Membesarkan Anak Zaman Dulu Dan Zaman Sekarang Tidak Sama, Kena Kuat Elak Anak Tersasar!

Share

Dunia yang terpaksa dihadapi anak-anak zaman sekarang sangat mencabar. Sedangkan lagu Hari Raya yang sejak zaman-berzaman memuji keagungan Allah dan menggamit kenangan bersama Ayah Bonda kini dicemari hingga hilang izzah, kesopanan dan kesusilaan, apatah lagi perkara lainnya.

Zaman anak-anak kita adalah zaman membuka aib dan kebodohan diri sendiri di media sosial untuk di war-warkan kepada dunia sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.

Zaman para narsis bermaharajalela hingga sanggup melakukan apa sahaja demi ‘like’, diiktiraf dan dijulang pengikut yang terpesona.

Zaman spesies yang songsang dan melawan fitrah ciptaan Allah SWT diraikan, diberikan hak, disanjung, dikagumi dan dikasihani.

Zaman penipu menggunakan pelbagai cara untuk menjerat mereka yang terleka agar dapat hidup mewah dengan penipuan itu, malah tidak malu mempamerkan kemewahan hasil enipuan.

Zaman di mana professional yang selama ini dihormati dalam masyarakat sibuk mengejar glamor dan populariti di media sosial hingga sukar untuk membezakan antara intan dan kaca.

Zaman teknologi berkembang tetapi jiwa mengecut hinggakan semua perkara dirakam dan ditularkan dengan rasa bangga tanpa mengira akibatnya.

Zaman ramai yang menjadi pakar tahu serba serbi walaupun itu bukanlah bidangnya, malah mungkin belajar pun tidaklah setinggi mana.

Zaman para suami, isteri, ayah dan ibu tidak malu menonton perkara lucah, beraksi lucah, menuturkan perkataan lucah, bergurau lucah, menampal pelekat dengan kata-kata lucah secara terbuka.

Zaman orang Agama bertelagah dan menyindir di platform umum, malah ada yang mulut ringan mengeluarkan perkataan carutan apabila tidak sekepala.

Apa yang dihadam oleh anak-anak kita dari semua ini?

Membesarkan anak zaman dulu dan zaman sekarang tidak sama.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka…”

(Surah At-Tahriim 66:6)

Noor Afidah Abu Bakar,Parent Connect Consultancy