Namanya cukup hot buat masa kini, ‘tall, dark dan hensem sesuai menggambarkan sisi pelakon Lelaki Kiriman Tuhan ini. Tidak hairanlah dia kian diglai ramai dan rezekinya dalam industri lakonan cukup murah.
Lima tahun mengikat tali pertunangan, namun tiada jodoh antara mereka akhirnya ikatan tersebut terlerai di tengah jalan. Biar pelbagai tohmahan dan kata-kata negatif dilemparkan, namun empunya diri hanya bersikap mendiamkan diri.
Tak boleh main ‘Sauk’
Namun, dia tidak dapat lari dari disoal bab jodoh, lebih-lebih lagi dengan status solonya kini.
“Setakat ini saya masih lagi solo untuk tahun ini. Jodoh ini kita tak boleh nak ramal , ada juga saudara yang cuba nak kenal-kenalkan. Tapi ini soal masa depan, kita tak boleh nak main ‘sauk’ jer.
“Hidup dengan seorang selebriti bergelar pelakon bukan semudah yang disangkakan. Takut nanti mereka terperanjat, balik rumah tak menentu masanya, kena marah pula kan. Kalau ikutkan tak bersedia dengan soalan-soalan bila nak kahwin dan sebagainya, tapi saya reda. Yang penting nak ‘tutup mulut’ saya hulur ‘angpau’ jer,” seloroh Remy lagi.
Ibu mula bertanya soal jodoh
Ditanya penerimaan ibunya tentang soal jodoh, akui Remy ibunya turut bertanyakan hal tersebut.
“Ibu pun makin lama makin berumur, ada juga dia ada bertanya dan bercakap soal ini. Tapi tunggulah kalau ada jodoh tak ke mana. Ini soal hati dan perasaan. Lagipun perkahwinan satu benda yang serius bagi saya sebenarnya. Ia bukan soal perhubungan 5 atau 10 tahun sahaja.
Susah nak cari orang faham kerja pelakon
“Memang banyak cabaran berkahwin dengan selebriti. Malah, perhubungan saya sebelum ini tak boleh nak handle benda ini. Sangat sukar sebenarnya nak cari orang yang betul-betul faham seorang pelakon dan ditambah pula saya kini menceburi bisnes. Masa sangat limited dan orang yang saya kenali harus faham sisi hidup saya sebangai pelakon dan juga usahawan.
“Saya bukan jenis cerewet tapi mudah orangnya. Cuma kadang-kadang orang tak paham ruang kerja kita. Menjadi Remy Ishak sebagai pelakon dan selalunya disebut-sebut membuatkan ada wanita rasa ‘insecure’ . susah sebenarnya nak cakap. Mungkin kalau saya dah ‘slow down’ dalam industri dan nama dah tak dikenali waktu itu mungkin baru mereka rasa selamat.
“Tapi buat masa sekarang saya tak nak tolak rezeki kerana dulu benda tak baik datang bila saya asyik tolak tolak rezeki. Allah pernah bagi pengajaran bila kita tolak rezeki, jadi saya sudah tak berani tolak lagi dan terima apa yang diberikan,” ujar Remy lagi.
Setiap tahun bantu keluarga buat persiapan raya
Anak kedua dari empat beradik ini juga mengakui turut membantu keluarga dalam membuat persiapan raya.
“Memang ini adalah tanggung jawab saya, malah sejak bergelar anak seni lagi saya sudah biasa membeli baju raya dan sebagainya untuk keluarga dan juga anak buah. Untuk raya kali ini, kami menyambutnya di Masjid Tanah, Melaka. Kalau diikutkan dua tahun berturut-turut sebelum ini saya dan ahli keluarga yang lain beraya dengan bercuti di luar. Cuma tahun ini kami pilih untuk beraya di kampung. Disebabkan kali ini jadual saya sangat padat, menyebabkan tak banyak perancangan yang saya boleh lakukan,
“Soal juadah tak memilih, lagipun mak tak berapa sihat dan kakak saya pun ada family sendiri. Jadi apa yang mereka sediakan ketupat, lemang dan sebagainya saya terima sahaja. Kalau tahun lepas saya cat rumah, tapi tahun ini nampak gayanya tak boleh berbuat demikian kerana tak ada masa untuk semua ini. Tapi saya alu-alukan kehadiran peminat untuk datang beraya. Setakat ini saya tak pernah hadkan duit raya, tetapi biasanya saya ada sediakan,” jelas Pelakon Lelaki Kiriman Tuhan ini lagi.
Kolaborasi & Ikon Fesyen Minaz Men
Beliau ditemui dalam satu majlis pelancaran Minaz Blooming Raya 2019. Dalam majlis tersebut, Minaz mengumumkan kolaborasi bersama Pelakon Pujaan Hati Kanda dengan memperkenalkan Minaz Men Collection yang memberi fokus kepada Baju Melayu sekali gus menjadi ikon fesyen bagi koleksi tersebut.
Hadir dalam 18 warna yang menarik, busana baju melayu garapan idea Minaz dan sentuhan Remy ini berkonsepkan moden fit. Potongan moden , elegan dan staylish tapi masih mengekalkan konsep klasik dan itu yang menjadi tarikan Remy untuk menerima tawaran sebagai face of Minaz Men.
Gambar: kakifoto & Ig Remy Ishak