Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya, didoakan buat semua keluarga yang terlibat dengan kejadian banjir dipermudahkan urusan mereka.
Tidak dapat dibayangkan kesukaran yang mereka lalui kini hingga ada yang masih terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing malam tadi bersama anak-anak kecil dan sebagainya apabila laluan untuk pulang ke rumah mereka ditenggelami air berikutan hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam.
Memetik berita yang dikongsikan di Selangor Kini, difahamkan jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang terkandas tidak dapat pulang ke rumah masing-masing.
Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban dan memberi keselesaan kepada golongan berkenaan.
Bantuan bukan hanya tertumpu kepada sumbangan keperluan asas tetapi turut meliputi penyediaan tempat berteduh dan pemindahan sementara.
Berikut bantuan tempat perteduhan dan penempatan sementara yang ditawarkan:
-Masjid Negeri Shah Alam menyediakan ruang untuk menempatkan mereka yang terkandas. Makanan dan minuman turut disediakan
-Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menawarkan Pustaka Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam sebagai tempat perteduhan. Kafe juga dibuka. Hubungi 03 5519 7667
-Surau Al-Munawwarah di Seksyen 13, Shah Alam membuka penempatan untuk mangsa banjir berteduh. Makanan turut disediakan oleh kejiranan perumahan berhampiran
-Gudwara Shah Alam menawarkan kemudahan penginapan di tingkat satu premisnya yang beralamat 10, Jalan 18/49, 40200, Shah Alam. Hubungi 012 379 0124 (Belbir Singh)
-Thompson Hospital Kota Damansara menawarkan wadnya yang tidak digunakan untuk individu memerlukan penempatan sementara. Hubungi 03 6287 1111
-Pusat Sehenti Bencana DUN Lembah Jaya dibuka sebagai persediaan menghadapi banjir. Premis itu terletak di Dewan MPAJ Lembah Jaya. Hubungi 017 879 2399 (Iman)
Sumber : Selangor Kini