Memang Cantik Pinggan Mangkuk Ayan. Tapi Awas, Salah Pilih Boleh Akibat Rosak Hati, Punca Kanser!

Share

Kalau dah jadi mak-mak ni, tanya la peralatan dapur jenis apa, petik jari je semuanya tahu! Baru-baru ini tular di media sosial set pinggan mangkuk ayan atau lebih dikenali sebagai enamelware yang terkenal dengan warna yang cantik dan gaya simple.

Kalau sebelum ini orang tergila-gilakan jenama tupperware, kemudian viral tentang mangkuk corning ware vintage yang dijual berpuluh hingga beratus ribu, sekarang ini menjadi hobi para isteri untuk mengumpul koleksi pinggan mangkuk ayan ni pula!

Tetapi awas ya semua! Tak semua yang dijual di pasaran tu elok barangannya. Lebih-lebih lagi yang dijual dengan harga yang murah. Ini kerana ada risiko yang korang perlu tahu sebab set ini diperbuat daripada keluli, besi atau aluminium dan disalut dengan porselin pada tahap suhu tertentu. Nak tahu lebih lanjut? Jom tengok perkongsian dari Public Health Malaysia

ini.

Pinggan viral terkini adalah pinggan mangkuk ayan atau dikenali sbg enamelware. Ya, ia pinggan rekabentuk vintage yang kembali menjadi perhatian masyarakat.

Untuk menghasilkan pinggan mangkuk enamelware, asasnya adalah dari keluli, besi atau aluminium. Bahan tersebut akan disaluti dengan porselin pada tahap suhu tertentu.

Bagi produk berjenama seperti Le Creuset dan produk dari kilang yang diketahui, anda tidak perlu bimbang kerana penghasilan produk ini akan melalui pemeriksaan kualiti yang ketat. Ini penting untuk memastikan ia bebas dari bahan kimia berbahaya terutama logam berat.

Faktor keselamatan mungkin TIDAK terjamin jika produk ayan dari pengeluar yang tidak diketahui. Selain itu, penggunaan pinggan ayan antik juga tidak digalakkan kerana regulasi sebelum ini tidak ketat. Pinggan mangkuk ayan yang telah rosak seperti retak, kemek, bercalar dan berkarat juga perlu dielakkan penggunaannya.

Kebimbangan utama adalah pencemaran logam berat seperti plumbum, kadmium dan uranium. Bahan bahan ini biasanya digunakan untuk memberi warna menarik pada pinggan mangkuk ayan.

Kesan terdedah kepada bahan ini menyebabkan risiko masalah perkembangan otak kepada anak-anak. Untuk jangka masa panjang akan akibatkan kerosakan organ lain seperti buah pinggang, hati, tulang dan kanser.

Sekiranya anda ingin menggunakan produk ayan antik, gunakan sebagai hiasan, tempat letak bunga hiasan ataupun pelapik pinggan lain.

Jika anda baru berjinak jinak dengan produk ini, utamakan keselamatan dengan memilih produk yang telah disahkan selamat.

Bagi pengeluar produk seramik yang tidak mempunyai pengesahan kualiti produk, sila melakukan permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan dari KKM (Bahagian Keselamatan Makanan) untuk mengesahkan bahawa produk anda bebas pencemaran logam berat.