyai caranya yang tersendiri untuk menjemput rezeki dalam hidupnya. Sebagai peneraju sebuah syarikat yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2012, sebagai syarikat yang terbesar di Malaysia dalam menganjurkan pelbagai seminar dan program dalam bidang pembangunan usahawan, pemasaran dan motivasi, beliau mempunyai cara dan tip tersendiri untuk kekal berjaya seperti hari ini.
Berkongsi Tip
“Definisi rezeki bagi kefahaman orang biasa mungkin adalah duit, tetapi sebenarnya maksud rezeki ini terlalu besar. Saya tertanya-tanya rezeki mana yang hendak dijemput? Saya melihat rezeki yang dimaksudkan ini sebagai rezeki kekayaan berlandaskan jalan Allah. Jika ditanya apa perkongsian saya, menjaga solat adalah satu kepentingan pada saya. Apa yang saya amalkan adalah melakukan solat sunat taubat, tahajud dan witir sebelum solat subuh.
“Nak buat semua itu, kenalah bangun awal. Orang paling awal akan dapat rezeki paling awal. Siapa paling awal, insya-Allah termakbul doanya sebab ramai orang sedang tergolek tidur kala itu. Saya bangun antara jam 4 hingga 5 pagi setiap hari demi untuk meraih kemakbulan Allah. Selain itu, disiplin, saya buat sebanyak mungkin yang nabi suka. Contohnya nabi suka mandi sunat waktu pagi, jadi saya buat.
“Bukan mudah hendak mandi pagi-pagi buta, tetapi saya buat kerana saya nak nabi suka pada saya. Selepas itu saya biasanya akan ke masjid (kalau tiada seminar) dan akan melakukan solat sunat Subuh disusuli solat Dhuha. Di antara waktu itu, saya isikan dengan istighfar, selawat dan amalan bismillah. Tidak susah melakukannya kerana dalam kereta pun kita boleh berselawat sebanyak-banyaknya.
Selain itu, saya mesti komited dengan sedekah. Kalau bukan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap hari Jumaat. Ia wajib bagi saya. Bukan hanya wang ringgit tetapi melalui perkongsian ilmu saya kepada orang di luar sana.
Untuk berada di tahap ini, terlalu banyak cabaran yang saya lalui di kala memulakan langkah. Rasa bimbang, takut pada kegagalan dan takut pada apa orang lain kata menjadi batu penghalang pada permulaannya. Ego, rasa sudah pandai, tidak mahu belajar dan salah faham terhadap bisnes kononnya perlu ada duit banyak menjadi satu tembok yang sukar dilepaskan.
“Kesusahan saya pada tiga tahun pertama ialah kerana saya tiada mentor, ilmu dan sistem. Saya ingat saya pandai dulu. Apabila kita mula belajar dan faham, insya-Allah akan lebih senang. Tak adalah terus jadi tetapi ia lebih mudah,”katanya lagi berkongsi segala tip.
Ketika ditanya apakah cabaran jatuh bangunnya sebelum berjaya, Dr Azizan mengakui bukan senang untuk berada seperti sekarang ini. Semakin banyak dia melangkah, semakin besar ujiannya daripada Allah.
“Cabaran paling besar adalah lupa Tuhan. Dulu saya sibuk kejar duit hingga abaikan Dia. Itu kesilapan saya. Tersasar daripada matlamat asal misalnya kenapa saya berniaga, untuk siapa dan untuk apa menjadi cabaran saya ketika awal langkah. Kini saya mula memahami bahawa berniaga bukanlah hanya untuk mencari wang semata-mata tetapi paling utama menggunakan kemahiran kita untuk membantu dan memberi manfaat kepada orang lain. Membantu orang lain menyelesaikan masalah dan menggembirakan hati orang lain, insya-Allah semuanya akan berbalik kepada kita kelak, Itulah keikhlasan sebenar kita berniaga,” ujarnya lagi.
Definisi Rezeki Kekayaan
Menurut Dr. Azizan lagi, rezeki kekayaan tidak hanya daripada wang ringgit semata-mata. Rezeki hadir dalam pelbagai cara dan setiap orang rezekinya berbeza-beza. Namun Dr Azizan mengklasifikasikan rezeki kekayaan berdasarkan pelbagai aspek.
“Yang pertama adalah kekayaan jiwa sebagaimana Rasulullah SAW menyebut, sebenar-benarnya orang yang kaya itu adalah yang kaya jiwa. Kekayaan jiwa adalah kekayaan dalaman, kekayaan dari segi hati dan kekayaan kolam jiwa. Kekayaan ini berkaitan tentang hati, antaranya bersangka baik, beradab, sopan dan berdisiplin.
“Kedua adalah kekayaan kesihatan. Menjemput rezeki dari sudut kesihatan, kita kenalah buat senaman dan menjaga tubuh badan sebaiknya di samping tidur yang mencukupi serta menjaga kadar hidrat badan. Kekayaan ataupun rezeki dalam hal keluarga, di mana kita menjaga silaturahim sesama anggota keluarga juga dianggap sebagai kekayaan rezeki.
Keempat adalah rezeki daripada hasil kerja atau tugasan yang kita buat dengan baik. Ini juga akan menjemput rezeki kepada kekayaan. Kelima, adalah rezeki dari segi wang dan harta. Kepintaran dan kebijaksanaan yang dianugerahkan Allah juga adalah rezeki. Tidak hanya di situ, berada di sekeliling orang-orang yang bijaksana, berilmu, alim dan soleh juga adalah satu rezeki yang bagus.
Pengalaman juga dianggap sebagai satu rezeki dari Allah. Apabila kita melalui satu pengalaman, pengembaraan dan cabaran, di situlah kita akan mempelajari sesuatu sekali gus menambah kebijaksanaan sedia ada. Akhir sekali adalah rezeki dari segi keberkatan yang mana ia diperoleh daripada sumbangan, sedekah zakat, wakaf atau infaq,” katanya dalam huraian penuh panjang lebar.
Cari Keberkatan
Menurut Dr Azizan lagi, menjaga hubungan dengan Allah adalah kunci kepada keberkatan rezeki yang kita miliki. Jika hubungan dengan Allah tidak dijaga bagaimana Allah hendak mendatangkan rezeki kepada kita.
“Satu hadis menyebut, “Tuhan mengikut sangkaan hamba Nya”. Apa yang kita sangka, Allah akan tunaikan. Kalau tidak hari ini, esok lusa pasti Allah makbulkan doa kita. Kuncinya adalah dengan bersolat. Solat adalah tanda syukur kepada Nya. Dalam Quran ada menyebut, “sesiapa yang bersyukur nescaya aku akan tambahkan lagi kepadanya.” Dan kunci rezeki itu Allah akan datangkan kepada kita bila kita banyakkan syukur kepada Nya.
“Ketiga adalah dengan memperbanyakkan sedekah kerana itulah janji Allah. Semakin banyak kita bersedekah, semakin banyak yang kita dapat. Inilah kunci keberkatan. Yang keempat adalah menyucikan diri dalaman dan luaran. Pembersihan ini apa yang saya panggil sebagai kolam jiwa. Hati ialah tempat Allah pandang kita, hati adalah tempat cahaya. Kalau hati kita diperbaiki, nescaya kita akan lebih mudah mendapat keberkatan. Jadi jika hendak mudah rezeki, kita jaga kolam jiwa kerana ia terus dengan Allah. Allah pandang hati kita, insya-Allah doa kita akan termakbul.
Seterusnya banyakkanlah istighfar dan selawat ke atas Nabi SAW. Ini juga sebagai amalan pembersihan kolam jiwa dan pintu kepada semua rezeki. Inilah yang saya amalkan sejak dulu.
Selain itu, memperbanyakkan salam dan senyuman juga sebagai salah satu cara. Salam adalah sebagai satu cara mendoakan orang lain. Sekali kita mendoakan orang lain, 10 kali ganda Allah akan balas untuk kita. Begitu juga dengan senyuman yang tergolong sebagai sedekah.
Tidak dilupakan adalah sentiasa menjaga silaturahim sesama manusia. Tidak ada gunanya kita berniaga tetapi tidak menjalankan silaturahim sesama kita. Akhir sekali adalah berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya panjang lebar.
5 Tip Persiapkan Psikologi
*Memahami bahawa setiap yang berlaku adalah dengan izin Nya.
*Memahami bahawa Allah tidak pernah zalim sebaliknya kita yang menzalimi diri kita sendiri ketika berniaga.
*Menyedari setiap kegagalan pasti ada hikmahnya dari Allah.
* Kembali kepada Allah setiap kali gagal seperti melakukan solat taubat dan memohon maaf sambil meminta petunjuk daripada Nya.
* Tidak lagi mengulangi perkara sama di samping mendapatkan ilmu daripada mentor, melalui sistem yang tepat.
sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Gambar: http://azizanosman.com/blog/
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Anak bongsu selalu dilabelkan anak paling manja dalam adik beradik, mereka juga selalu dikenali sebagai anak yang paling kurang berdikari dan kurang rasa tanggungjawab. Maklumlah sejak kecil semua kerja diuruskan kepada kakak dan abang mereka.
Namun tidak semua anak bongsu begitu malah hakikatnya bila sampai waktunya anak bongsu ini lah yang lebih prihatin dan sanggup berkorban demi menjaga ibu ayahnya yang uzur di kampung.
Realiti kehidupan ini turut dikongsikan oleh pemilik aplikasi TikTok @Ct Dalwani yang mendapat perhatian ramai apabila berkongsi rutin hariannya sebagai anak bongsu.
Dalam video tersebut, gadis ini sedang menuju ke hospital untuk menemani orang tuanya membuat pemeriksaan doktor dan membantu mengambil ubat.
Menurutnya anak bongsu kena duduk kampung jaga mak dan ayah. Kerja dekat dengan rumah
Manakala kakak dan abangnya semua sudah berkahwin dan telah pun mempunyai keluarga sendiri dan menetap di bandar. Keadaan ini menyebabkan anak bongsu sepertinya perlu tinggal di kampung dan keadaan ini juga menyebabkan dirinya sering dibanding-bandingkan dengan adik beradik yang lain yang orang lain anggap nampak lebih berjaya.
Sedangkan sebelum ini dia juga pernah mendapat tawaran kerja yang bagus tetapi terpaksa lepaskan sebab fikirkan ibu dan ayah.
“Siapa nak bawa pergi hospital setiap bulan, siapa nak siapkan ubat jantung abah, bukan 1 jenis tapi banyak. Siapa bnak kemas rumah dan bersihkan rumah bila banjir, dan lain-lain lagi,” ujarnya.
Pun begitu, gadis ini percaya bahawa rezeki Allah itu luas.
“Percayalah rezeki kita ada dekat tempat lain kalau bukan sekarang. Allah ambil apa yang kita mahu dan menggantikannya dengan apa yang kita perlu. Dengan izinNya, keindahan pasti datang,”jelasnya di dalam video ini.
Anak-anak kecil terutamanya mudah terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan di dapur. Antaranya melecur akibat tersiram minyak panas, air yang mendidih dan sebagainya.Oleh itu, adalah penting menjadikan dapur ‘baby-friendly’ supaya kemalangan ini dapat dielakkan.
Namun begitu, jika musibah ini terjadi ibu bapa harus bertindak pantas dan mempunyai pengetahuan asas untuk melakukan langkah rawatan asas yang betul bagi mengelakkan kecederaan anak bertambah teruk.
Melalui perkongsian seorang doktor perubatan Hana Hadzrami, beliau berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang perkara asas yang perlu ibu bapa lakukan jika anak terkena minyak atau air panas. Sekaligus membantu meminimumkan kecederaan anak.
“Beberapa bulan dahulu saya menjaga seorang bayi berumur setahun yang dirawat PICU akibat melecur lebih 40% badan. Habis kepala, muka, dada, tangannya kehilangan kulit, hanya tinggal isi yang merah.
Satu badan berbalut dengan hanya menampakkan sebahagian muka (sebahagian lagi ditutup dengan lapisan kolagen) dan kedua-dua belah kaki.
Dia memerlukan bantuan pernafasan dengan mesin bantuan hayat kerana tak mampu bernafas dengan baik.
Anak itu memerlukan pembedahan buang lapisan tisu mati serta menukar balutan (dressing) pada badannya setiap selang sehari.
Tersiram air kopi
Setiap kali dressing dilakukan ianya perlu dibuat di dewan bedah dengan bius penuh. Ini kerana tisu kulit yang mati atau membusuk harus dikikis buang untuk mencegah jangkitan kuman.
Puncanya ialah bayi itu menaiki walker dan menarik alas meja makan. Di atas meja pula ada seteko air panas yang baru setengah jam siap dididih.
Air panas itu telah tersiram pada kepala dan sebahagian besar tubuhnya. Menggelupur anak itu menahan sakit.
Saya teringat anak saya dulu sewaktu berumur dalam 3-4 tahun pernah tersiram kopi panas yang baru dibancuh dengan air mendidih; belum 15 minit selepas didih pun.
Kopi itu saya letakkan di rak almari sebelah atas. Namun anak saya telah memanjat almari dan mencapainya. Lalu kopi panas tersiram daripada kepala sampai ke badannya. Anak tadi melecur teruk sampai masuk ICU. Manakala anak saya selamat tak jadi apa-apa. Syukur!!
Rawatan asas
Kenapa boleh berbeza hasilnya sedangkan mengalami kemalangan yang sama? Bezanya ialah saya mengetahui bantuan rawatan asas (first aid) dan dengan izin Tuhan, berjaya mengaplikasi pengetahuan tersebut kepada anak sendiri.
Sebaik saja tersiram kopi panas, segera saya bawa dia ke bilik air dan saya siramkan air paip secara berterusan. Dengan bajunya sekali saya siram (kerana bajunya tipis).
Siraman itu perlu berterusan sehinggalah dia tak lagi berasa sakit dan tiada lagi kesan merah pada badannya.
Manakala anak yang malang tadi; ibubapanya tiada pengetahuan first aid. Dalam keadaan panik, terus anak itu di bawa ke hospital. Kulit yang tersiram air panas terus ‘masak’ secara perlahan-lahan kerana haba terus masuk kedalam kulit secara langsung.
Sampai di hospital, semua dah terlambat; lecur tadi dah jadi third degree burn. Kesian si anak perempuan tadi. Wajah dan tubuhnya takkan kembali seperti dulu!
Petua
Kerap saya terdengar cara merawat lecur dengan cara menyapu ubat gigi atau dengan merendam anggota melecur dalam guni tepung . Ada juga yang suruh sapu minyak masak. Bermacam jenis petua ada.
Petua-petua tersebut diturunkan oleh nenek moyang dengan niat baik. Namun ianya kurang tepat dan boleh memburukkan keadaan jika lecur itu serius dan melibatkan kawasan besar.
Jika tersiram minyak atau air panas, jangan panik. Segera bawa mangsa ke bilik air dan lalukan dengan air paip secara berterusan selama sekurang-kurangnya 20 minit atau hilang rasa sakit.
Jika anggota melecur dilitupi dengan barang kemas, lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’.
Percayalah, jika first aid dilakukan dengan segera; jangankan melecur, tanda merah pun tiada. Belajarlah asas rawatan seperti mengendalikan luka kecil dan pendarahan, memberi rawatan permulaan bagi luka melecur, kerana kemalangan kerap terjadi dalam rumah.
Dengan pengetahuan rawatan asas, anda boleh mencegah kecederaan yang lebih besar.
Simpan barang berbahaya
Paling baik jika ada anak kecil di rumah ialah menjadikan rumah anda baby-friendly supaya kemalangan dapat dicegah.
Simpan segala alas meja, perhiasan kaca atau kristal. Elakkan wayar elektrik berjuntai ke bawah. Simpan benda tajam dan berbahaya di tempat yang tak boleh dicapai oleh anak kecil.
You can make a difference!
Hana Hadzrami
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dikongsikan buat Ibu bapa semua. Apa yang penting lebih berhati-hati dan membuat rawatan asas yang betul jika berlakunya kemalangan ini.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Bak kata perpatah, kasih ayah sepanjang masa inilah yang membuatkan anak-anak manja dengan ayahnya. Tidak kira lelaki atau perempuan, mesti ada yang 'melekat' aje...