Boleh dikatakan, hari-hari kita memasak. Lebih-lebih lagi bagi suri rumah tangga sepenuh masa,dalam sehari mungkin paling tidak dua atau tiga kali akan masuk ke dapur menyediakan hidangan untuk keluarga tercinta.
Senang cakap, memasak ini menjadi kepakaran kaum wanita. Pun begitu, tidak dinafikan terkadang berdepan juga dengan beberapa masalah ketika memasak seperti gorengan melekat di kuali, terlebih masin, nasi mentah atau sebagainya atas sebab-sebab tertentu.
Jadi ada baiknya orang perempuan selain mahir memasak pelbagai menu, tambahkan juga serba sedikit ilmu petua di dapur yang telah sekian lama diamalkan oleh ibu-ibu terdahulu. Bila kita dah amalkan, pasti akan diwarisi pula untuk anak-anak kita nanti. Barulah petua orang dulu-dulu kekal menjadi petua yang tidak lapuk di telan zaman.
Oleh itu, kami kongsikan beberapa petua untuk info bersama. Selamat mencuba.
ELAKKAN TAUHU MELEKAT KETIKA DIGORENG
Biasanya tauhu akan melekat jika digoreng. Jadi untuk atasinya, taburkan terlebih dahulu garam halus pada permukaan atas dan bawah tauhu sebelum digoreng. Hasilnya, tauhu tidak melekat lagi.
BUBUR KACANG LEBIH ENAK
Sebelum kacang hijau direbus, goreng tanpa minyak (sangai) terlebih dahulu sehingga sedikit garing dan berbau wangi. Selepas itu, rendam kacang dalam air lebih kurang 2 jam supaya kacang cepat kembang dna lebih cepat dimasak. Untuk memekatkan bubur kacang, masukkan sedikit biji sagu, pasti bubur kacang akan lebih enak.
MENGHILANGKAN GATAL SAYUR KELADI
Keladi memang gatal tapi ada cara untuk menghilangkan rasa gatal tersebut untuk dijadikan msakan sayur yang enak. Caranya mudah, masukkan pelepah pisang yang dikerat sepanjang satu inci ke dalam masakan keladi.
BERSIHKAN MINYAK GORENGAN
Biasanya minyak yang digunakan pertama kali memang cantik warnanya, namun jika ingin digunakan lebihan minyak tersebut untuk gorengan kali kedua dan mahukan warnanya kembali seperti sedia asal ada petuanya, ambil beberapa keping asam dan masukkan ke dalam kuali bersama bahan gorengan anda. Asam keping tadi akan menyerap kehitaman pada minyak gorengan anda.
HILANGKAN LEMAK AYAM
Basuh ayam dengan mengunakan air bersih kemudian toskan ayam sebelum dilumurkan dengan tepung gandum kemudian cuci sekali lagi. Hasilnya ayam lebih bersih dan tiada lagi terasa di tangan lemak-lemak ayam tersebut.
NASI MENTAH
Sekiranya nasi yang dimasak terasa mentah, jangan risau kerana masaalah ini masih boleh diatasi. Kita hanya perlu isikan air panas ke dalam sebiji mangkuk kecil yang tahan panas. Buatkan lekuk pada bahagian tengah nasi, kemudian letakkan mangkuk yang berisi air panas tadi. Tutup periuk rapat-rapat dan biarkannya di atas api yang perlahan beberapa minit sehingga nasi masak.