Menghukum Untuk Didik Anak, Ayah Anak 4 Ni Kongsi Pengalaman!

Share

‘Kasihkan anak tangan-tangankan….’ tentunya peribahasa ini biasa kita dengar sejak dahulu lagi dan hingga kini hakikatnya masih tetap releven.

Benar, sebagai ibu bapa kita memang cukup sayang anak-anak kita, namun janganlah pula kita teragak-agak untuk menghukum andai mereka lakukan kesalahan.

Ini sebagai mana yang dipraktikkan oleh seorang ayah ini dalam mendidik anak-anaknya dan sekali gus  memberi makna lebih luas tentang cara ‘tangan-tangankan’ anak masa kini.

Ini pandangannya.


Saya sayangkan anak-anak saya. Walaupun sayang, saya tidak teragak-agak untuk menghukum mereka jika mereka lakukan kesalahan.

Saya perhatikan, ada ibu bapa yang salah faham dan tidak bersetuju dengan pepatah ‘sayangkan anak tangan-tangankan’ ini.

Ada ibu bapa berpendapat, memukul anak-anak adalah cara kuno orang zaman dulu dan tak patut diamalkan sekarang.

Satu perkara yang saya rasa ibu bapa ini terlepas pandang ialah, ‘tangan-tangankan’ tidak hanya bermaksud ‘pukul anak’. Ia bermaksud ibu bapa mesti disiplinkan anak-anak.

Jika anak-anak mencarut, apa yang akan ibu bapa lakukan untuk memastikan anak berhenti mencarut?

Jika anak-anak main handphone dan tidak mahu berhenti untuk belajar, apa yang mampu ibu bapa lakukan untuk pastikan anak terus tutup HP dan mula belajar?

Saya percaya, selalu kita lihat ibu bapa yang langsung tidak melarang anak-anak mereka daripada melakukan kerosakan, membuat kacau di tempat awam atau mengeluarkan kata-kata yang kesat.

Lebih sedih bila kita tengok anak-anak seawal usia 5-6 tahun, mencarut-carut kepada ibu bapa mereka sambil ibu bapa mereka hanya tersengih dan ketawa. Mereka rasa anak mereka mencarut itu adalah kelakar.

Semasa saya kecil, emak saya yang garang di rumah. Jangan kata mencarut, bercakap guna bahasa AKU & ENGKAU dengan kawan-kawan pun Emak saya marah.

Kalau mencarut, apa akibatnya? Haha… pernah merasa kena lumur dengan cili kering kat mulut masa berumur 5 tahun.

Kena rotan atau kena cubit? Biasa saja tu.

Persoalannya, adakah emak saya kejam kerana memukul atau membuat saya rasa sakit? Sudah tentu tidak.

Jika Emak saya tidak disiplinkan saya dengan tindakan beliau, mungkin sekarang ini saya akan jadi seorang yang kuat mencarut, kuat mengamuk dan kaki buli orang lain.

Apabila saya jadi orang dewasa, saya terus faham kenapa Emak saya sangat garang ketika mendisiplinkan saya semasa saya kecil dulu.

Disebabkan disiplin yang diajarkan oleh Emak saya juga yang membuat saya lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu untuk mencapai kejayaan.

Saya doakan agar kita ibu bapa dipermudah urusan dan diberikan ilham dan petunjuk dalam usaha mendidik anak-anak kita ke arah kejayaan. Amin….

Osman Affan
Ayah kepada 4 orang anak.