Jurusolek popular MUA Bellaz bermurah hati menaja semua pekerjanya berangkat ke tanah suci Makkah bagi menunaikan umrah.
Selain semua pekerjanya, pemergian Bellaz ke tanah suci turut disertai oleh suami dan dua orang anaknya.
Menurut Bellaz atau nama sebenarnya Nabilah Zulyadini, dia sudah lama berhajat untuk membawa pekerjanya menunaikan umrah dan bersyukur apabila inmpian tersebut tercapai.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, tahun ni berpeluang lagi jejak tanah suci Makkah.
” 5 hari sebelum berangkat dapat berita ke sini lagi, syukur Bellaz datang dengan suami dan anak-anak.
“Lepas tu memandangkan datang sini, saya dan suami memang niat dalam hati nak bawa semua team Bellaz Beauty HQ ke sini. Impian saya dan suami alhamdulillah tercapai.
“Semua pakat tak percaya depa jejak kasi sini. Jasa pengorbanan mereka, keringat depa tak terkira bekerja dengan syarikat Bellaz. Alhamdulilah itu adalah rezeki orang sekeliling.” tulis Bellaz di ruangan kapsyen.
Dalam pada itu, Bellaz sempat memuat naik foto-foto sewaktu urusan pendaftaran masuk menaiki penerbangan serta keluarganya yang duduk di kelas perniagaan.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata wargamaya memuji tindakan Bellaz dalam berkongsi rezeki kejayaan dan membawa semua pekerjanya menunaikan umrah.
Tidak terkecuali ramai yang menitipkan doa untuk dibacakan olehnya di hadapan Kaabah.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 80,000 tanda suka daripada pengikutnya.
Sumber : Instagram Muabellaz
Pasu Berkaki Guna Tong Cat Je, Hasilnya Sebijik Macam Dijual!
Dekorasi kediaman yang terlihat mewah biasanya nampak sempurna dan menyerlah bila digayakan dengan olahan perabot dan aksesori yang tinggi harganya.
Namun jangan tak percaya dengan bermodalkan bekas cat terbuang dan beberapa keping kayu, wanita ini dapat mengilhamkan pasu berkaki yang cukup menarik setanding dengan yang ada dipasaran.
Nak tahu bagaimana pasu berkaki tersebut dihasilkan, ikuti perkongsian daripadanya. Semoga ramai yang terinspirasi.
Kali ni saya nak share projek pasu berkaki viral.
Bahan-bahannya:
Kayu 3kaki 3 batang (lebihan buat iron deco ari tu)
Tong cat yang dah habis cat.. kalau belum habis cat dia jangan buang tapi bg saya
Skru 6 batang
Piring kecil satu beli kat eco
Cat gold pun lebihan projek lepas
Cara Buat :
1. Ambil tong cat yang habis cat
2. Skru dan saya tutup skru tu dengan
tepung penyumbat bagi cantik sikit..
biarkan kering, gosok dengan kertas
pasir dan cat.
3. Dah siap
Sumber : Rohani Ramli
Sebelum Anak Makan, Ibu Perlu Merasa Terlebih Dahulu. Ada Sebabnya & Wanita Ni Kongsikan. Sila Buat!
Kebanyakan ibu setiap kali memasak pasti merasa dahulu masakan yang dimasak. Selain untuk memastikan hidangan yang dimasak cukup rasa, sebenarnya ada kebaikan lain yang mungkin ada yang tidak tahu.
Ini dijelaskan lagi melalui perkongsian daripada Puan Sarah Saifuddin, ibu kepada lima orang anak berkenaan apa perlunya seorang ibu merasa dahulu makanan sebelum memberi anak makan. Nak tahu lanjut ini perkongsiannya.
Ok. Ini kisah benar yang pertama. Ada seorang suami yang suka memaksa. Memaksa isteri makan suapan makanan dari tangan dia selepas dia merasa dahulu makanan tersebut.
Tapi bila part isteri nak suapkan, suami tolak awal-awal. Kenapakah??
Sampai hati kan…
Suatu hari isteri tergerak bertanya.
“Kenapa abang taknak makan setiap kali saya suapkan?”
“Hehehe..
Sebab sayang tak rasa dulu makanan tu.”
“Kenapa mesti rasa dulu?”
“Sebab dah banyak kali suap abang, kena makanan masin ke pahit.
Takkan nak sembur makanan pulak?
Suami soleh macam abang kena telan je masin tawar.”
Erkkk…
Sadis kan?
Kalau fikir logik, betul jugak tu.
Kesianla kalau kena anak yang disuap. Sifat anak ni telus. Jujur.
Apa perasaan kalau time tu jugak anak menyembur? Of course yang terasa kecik hati dulu si ibu kan..
Tapi sebenarnya, Tahukah kita?
KENAPA IBU MESTI MERASA DAHULU MAKANAN SEBELUM ANAK MAKAN?
Selalu kan kita nampak mak memasak, cicip dulu makanan. Kadang cicip dari periuk terus, letak ditapak tangan.
Begitu juga untuk anak-anak. Rasalah dahulu. Biar makanan yang anak makan nanti adalah dari “sisa” makanan seorang ibu. Orang tua dulu pernah berpesan, biar anak makan sisa kita. Jangan kita makan sisa anak. Kerana bila anak yang makan dari sisa ibu, Anak akan lebih mengingati ibubapanya sekalipun dia tercampak jauh ke kerak bumi.
Tapi jika ibu yang makan sisa anak, terbalik jadinya. Pernah saya tanya perihal ini pada seorang ustaz. Tapi ustaz tinggalkan saya dengan senyuman dan membalas..
“Sebab itulah kalau ibu yang makan sisa anak , makanan yang tak habis, makanan tu tetiba jadi sejuk dan dingin.”
Bila difikirkan semula..
Kenapa Baginda Rasulullah saw minum dari cawan yg sama dgn Saidatina Aisyah ra. Betapa Baginda kasih pada isteri kesayangannya.
Mungkin begitu juga perihal mencicip makanan ini.
Anak, walaupun dah besar. Jangan malu suapkan makanan ke mulutnya. Kerana kesannya di hari tua, Suatu hari nanti dia kenang siapa ibu dan ayahnya..
Nampak kecil dan mudah. Tapi kesannya sepanjang zaman. Itulah sebab saya minta abanf-abang suapkan adik. Supaya bila besar, dia kasih sesama mereka.
Sumber : Sarah Saifuddin
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Usah Biar Duri Dalam Hubungan Mentua-Menantu. Ini Tip Jadi Menantu Favourite!
Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak@pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
- Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita. Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik. Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
- Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita. Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
- Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita. Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza. Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
- Jangan terlalu sensitif. Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga. Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
10 cara jadi menantu favourite!
- Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
- Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
- Murah hati
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
- Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
- Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
- Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
- Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
- Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
- Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
- Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016