Penantian selama empat tahun pelakon, Rozita Che Wan atau Che Ta untuk berpindah ke banglo mewahnya yang bernilai hampir RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya, akhirnya tercapai tahun ini.
Che Ta berkata, banglo mewah yang sudah siap sepenuhnya itu adalah hadiah terindah sempena sambutan ulang tahunnya ke-50 pada 9 Mac lalu.
“Saya terpaksa menunggu lama kerana proses pengubahsuaian banglo ini tertangguh selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor menghilangkan diri selepas saya melabur jutaan ringgit. Selain itu, kita juga diuji dengan pandemik Covid-19 ketika itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Che Ta, dia bersyukur kerana akhirnya dia sekeluarga dapat berpindah ke situ.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Apatah lagi, dapat pula berpindah ke banglo baharu yang dinantikan selama ini. Maklumlah, bukan sedikit wang yang dilaburkan untuk pengubahsuaiannya,” katanya.
Mengenai sambutan hari lahirnya pula, kata Che Ta, tiada apa lagi yang mahu dikejarnya dalam hidup.
“Saya akan berusaha sehabis baik untuk menjadi isteri, ibu dan anak yang baik. Saya juga tidak akan berhenti untuk terus membahagiakan keluarga. Pada masa sama, saya juga perlu menjaga kesihatan pada usia 50-an ini,” katanya.
Majlis sambutan ulang tahunnya yang bertemakan menuju ke syurga itu dihadiri keluarga, teman rapat dan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat di premis terkemuka di ibu kota.
Sumber : Harian Metro