Menang Pertandingan Memasak, Bukti Pengorbanan Ibu Buat 2 Remaja Ni!

Share

Disebalik kejayaan dan usaha gigih seorang anak dalam memajukan diri pasti akan ada figura seorang ibu atau ayah dibelakangnya yang tanpa jemu memberi dorongan dan semangat agar terus berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi, sama ada aspek pendidikan mahu pun minat anak-anak.

Umpamanya perkongsian kisah kejayaan adik Nursyafiqah Binti Mohd Azmi,14 dan adik Jaymee Ong Miin Li,15 yang telah melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai antara pemenang di dalam Pertandingan Memasak Sekolah Menengah 2021 yang dianjurkan oleh MAGGI baru-baru ini.

Ayuh kita ketahui kisah dua remaja ini yang difahamkan disebalik kejayaan mereka memenangi hati juri di dalam pertandingan tersebut, hakikatnya ada insan yang begitu hebat berada dibelakang mereka memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.

Siapakah insan itu?

Ketahui dengan lebih lanjut perkongsiannya dan diharapkan kisah ini sedikit sebanyak dapat menyuntik inspirasi buat anda sekeluarga.

“Rapat Seperti Teman Sejati…’- Nursyafiqah

Nursyafiqah (kanan) bersama ibunya, Puan Aiza

 

“Sejak kecil lagi, saya memang minat memasak terutamanya menyediakan pencuci mulut atau roti. Saya harap saya akan dapat mencapai cita-cita saya untuk membuka sebuah bakeri.”

“Sepanjang tempoh pertandingan tersebut, saya menghadapi pelbagai cabaran dan hampir berputus asa. Namun begitu, sokongan dan semangat dari keluarga terutamanya ibu membuatkan saya merasakan ingin lakukan yang terbaik hingga akhirnya membuahkan kenangan manis buat diri saya,” ujar Nursyafiqah yang merupakan pelajar di SMK Intan Perdana, Negeri Sembilan dengan bersemangat.

Kenal Erti Sabar

“Sepanjang proses anak menyertai pertandingan tersebut, kami berdua sentiasa bersama. Bonding antara saya dan anak perempuan semakin erat. Kami sentiasa melakukan aktiviti memasak bersama, dan secara tidak langsung hubungan semakin rapat seperti seorang teman sejati,” ujar ibu Nursyafiqah, iaitu Puan Aiza

“Saya sentiasa ada disisi anak untuk membantunya. Contohnya semasa dia memasak hidangannya iaitu Telur Gulung Korea (Korean Egg Roll), saya akan jadi jurukamera untuk dia. Masa rakam video, ada part yang tak jadi, macam telur yang dimasak terkoyak, melekat di kuali dan macam-macam lagi adegan yang memerlukan rakaman dilakukan semula.

“Bagi saya semua itu adalah proses pembelajaran untuk Nursyafiqah mengenal erti sabar dalam melakukan sesuatu. Pun begitu, biasalah anak-anak remaja ini perlukan galakan berterusan daripada ibu ayahnya.

“Ada satu masa itu, saya lihat dia menangis seakan putus asa sebab masakan yang disediakan tidak mencapai apa yang dia inginkan.

“Berdepan dengan situasi tersebut, saya sebagai ibu mengambil langkah positif dengan memberikan semangat dan motivasi kepadanya. Alhamdulillah, akhirnya semua kepayahan yang dilalui di akhiri dengan kemanisan. Siap juga projek video kami,” cerita Puan Aiza panjang lebar.

 

Pengalaman Itu Guru Sejati
Menyentuh tentang pendekatan bagaimana dia menanam minat memasak pada anak perempuannya, ibu ini akui semua itu dipengaruhi oleh persekitaran kehidupan keluarga.

“Seingat saya semasa dia di sekolah rendah lagi, dia suka lihat saya memasak. Kemudian bila sudah meningkat usia, kami sekeluarga suka pula menonton rancangan memasak di kaca TV.

“Antara program masakan yang kami suka tonton adalah seperti rancangan 5 Rencah 5 Rasa, rancangan Master Chef Australia, Bake with Anna Olson dan sebagainya. Mungkin sebab itu juga dengan sendirinya minat memasak sedikit demi sedikit berputik dalam dirinya,” ujarnya lagi.

Puan Aiza juga mengakui bahawa pendedahan yang diberikan akan menjadi pengalaman cukup berharga dalam hidup anaknya.

“Pengalaman itu adalah guru sejati. Hanya orang yang berjiwa besar dan berani akan memperolehinya.

“Saya ingat lagi, masakan pertama yang Nursyafiqah sediakan adalah Nasi Goreng Telur yang diperasakan dengan MAGGI CukupRasa. Menu yang disediakan hangus tapi dengan yakinnya dia bawa juga bekal ke sekolah untuk jamu dengan kawan-kawan.

“Selain itu dia pernah buat roti kopi ala-ala Roti Boy untuk hari jadi ayah dia. Hendak dijadikan cerita, roti tersebut menjadi juga tapi yang kelakarnya kembang sebesar loyang,” ceritanya sambil tertawa mengingatkan kejadian itu.

Jadikan Lebih Berdisiplin

“Kebaikan lain yang dapat saya lihat bila anak kita didedahkan dengan pertandingan yang melibatkan minat mereka, nyata mereka akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Selain itu, dari sudut disiplin pun saya nampak peningkatannya. Dia semakin rajin mengemas semula dapur selepas memasak.

“Tidak dengan itu, kreativiti dalam mencipta menu yang biasa kepada yang luar biasa semakin dapat dilihat. Saya yakin semua ini memberi kebaikan kepadanya.

“Nasihat saya kepada ibu-ibu di luar sana, jangan takut untuk biarkan anak kita masuk ke dapur untuk menggunakan peralatan-peralatan memasak, memetik api gas, memegang pisau ataupun memotong bawang dan sayuran.

“Kita bagi ruang untuk mereka mencuba dan apa yang penting kita sentiasa mengawasi dan memberi tunjuk ajar serta panduan yang betul berkaitan keselamatan di dapur,” jelasnya yang turut mengakui setelah anaknya mengikuti pertandingan memasak, kini semakin rajin memasak untuk keluarganya.

“Untuk Berjaya Perlu Usaha…”- Jaymee Ong Miin Li

Jaymee bersama hidangan Pinggan Sarang Burungnya

 

Sedar atau tidak, peranan wanita bergelar ibu sentiasa diiktiraf oleh anak-anak sebagai pembakar semangat dan inspirasi memperolehi kejayaan. Kehadiran insan bergelar ibu di sisi ibarat satu anugerah yang tiada galang gantinya bagi setiap anak-anak kita.

Hal ini turut dirasai oleh Jaymee Ong Miin Li dalam usahanya menempa kejayaan di dalam sebuah pertandingan memasak yang disertainya baru-baru ini.

“Menyertai Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI 2021, banyak pengalaman yang bermanfaat saya perolehi dan yang paling berharga adalah bila saya dan ibu saling bertukar-tukar pandangan dan sama-sama mencari idea untuk menentukan menu yang akan dipertaruhkan di dalam pertandingan tersebut.

“Akhirnya kami bersetuju untuk memilih konsep kekeluargaan iaitu Pinggan Sarang Burung (Bird’s Nest Platter) untuk pertandingan ini. Kami berdua meluangkan masa memasak dan mencuba resipi-resipi bersama dan ianya cukup menggembirakan saya dan membuatkan saya teruja untuk melakukan yang terbaik dalam hidup,” ujar Jaymee yang merupakan pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, Pulau Pinang.

 

Tumpang Bangga

Ibu mana yang tidak bangga dan gembira bila mengetahui anaknya berjaya memperolehi kejayaan dalam sebuah pertandingan hebat seperti Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI 2021 yang disertai oleh kira-kira 1,000 pelajar-pelajar seluruh Malaysia.

“Reaksi pertama saya sebagai ibu apabila mengetahui Jaymee berjaya mendapat tempat sebagai antara pemenang untuk pertandingan tersebut, jujur saya katakan saya teramat gembira.

“Berita kemenangan tersebut terus saya sampaikan kepada keluarga yang lain. Saya juga amat bangga dan terharu kerana saya tahu kejayaan ini adalah atas usahanya sendiri,” ujar Puan Ong dengan gembira.

Nasihat Tanpa Jemu

Untuk mencapai kejayaan seseorang itu perlu berusaha, tabah, dan jangan putus asa. Atas sebab itu juga, Puan Ong tanpa jemu akan terus memberi nasihat dan bertindak sebagai motivator kepada anaknya agar terus berusaha dan lakukan terbaik untuk berjaya di dalam apa jua bidang yang diceburi sekali pun.

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk memberi dorongan dan semangat untuk anak-anak kita terus maju dalam hidup. Sama juga bila Jaymee memasuki pertandingan memasak. Saya berikan 100% galakan untuknya kerana saya percaya siapa yang berusaha pasti dia akan berjaya!

“Bermula dari proses penyediaan bahan hinggalah makanan terhidang di atas pinggan, semua itu ada proses-proses yang perlu dibuat dengan sabar dan sebaiknya agar hidangan yang dimasak bukan sahaja sedap malah nampak menyelerakan.

“Bukan sahaja Jaymee yang perlu banyak bersabar, malah kita sebagai ibu juga perlu bersabar dalam mendidik anak-anak. Maklumlah anak remaja bukanlah pakar sangat di dapur. Lagi-lagi bab untuk mengawal api, silap caranya masakan boleh hangus kalau menggunakan api terlalu besar dengan alasan untuk cepat siap masak,” ceritanya lagi yang turut menggalakkan anaknya untuk lebih berani mencuba sesuatu menu baharu.

Beri Ruang

Jaymee (kanan) bersama ibunya, Puan Ong

“Sudah menjadi kelaziman Jaymee akan datang ke dapur semasa saya memasak. Dia akan memerhati dan sentiasa ingin tahu dan ingin bantu saya di dapur. Dia sangat teruja untuk belajar dan ingin memasak pelbagai menu.

“Dia mula membantu dengan belajar mengupas dan memotong dan mencincang bawang putih dan bawang merah. Saya ingat lagi, menu pertama dia memasak ialah Macaroni and Cheese. Mula-mula memasak, dia sukar mengawal api sehingga bawang putih menjadi hitam.

“Bila saya lihat dia suka memasak, jadi saya beri lebih ruang untuknya asah bakat di dapur. Akhirnya kini, adik-beradiknya sangat menggemari setiap menu yang disediakan oleh Jaymee. Mereka akan sentiasa makan makanan yang dimasaknya dengan berselera. Bahkan saya juga menggemari masakan yang disediakan olehnya. Manakala abangnya adalah pengkritiknya yang terbaik dan cara ini juga sebenarnya dapat membantu Jaymee lebih terbuka dan dalam masa yang sama memperbaiki rasa masakannya,” jelasnya lagi dengan turut menyarankan agar lebih ramai ibu memberi tunjuk ajar anak-anak ketika memasak dan tidak hanya memaksa anak-anak untuk membantu kita di dapur sebagai satu kerja rumah.

Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2021 menandakan tahun ke-25 MAGGI® bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan platform untuk generasi muda memupuk kemahiran kulinari dan pengambilan pemakanan yang seimbang di kalangan belia di Malaysia. Tema tahun ini adalah “Anda & MAGGI, Sajikan Kelainan Untuk Inspirasi Harian”.

Kenali pemenang-pemenang Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® dan resipi kemenangan mereka di https://www.maggi.my/ms/memupuk-generasi-muda/pertandingan-memasak-MAGGI-2021/