Masinnya! Elak Buang Makanan, Selamatkan Dengan 5 Cara Ni!

Share

Memasak ni, kita tak boleh nak jangka. Hari ni masak sedap, esok lusa belum tahu sama rasanya disebabkan sukatan yang tidak sama. Mungkin hari ni terlebih manis, esok terlebih masin. Mana tahu kan?

Kalau terlajak sikit-sikit tak mengapa, tapi bila dah terlajak banyak tu, takkan nak buang pula lauknnya tu. Membazir tau!

Sabar semua, setiap masalah mesti ada penyelesaiannya! Yang mana makanan terlajak masin tu boleh cuba guna beberapa cara ni untuk selamatkan kembali makanan anda. Bahan pun mudah je nak dapat. Letsss tengok!

1. Pelepah pisang

Pelepah pisang merupakan salah satu bahan yang boleh seimbangkan semula rasa pada masakan yang terlebih masin.

Sediakan saiz kecil potongan pelepah ini, lalu masukkan ke dalam masakan anda dan biarkan hingga mendidih. Kemudian buang pelepah ini bila hendak menghidang.

2. Kentang

Potong ubi kentang dengan potongan dadu kemudian masukkan ke dalam masakan dan biarkan sehingga ubi kentang empuk. Selain dapat mengurangkan rasa masin, secara tidak langsung anda telah menambahkan lauk ke dalam masakan anda.

Jika tiada ubi kentang, boleh juga guna sayur-sayuran yang mempunyai kandungan air yang banyak seperti timun dan terung.

3. Imbangkan rasa manis dan masam

Boleh gunakan perasa lain untuk meneutralkan kembali rasa makanan. Tambahkan sesudu gula, kacaukan dan kemudian tambahkan sesudu perasa masam seperti cuka atau perahan limau nipis.

Boleh ulang beberapa kali sehingga mencapai rasa yang diinginkan. Boleh juga cuba untuk memekatkan kuah lagi dengan cara menambah santan sehingga cukup rasa.

4. Beras

Sediakan sehelai kain nipis kemudian masukkan segenggam beras dan ikatkan seperti sup bunjut. Lalu anda bolehlah masukkan ke dalam masakan anda. Beras ini akan menyerap lebihan rasa masin dan bila rasa masakan itu sudah mula seimbang, bolehlah keluarkan bunjut beras tersebut.

5. Hampas kelapa

Dengan teknik yang sama seperti membuat bunjut beras, anda boleh ambil sejemput hampas kelapa ikatkan supaya menjadi bunjut. Masukkan bunjut ke dalam lauk dan masak bersama dalam 15 ke 20 minit.

Bunjut hampas kelapa dapat membantu membuang rasa masin berlebihan dan turut memberi rasa lemak pada lauk. Kemudian, boleh keluarkan bunjut tadi dari lauk.

Jadi untuk mereka yang sering kurang yakin untuk mengagak bahan perasa yang perlu dimasukkan ke dalam masakan bolehlah cuba cara-cara ini.

Jangan mudah panik dan jangan putus asa bila masakan yang dimasak tidak jadi seperti yang diinginkan. Semoga bermanfaat.

Sumber: Masterclass