Bayangkan rasa rindu yang tidak terucap selama dua dekad. Seorang wanita, Nor Hazimah Abdullah, dengan harapan dan air mata, memohon bantuan warga maya untuk mencari ibunya, Norhayati Mohamed, yang sudah terpisah sejak 20 tahun lalu.
Nor Hazimah, kini berusia 23 tahun, dihantar ke pangkuan keluarga angkat di Melaka ketika dia hanya berusia tiga tahun.
Sejak saat itu, hubungan mereka terputus. Hanya alamat terakhir yang diingati di Sungai Ayer Hitam, Tanjong Minyak, Melaka – menjadi satu-satunya harapan untuk kembali bersatu.
Menerusi petikan laporan Sinar Harian, dia terlalu ingin berjumpa dengan ibu kandungnua dan berusaha untuk mendapatkan alamat terkini ibunya.
“Saya terlalu ingin mengenali dan berjumpa ibu. Saya berusaha mendapatkan alamat terkininya dan ada pihak memberitahu dia kini berada di Geting, Tumpat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki ibunya namun menemui jalan buntu.
Nor Hazimah yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, dia tidak mengetahui umur dan tidak memiliki foto ibunya.
Ujarnya, orang ramai yang mengenali ibunya diharap dapat menghubunginya di talian 013-6663937.
Sumber: Sinar Harian