Secara zahirnya apabila seorang isteri melahirkan anak, itu bermakna dia sanggup berkorban nyawa untuk suaminya demi melahirkan anak penyambung zuriat. Bayangkanlah betapa sukar dan kepayahan yang dilalui dan apa yang nyata, begitu besar pengorbanan seorang wanita yang bergelar isteri ini.
Menyedari hal ini, terpanggil seorang lelaki yang juga merupakan suami untuk menyeru lelaki-lelaki lain agar menghargai pengorbanan wanita yang bergelar isteri. Ayuh kita baca isi hatinya agar dapat menjentik hati lebih ramai suami agar tahu hargai isteri mereka.
HARGAI ISTERI
Saya selalu pesan kepada adik dan kawan-kawan lelaki. Hargai isteri walau apa pun terjadi. Jangan kerana sedikit kelemahan mereka, kita melihat kelebihan ada pada perempuan lain. Kadang-kadang belum tentu perempuan lain dapat bahagiakan kita sebagaimana isteri kita lakukan sekarang. Isteri yang ada sekarang ‘pernah mati’ untuk kita.
Mereka tiada sesiapa lagi setelah sah bergelar isteri kita. Segala suka duka semuanya diharungi bersama kita. Ada mak ayah menangis setelah anak sah menjadi isteri orang. Menangis gembira dalam masa yang sama, mereka risau dan harap agar kita jaga anak mereka dengan baik.
Saya kesian setiap hari terima mesej masalah rumahtangga, kita dengar suami pukul isteri,mula berkasar terhadap isteri,curangi isteri. Mula tidak sayang isteri, mula ada perempuan lain. Kenapa ada lagi lelaki sanggup ceraikan isteri dan tinggalkan mereka sebatang kara bersama anak-anak semata-mata kerana perempuan lain.
Kita sepatutnya sebagai suami lindungi mereka, bimbing mereka, jaga amanah yang diberikan oleh mak ayah mereka. Sebelum kahwin, semua syarat kita boleh terima. Kenapa setelah kahwin kita lupa segala syarat yang diberikan?
Sebelum kita pukul isteri, tampar isteri. Cuba minta kawan tampar ibu kita. Apa kita rasa? Kalau tak koma, mungkin mati kawan kita itu.
Semua Kerana Allah
Sebab itulah saya pesan kepada remaja sekarang, suka perempuan niat kerana Allah. Jika kita letak hukum Allah dalam cinta kita kepada perempuan, kita akan hargai mereka sampai mati.
Jika kita mahu isteri baik,solehah kita perlu usaha untuk jadi soleh,jadi lelaki yang taat Allah dan Rasul. Perkahwinan bukan hanya diletakkan rasa seronok pada hati sahaja, sebalik ia merangkumi tanggungjawab yang besar.
CINTA perlukan pengorbanan. Sahabat Nabi S.A.W sanggup putus jari, putus tangan, kaki, kepala untuk dapat CINTA Allah. Khadijah r.ha asalnya orang yang sangat kaya, sanggup KORBAN kekayaan demi Allah dan Rasul. Begitulah juga jika kita cinta pasangan kerana Allah. Pimpin keluarga untuk ikut kehendak Allah. Dalam hubungan ketepikan KEHENDAK kita, berusaha tunaikan KEHENDAK pasangan.
Suami isteri setiap hari puji pasangan, ucap terima kasih, sayang, rindu kepada pasangan. Luangkan masa untuk dengar setiap keluhan, masalah pasangan. Jadi pendengar yang setia setiap perkongsian.
Tuan puan. Banyak bagi masa untuk berdoa. Mengadu segalanya kepada Allah, tiada sesiapa pun dapat selesaikan masalah kita kecuali Allah. Tiada siapa pun dapat tenangkan hati kita kecuali Allah. Tiada sesiapa pun dapat bahagiakan kita kecuali Allah.
sumber : Muhammad Hassan